Salam syuhada'
Alhamdulilah kerana Allah masih lagi mempertemukan kita pada malam ke-13 di bulan yang penuh barakah ini. Kita sekarang masuk fasa kedua dalam bulan Ramadhan yang bertemakan Maghfirah ataupun keampunan, jika fasa pertama iaitu Rahmah sudah kita lalui dengan jayanya, moga-moga fasa kedua ini keampunan daripada Allah benar-benar dapat kita perolehi dan kita berusaha untuk mendapatkannya.
Bercakap tentang Ramadhan, pastinya peristiwa Badar Kubra meniti diingatan kita, sejarah keagungan perjuangan nabi dan sahabat dalam menegakkan Islam di muka bumi ini. Sewajarnya kita benar-benar menghayati ruh perjuangan yang dibawa oleh baginda dan sahabat.
Apa yang ingin saya kiaskan ialah tentang saya dan perjuangan, sekarang saya sedang bermujahadah untuk menghadapi Imtihan Kubra Stam yang berlangsung tudak sampai 40 hari lagi. Semboyan sudah berbunyi persiapan menghadapinya perlu dilakukan bersungguh, walau pelbagai mehnah, tribulasi, duri dan kaca dalam proses mempersiapkan diri menuju ke medan perjuangan. Di sini dicatatkan beberapa tragedi atau peristiwa genting dalam proses menghadapi perperangan yang bakal berlaku selepas Ramadhan iaitu 20 Syawal. Bulan 7 - Dalam keadaan kami dalam proses memahami madah Arudh&Qafiyyah kami dikejutkan dengan berita Ustaz diberi notis pindah sekolah dan diberi tugas sebagai Penolong Kanan di Sekolah Agama Rakyat. Kami semua tercengang dan tidak mampu berkata apa, masih panas lagi dalam kepala kami detik-detik terakhir Ustaz mengajar madah ini, patutlah dua tiga hari sebelum ini dia bertungkus lumus mengajar dari pagi sampai ke petang malah ditambah lagi dengan bantuan LCD yang mempercepatkan proses pembelajaran tetapi malang kami belum sempat memahami sepenuhnya madah tersebut. Bulan 8- Sekali lagi kami dikejutkan pula dengan ketiadaan ustazah merangkap guru kelas kami yang mengajar madah Balaghah dan Tafsir WaUlumuhu. Pada waktu genting ni ustazah cuti bersalin (Alhamdulillah dapat anak lelaki). Kami hanya mampu menggiling kepala, dua madah penting dan agak sukar ini tiada kemudinya dalam tempoh 60 hari, maksudnya kami tiada pakar rujuk untuk menghadapi Imtihan Kubra ini. Patutlah ustazah sebelum cuti bersalin begitu kerap masuk ke dalam kelas untuk mengajar walau bukan madah dia. Sehinggalah pada kelas terakhir tu ustazah semacam risau dengan kami, hampir sahaja kelas menjadi tegang kerana kami duk bertelingkah dengan ustazah tentang madah yang dia duk ajar selama ni. Ah, ini nasib kami,
Dua orang guru yang hilang pada waktu genting ini begitu membimbangkan kami, walau ada guru ganti, tetapi tak sama dengan sentuhan guru yang sudah hampir setahun mengajar, yang sudah serasi dengan kami. Saya lihat ramai yang mulai tertekan tambahan lagi dengan bulan Ramadhan ni, ramai sahabat yang alah dengan aktiviti tidur di bulan Ramadhan, dan saya dapat lihat prestasi pembelajaran mereka tampak kendur, situasi yang begitu membimbangkan saya, hampir-hampir sahaja saya rasa lemah dalam menghadapi cabaran ini, syukurlah Ramadhan menjadikan saya bertambah gagah menghadapinya.
Kini saya memerlukan sokongan sekeliling, doa kalian begitu didambakan. Semoga kami gagah menghadapi Imtihan Kubra ini, Badar Kubra penyuntik kepada perjuangan ini. Salam Maghfirah Ramdhan Karem....
Labels: Kehidupan |