"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Pagi terakhir peperiksaan sem pertama, saya mengalami muntah-muntah dan pening kepala yang teramat. Demam pada malam itu masih lagi terasa pada sebelah paginya. Sungguh rasa tak terdaya untuk saya menjejak kaki ke stadium mejawab kertas Madkhal Fiqh & Fatwa. Namun saya gagahkan juga kaki melangkah ke sana, walaupun sudah lewat 15 minit. Norazmi membonceng bersama saya memberitahu seorang pelajar USIM meninggal dunia semalam, saya hanya dengar tanpa membalas apa-apa, kepala saya tengah pusing ketika itu.
Sehinggalah tamat peperiksaan terakhir itu, saya diberitahu Atiq Hakimi meninggal dunia semalam. Terkanjak saya seketka. lantas fikiran saya menerawang jauh mencari figur Atiq Hakimi. Setelah itu mata saya jatuh ke lantai, terkejut bahawa sahabat saya yang seorang itu telah meninggal dunia.
Dia meninggal di balai berlepas KLIA menuju ke Kota Bahru, bebarapa minit sahaja dia akan naik kapal terbang balik ke kampung halaman Nilam Puri. Tanpa diduga dia jatuh di situ, dan nyawanya terus diangkat ke langit.
Allahyarham baru sahaja selesai menamatkan peperiksaan sem satu. Pelajar tahun pertama Sarjana Muda Aqidah, USIM. Sepatutnya dia terus berada di kampus sehingga tamatnya dua program dakwah di sini. Tapi rasa tak tahannya untuk berjumpa keluarga menyebabkan dia bersegera pulang ke kampung halaman. Dia salah seorang urusetia Konvensyen Dakwah SPMM.
Seingat saya, saya mengenalinya dalam satu program dakwah. Saya mengenalinya sebagai seorang rakan seperjuangan dakwah di kampus USIM.
Selepas itu saya pernah bertandang ke biliknya dan sering berbual dengannya. Seringkali sya bertemunya di surau Asrama. Setiap kali bertemu, senyuman di bibirnya tak pernah lekang.
Sahabat saya yang periang dan sentiasa tersenyum itu, rupanya telah meninggalkan saya jauh di alam sana. Tanpa saya mengetahui bahawa beliau mempunyai penyakit jantung tersumbat. Kehidupannya bergantung kepada ubatan. langsung saya tak menyedari, disebalik senyumannya itu terkandung penderitaan.
Tanpa sesiapa menduga, tamatnya sem pertama ini, maka tamatlah juga perjuangan beliau di alam fana ini. Tidak ada sesiapa lagi sempat bertemu dengannya.
Solat jenazah hanya saya mampu lakukan di rumah, ingin benar hati saya ke rumahnya bersama-sama solat jenazah dan mengangkat keranda dan mengusungnya ke liang lahad. Saya hanya mampu menyedekahkan al-fatihah jauh di sini.
Allah, hebat benar pengaturan hidup yang telah Engkau lakukan. Di Balai BERLEPAS KLIA, kau LEPASKAN Allahyarham Atiq Hakimi ke Alam Baqa' sana. Al-Fatihah
Menjengah ke alam imtihan sehari dua ni, adalah baik saya bersantai seketika untuk berbicara pasal muslimah di USIM. Perbicaraan saya bukan santai yang kosong, tapi saya cuba membawa satu yang bernilai dalam bicara ini.
Suatu ketika saya pernah menulis di dalam tugasan saya bahawa kita menghukum adalah berdasarkan majoriti, bukan minoriti. tetapi di sini bukan niat untuk menghukum tapi cuba melihat gambaran sebenar berdasarkan pandangan kecil saya.
Perkara yang istimewa di Kelantan, adalah banyaknya institusi agama yang melatar di setiap pelusuk daerah. Antara institusi yang terkenal adalah UM, Nilam Puri, KIAS dan Maahad Muhammadi Perempuan. Ia menjadi terkenal dengan kedudukannya yang strategik di tepi jalan. Tahukah saudara, perkara yang menarik yang ada di institusi-institusi ini adalah ketika mahasiswanya yang berderuan keluar dari asrama dan menuju ke kampus. Menariknya adalah majoriti yang ramai itu adalah muslimah. Lebih menarik keseluruhan mereka berpakaian labuh dan majoriti mereka adalah berjubah, dan segelintir mereka yang berpurdah.
Suasana ini lah yang menarik perhatian setiap orang yang melalui kampus ini. Seolah-olah mahasiswi di kampus ini menjadi duta untuk sebuah Negeri Islam Kelantan Darul Naim.
Saya ingin katakan inilah nilai estetika muslimah yang ada dan perlu ada jika kita ingin bawa jenama Islam. Bila luarannya itu menarik, pastinya pandangan luar akan menampakkan positif dan dakwah akan mudah disebarkan.
Saya sudah bermukim di Nilai, USIM, bukan lagi berada di Kelantan. Sebenarnya saya ingin menyatakan kebanggaan saya berada di USIM. Bangga saya kerana nilai estetika itu masih ada di sini. Bila melihat mereka berderuan dengan berpakaian sebegini, jiwa saya tenang kerana memang selayaknya mereka-mereka ini berada di USIM untuk membawa jenama Islam yang terdapat pada nama USIM.
Terserahlah kepada kalian bagaimana untuk menentukan labuh atau tidak pakaian saudari. Cukuplah saya katakan ia labuh dan longgar, tidak ketat dan tidak jarang.
Saya tercari-cari fakta mengapa nilai estetika itu masih ada di USIM. Maka temuilah saya jawapannya kerana majoriti muslimah di sini mempunyai asas agama yang kukuh dalam akademiknya sebelum masuk ke sini. Ada yang datang dengan Diploma Islam, Sijil Tinggi Islam dan Tamhidi Islam. Ketahuilah saya bahawa mereka beramal dengan ilmu yang mereka miliki.
Sejarah dulu mencatatkan bahawa UIA adalah universiti yang memperkenalkan nilai estetika ini pada muslimah. Maka berbanggalah mereka yang belajar di UIA.
Maka ramai jugalah yang ingin bermenantukan dengan mahasiswi keluaran UIA.
Tapi itu adalah dulu. Nilai estetika yang ada pada muslimah UIA sudah terhakis dari hari ke hari.
Saya mencari fakta mengapa ramai muslimah UIA tidak mengekalkan nilai estetika mereka. Maka saya telah temui jawapannya, kerana sifat terbuka UIA menerima pelajar dari pelbagai aliran dan kadang-kadang mereka yang tidak ada asas agama dalam akademiknya juga turut ramai berada di UIA.
Kini USIM adalah universiti harapan mengeluarkan muslimah yang hebat dengan mengekalkan nilai estetika yang ada pada mereka.
Satu fakta yang menarik, ramai muslimah USIM berkahwin semasa berada di USIM. Faktornya adalah nilai estetika itu. Ramai lelaki yang soleh melihat nilai estetika itu kini terletak di USIM.
Saya mendoakan nilai ini terus berkekalan kepada mahasiswi USIM. Amin.
Basah darah itu masih berbekas Sakit Luka itu Masih Berparut Hanyir bau itu masih melekat
Masih baru balingan batu itu Masih terasa hinggapan batu itu Masih berpinar penangan batu itu
Ingat lagi basah dahi dengan darah Ingat lagi lajunya keluar aliran darah Ingat lagi merah warna darah
Terkesan aku pada serban itu Terkesan aku pada lilitan serban itu Terkesan aku pada lembut serban itu
Darah itu ingin sekali ku jilat Darah itu tak terasa hanyirnya Darah itu tak henti-henti mengalir
Serban putih itu menjadi saksi Mengelap darah perjuangan Menekap dahi yang penuh darah
Saat darah mengalir Terpancar wajah pejuang Teringat Darah As-Syahid Ahmad Yasin Teringat Darah As-Syahid Dr Rantisi Teringat Darah As-Syahid Muhammad Ad-Durrah
Allahu Akbar Benarlah Perjuangan itu liku Benarlah perjuangan itu Mehnah Benarlah Pejuangan itu pedih
Subhanallah Walau kalah dalam Perjuangan Hati tersenyum puas Biarpun Mata basah dengan Air Mata
Ku pandang wajah pejuang tanpa jemu Ustaz Idris keletihan Ustaz Salahuddin bengkak matanya Dr Dzul terduduk memandang angka-angka itu Ustaz Tantawi ku lihat sedang berdakapan pilu
Aku tak sanggup lagi melihat Jalan Pinang itu ku tinggal sepi Sore itu air mata tak henti-henti keluar
Ku Rentasi malam gelap itu keseorangan Sambil tangan erat memegang serban darah itu Masih terasa perit luka dahi itu Air mata masih merembes keluar
Hingga pagi itu Panggilan dari keluarga mendebarkan aku Kaget mereka mendengar cerita pejuang muda Dari muka utama makalah massa Tak sangka mereka itu adalah aku
Aku menangis sepi mendegar suara ummi Bicara panjangnya terkejut tentang aku
Aku menagis sepi mendengar suara abah Tergeleng melihat semangat juang anak
Dan aku terus menangis sepi Kerana aku masih mendengar suara mereka Aku sangka sudah syahid di medan ini Di bawa pulang sebagai pemuda syuhada'
Serban itu terus kusimpan bersama bekas darah Dan parut ini masih belum hilang dalam lukanya Aku bersaksi akan terus ku berjuang Menang sebagai pahlawan Atau mati sebagai syuhada
Sejak saya berada di sini, saya menjadi gusar untuk berbicara tentang politik. Gusar kerana sikap manusia sekeliling yang suka melabel. Saya juga gusar berbicara tentang agama, bimbang dengan labelan-labelan yang sungguh tidak benar.
Tapi hari ini saya bertekad berbicara berkenaan dengan topik yang paling saya gemari, politik tanah air. Ia bertitik tolak daripada ucapan Prof Dr Mahmood Zuhdi (ISTAC, UIA) sebentar tadi dalam Muzakarah Fatwa anjuran INFAD. Beliau memetik ucapan popular dari seorang tokoh:
"Politik tanpa akademik bohong, akademik tanpa politik bodoh"
Kata-kata ini sungguh benar, bagaimana mungkin seorang yang akademik terhalang untuk bercakap tentang politik. Itu adalah jumud. Hari ini saya mengambil peluang untuk memberi pandangan tentang pilihan raya yang akan berlangsung di Bagan Pinang pada 11 Oktober ini hari Sabtu.
Saya mulakan dengan maksud firman Allah S.W.T:
Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah� (Surah al-Qasas:26).
Firman ini jelas, seorang pemimpin yang ingin dipilih dalam pilihan raya nanti adalah seorang yang Qawiyyun Amin. Qawiyyun ertinya mampu, kuat untuk bekerja, berkemahiran dalam kepimpinannya terhadap rakyat. Manakala amanah adalah seorang yang thiqah, dipercayai, tidak khianat dan bersih daripada perkara-perkara yang buruk dari segi perilaku dan kerjanya.
Saudara, adakah boleh kita memilih pemimpin yang sudah jelas buruk perilakunya? Mahukah kita membontoti pemimpin yang pecah amanah, rasuah dan menipu rakyat?
Saya ingin bandingkan, sepinggan nasi putih tiba-tiba tahi burung jatuh ke atasnya. Semua orang tahu bahawa nasi itu dihinggapi tahi burung, peniaga membersih nasi yang diberak oleh burung tadi. Adakah kita akan membeli nasi tersebut??
Begitu jugalah dengan memilih pemimpin, pemimpin yang sudah jelas makan tahi rasuah dan pecah amanah tidak akan dipilih oleh rakyat yang bersih hatinya..
Sanggupkah kita berada bersama pemimpin yang tidak amanah ini. Bolehkah kita membontoti mereka yang pecah amanah ini???
Maka jika awal-awal lagi sudah diketahui keburukan pemimpin ini, sewajibnya kita menolaknya.
Hukumnya adalah wajib!!
Menyokong pemimpin yang zalim adalah berdosa, Sesungguhnya orang yang banyak dosa neraka lebih utama baginya.
Allah ada menyatakan dalam firmannya, janganlah kita condong ke arah kezaliman, nescaya neraka akan menyentuhnya.
Sudah ada pemimpin yang bersih dan beramanah. Pilihlah pemimpin ini. Kerana amanah yang besar akan dapat ditunaikan oleh mereka yang beramanah dan benar akhlaknya.
"Ya Allah, berilah kemenangan kepada kumpulan yang benar, jangan sekali-kali kumpulan yang batil ini berda ditampuk kepimpinan ini."
Pada subuh 28 Ramadhan, Jumaat yang begitu hening, saya dan Ahmad, seorang pelajar senior dari Iraq memboceng pulang ke Sutera Indah dari masjid Nilai. Pagi itu sungguh sayu, kerana ia adalah pagi Jumaat yang terakhir di bulan Ramadhan. Warga Usim sudah ramai yang pulang berhari raya di kampung.
Dalam perjalanan pulang ke asrama, Ahmad sempat bertanya amalan saya di bulan Ramadhan, saya tersipu malu, dan mengakui belum sempat lagi khatam al-Quran. Lantas dia berkata, "Imam Syafie dalam bulan ramadhan mengkhatamkan Al-Quran sebanyak 30 kali. Dia juga mengambil masa berjalan selama 3 jam sebelum mengeluarkan satu-satu hadis". Saya hanya menggelengkan kepala mendengarnya, sungguh sayu hati saya betapa hebatnya Imam Syafie, berbanding dengan kita, seguni ilmu yang kita pelajari pun belum tentu dapat menyamai sepatah kata Imam Syafie.
Saya mendengar tazkirah Ahmad sehingga sampai ke pagar Sutera Indah. Motor saya hentikan di situ, sejurus selepas itu saya bertanya dalam bahasa arab, "Ya akh, kaifa lilistimrar amal fi hazihhi syahri ila syahri akhar??.
Saya terkedu dengan jawapan Ahmad. Ya, Tuhan Ramadhan juga adalah Tuhan Syawal. Allah ada di mana-mana bulan. Mengapa hilangnya bulan Ramadhan, hilanglah segala amal ibadat kita. Hilanglah ketakwaan kita yang kita jaga di sepanjang bulan Ramadhan. Adakah kita menyangka Allah hanya berada di bulan ramadhan?? Ya sungguh berat persoalan ini. Saya lontarkan kepada diri sya dan rakan-rakan yang membacanya.
Kembara di akhir Ramadhan Sebelum pulang ke Machang, saya sempat mengembara ke Nilai 3 dan mengambil gambar-gambar sepi di kampus USIM. Ya, petang Jumaat itu sungguh sunyi, tak pernah saya rasakan sesunyi ini. Saya bawakan gambar-gambar untuk tatapan semua,
Suasana di kafe PKP, tak sangka saya kawasan ini menjadi kosong, biasanya mahasiswilah yang sering memenuhi kerusi ini, sehingga mahasiswa terpaksa bekorban makan di luar kerana ramai dan sukanya mahasiswi makan.
Wakaf menunggu bas kakak-kakak di Desa Jati juga kosong, tempat inilah menjadi saksi kakak-kakak yang berlari anak menghambat bas utk ke kuliah dek kelewatan bangun dari tidur
Iftar terkahir di Masjid Nilai, kelihatan kawan foreigner dari krygysztan dan Africa, kami sempat menyemai ukhuwwah apabila berkongsi nasi berbuka kerana kehabisan dek ramainya pengunjung luar datang berbuka bersama keluarga.. Perjalanan jauh pulang ke Kampung, dari Nilai ke Bangi kemudian sesat ke Sungai Merab, sampai di IPIS, naik pula bas India yang sungguh semerbak bau wangian basnya, sehingga tak tidur saya sampai ke Machang.
Selamat Kembali kepada Fitrah
Mari kembali kepada fitrah sebenar manusia, lihatlah bayi comel ini dia masih lagi berada dalam keadaan fitrah, moga Ramadhan lalu mengembalikan kita kepada fitrah insani.........(bayi ini comel kerana ayah saudaranya juga comel-lihatlah kat bawah ni)
Selamat Hari Raya Idulfitri, Minal Aidin Walfaizin, Ini baju raya yang kedua, pada hari raya kedua di saat ingin pulang ke kampung abah, baju raya pertama adalah jubah kelabu dari Mekah, Raya sakan tahun ni.....
Perkara yang paling terpaksa saya lakukan apabila disuruh adalah menyampaikan tazkirah. Kerana tazkirah itu boleh sahaja menjerat diri sendiri. Seringkali orang yang bertazkirah meludah dirinya sendiri dengan pengisian tazkirahnya itu. Tetapi tak ramai yang menyampaikan tazkirah itu sedar bahawa dia sedang mengata dirinya walau dia merasakan tazkirahnya itu sungguh menarik telinga pendengar.
Beberapa hari yang lepas pelajar tahun satu Fakulti Syariah & Undang-Undang menganjurkan majlis berbuka puasa, saya ditugaskan bahagian pengisian, antara tugasnya mencari pentazkirah dan Imam solat maghrib. Tak seperti yang dirancang pentazkirah yang diharapkan (Akhi Firdaus) tak dapat hadir kerana ada kelas sebelah petang. Tanpa diduga saya secara automatik perlu memberi tazkirah menggantikan kekosongan. Saya sempat membaca sepotong ayat Quran sebagai persediaan untuk bertazkirah, masa yang diberi untuk tazkirah selama 15 minit, saya hanya petakan di minda apa yang perlu disentuh dalam tazkirah memandangkan tiada persediaan.
Saya ambil mood tazkirah dengan memulakan dengan istighfar, kemudian membaca sepotong ayat suci dari surah al-anfal, berkaitan dengan orang mukmin yang bergegar hatinya apabila menyebut mengingati Allah dan bertambah imannya apabila diperdengarkan ayat-ayatNya. Saya ada menyebut juga tentang erti takwa seperti mana yang diberitahu oleh Saidina Ali R.A dan Saidina Umar Al-Khattab. Kemudian saya menyebut perihal ulama' yang menangis apabila tiba bulan ramadhan. Saya meyebut tentang perlunya kita memahami dan menghayati tentang syurga dan neraka. Juga perihal peri pentingya doa di bulan Ramadhan.
Dan saya ada menambah tentang perihal Najib (Datuk Seri Najib) yang memperkenalkan KPI iaitu satu sistem menilai prestasi pekerjaan seseorang, saya kiaskan bahawa KPI seseorang untuk menilai berjaya atau tidak ramadhan itu adalah dilihat selepas berlalunya Ramdhan, jika selepas ramadhan tiada perubahan ke arah kebaikan ertinya ramadhan itu langsung tidak mentarbiahnya dan puasanya itu adalah sia-sia.
Akhirnya 15 minit berlalu dan saya tamatkan dengan amaran bahawa saya bertanggungjawab di atas apa yang saya perkatakan dan para pendengar juga harus bertanggungjawab atas apa yang didengarinya.
Maka tazkirah yang saya sampaikan itu saya fikirkan kembali, bimbang sekali apa yang saya perkatakan tidak pun saya amalkan.
Tidak tamat di situ, hari ini saya ke sekolah lama (Maahad Syamsul Maarif) pada dasarnya meraikan sahabat saya yang akan berlepas ke Jordan pada lusanya. Selama bertemu dengan guru saya ditanya dan mungkin disindir oleh guru-guru di situ tentang saya, bila saya nak berlepas ke Mesir. Saya hanya tersenyum kelat sambil menjawab "tiada rezeki ustazah, belajar sini saja."
Selepas itu saya dan sahabat menapak ke masjid sekolah untuk solat Zohor. Satu kelainan saya perasan apabila anjung masjid sudah bermarmar, sungguh indah. Selepas solat zohor wakil pelajar menyampaikan tazkirah ramadhan. Sehinggalah akhir tazkirah itu terdengar suara Tuan Pengetua: "dijemput Abang Syihan untuk menyampaikan tazkirah, lama dah tak dengar suara dia, sekarang ni duk belajar di USIM, anak didik Datuk Najib." Suasana Masjid jadi hingar-bingar, saya terkedu, tak semena-semena nama saya disebut untuk menyampaikan tazkirah. Sepatutnya ada guru yang bertugas memberi tazkirah, atas sebab kekosongan saya sekali lagi disurh untuk bertazkirah.
Nampaknya episod di kampus berulang di sini. Saya sekali lagi melakukan perkara yang terpaksa. Saya mulakan tazkirah denga menyebut tentang KPI yang diperkenalkan oleh Najib, kemudian menyebut tentang ulama' yang menangis kerana akan berpisah dengan Ramadhan, kemudian saya sebutkan tentang perlunya kita sambut Aidilfitri dengan kegembiraan dan kemenangan bukan dengan tangisan dan kesedihan.
Saya bawakan sejarah silam kemenangan umat Islam dalam perperangan Badar, Fathu Mekah dan Perang Salib di bulan Ramadhan. Dan saya simpulkan bahawa kemenangan ini menjadi dalil perlunya kita menyambut aidilfitri dengan perasaan kemenangan, dan berlawanan dengan sunnah jika menyambutnya denga sedih dan pilu. Takbir pada hari raya juga perlu dilafazkan dengan semangat bukannya dengan mendayu-dayu.
MasyaAllah, tak disangka langsung ramdhan ini saya disuruh untuk menyampaikan dua tazkirah. Dua tazkirah ini saya perlu amati betul-betul, bimbang dengan peringatan Allah yang akan timpakan kecelakaan kepada mereka yang berkata-kata tapi tak pun melaksanakan apa yang diperkatakan.
Astaghfirullah Al-'azim. Ighfir zunubi!!!!!!!! nasihatkan itu tidak pun saya amalkan.
selama dua puluh tahun saya hidup di dunia, inilah kali pertama rasanya Ramadhan di perantauan. Setelah dua hari berpuasa di rumah, malam ini saya akan berangkat ke kampus, Nilai, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Sangka saya, say berperantauan di Mesir, Jordan ataupun Kuwait. Perancangan Allah melebihi segala-galanya, akhirnya saya berperantauan di Nilai sahaja.
Semoga Allah merahmati kehidupan saya di sini..
Siapa kata pelajar dari Malaysia tak boleh jadi alim...InsyaAllah, hanya usha penentu pencapaian kita!!!!!!!!
Tidak ada di mana-mana akhbar atau media massa melaporkan bahawa wabak H1N1 ini adalah satu bala yang diturunkan oleh Allah kepada manusia sebagai peringatan. Menunggu reaksi pimpinan Malaysia memberi nasihat yang berguna ibarat "menunggu kucing bertanduk." Tersenyum saya membaca kenyataan akhbar Perdana Menteri- "diminta rakyat Malysia tidak mengunjungi tempat-tempat awam". Mungkin ini adalah isi yang terbaik untuk calon UPSR karangkan pada peperiksaan nanti. Tiada nasihat dari pimpinan yang menginsafkan rakyatnya.
Alhamdulillah, syukur jadi anak kelantan, mempunyai Menteri Besar seorang Ulama- tok guru kata ini adalah satu bala, dan memohon pada rakyatnya untuk berdoa dihindarkan bala ini. Air mata menitis, kata-kata tok guru melekat di hati, maka berduyun-duyun rakyatnya bersolat hajat memohon perlindungan dan keampunan Yang Maha Esa. Bila tok guru kata begitu, rakyatnya akan teringat mungkin dikalangan kita ada melakukan maksiat pada Allah. Subhanallah, "Alangkah indahnya jika Tok Guru dipanjangkan umur oleh Allah dan diberi peluang untuk memerintah negara ini."
Wahai mahasiswa USIM, di sini ada satu nasihat,
Jadikanlah wabak yang kita hadapi ini satu bala yang Allah turunkan kepada kita, sebagai kiffarah dan peringatan untuk menguji hambanya. Mungkin dikalangan kita ada maksiat, mungkin dikalangan kita mungkar dengan tuhan, mungkin dikalangan kita mempermainkan ajaran Islam, mungkin dikalangan kita meyokong kezaliman yang dilakukan, mungkin juga dikalangan kita tidak menjalankan amanah yang diberi dengan sebaiknya.
Allah murka saudara,
Bila ada seorang pelajar USIM yang belajar Fiqh Dan Fatwa menyokong akta ISA. Katanya ISA pun ada dalam undang-undang syariah Islam. Dia berhujah dengan contoh undang-undang yang ada di Arab Saudi dan Syria. Subhanallah, entah di mana samanya undang-undang Islam dengan ISA ini. Saya katakan ISA ini zalim, isteri-isteri mangsa dizalimi, anak-anak mangsa tidak menerima kasih sayang seorang ayah, mangsa ISA tidak dibicarakan, maruah mereka ditelanjangi, nasib mereka tidak dibela. Mana adilnya ISA ini?? Dia jawab- Pergilah kau bela isteri dan anak ISA tu!!! Allahuakbar, sedih saya setelah menerima jawapan ini. Dia pelajar tahun tiga Fiqh Dan Fatwa. Bimbang saya apa akan terjadi jika mahasiswa inilah yang bakal memimpin anak bangsa Malaysia. Bimbang saya jika inilah yang dikatakan Ustaz Hasrizal - "Musuh Allah berijazahkan Syariah".
Allah murka saudara,
Disaat kebimbangan wabak H1N1 menular, mahasiswa USIM semakin galak dengan program hiburan yang entah apa-apa. Tadi setengah jam sebelum maghrib masuk, serombongan bas dari USIM menuju ke Putrajaya untuk program CIPTA 1 Malaysia. Di sana nanti mereka akan dihiburkan dengan nyayian dari arits-artis terkenal tanah air, Noraniza Idris, Zalina AF4 dan beberapa artis yang saya sudah hilang dalam ingatan saya. Subhnallah, bala apa lagi yang dimahukan oleh mahasiswa USIM. Kenapa masih lagi seronok berhibur di saat ini.
Baru semalam majlis Perwakilan Pelajar USIM mengadakan majlis Solat Hajat Dan Taubat sempena wabak H1N1 ini. Seolah-olah mahasiswa ini tak takut dengan Allah, mempermainkan Allah.. Astaghfirullah al'azim. Barah apa yang telah menimpa ummah ini.
Sebab itulah sebelum program solat hajat diadakan saya sempat SMS kepada Exco Rohani MPP- "Kenapa baru ditimpa bala mahu ingat Allah,?? Saya harap jangan sekadar membudayakan program ini. Di saat ikhtilat bermaharajalela, apa tindakan kita??
" Sekarang sudah terbukti program ini memang dibudayakan, kalau tidak kenapalah sehari selepas program taubat, mahasiswa dijemput pula untuk menghadiri program hiburan. Subhnallah, tidak cukupkah lagi ini satu pengajaran???
Allah murka saudara,
Kebelakangan ini saya lihat mahasiswi USIM semakin melampau dalam berpakaian. Tidak tahu kenapa? apabila mahasiswi USIM yang belajar Fiqh & Fatwa berpakaian seluar jeans yang ketat gelemat dan baju yang singkat di atas punggung ke kelas. Allahuakbar. apa sudah jadi, dimana Islamnya kamu, di mana malunya kamu, di mana kamu letak maruah ibu-bapa kamu?? Ingin saja saya berteriak kepada senior tu. Tapi saya tahan sehingga merah padam muka saya, sehingga air panas mengalir dari tubir mata sya.
Allah murka saudara,
Apabila pimpinan mahasiswa tidak menjalankan amanah dengan sebaiknya. Kenapa masalah pengangkutan seringkali menjadi igauan para pelajar. Siapa sebenarnya yang bertanggungjawab, saya sebagai mahasiswa tentulah meletakkan kesalahan ini kepada pimpinan mahasiswa. Apa yang susahnya mengurus bas ni. Sehinggakan majoriti mahsiswa terpaksa mengorbankan wang untuk memiliki kenderaan sendiri. Sedang kemudahan disediakan, kenapa ia tidak ditadbir dengan baik.
Allah murka saudara,
USIM sebuah universiti Islam tetapi ikhtilatnya bermaharajalela. Majoriti pelajar USIM lepasan sekolah agama, mengetahui hukum-hakam, halal dan haram. Murka Allah melebihi yang lain, kerana saudara orang yang bertanggungjawab terhadap agama Allah, tahu dengan mendalam erti syurga dan neraka...
Ya Allah, jangan kau timpakan kami dengan bala akibat dari sikap kami sendiri, Ya Allah, kurniakan kekuatan untuk kami memperjuangkan dakwah Mu.... Hanya Engkau mengetahui betapa resah hati aku sepanjang di sini.
Ada perkara yang lebih penting untuk saya bicarakan kepada kalian berbanding mencatatkan tentang kehidupan baru saya di USIM.
Iaitu tentang kematian..Firman Allah: "Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian". Subhanallah...
Sejak tiga minggu saya berada di USIM saya menerima beberapa khabar kematian orang yang saya kenali...Dan hari ini sahaja saya menerima khabar dua kematian...Allahu akbar. Allah sahaja yang tahu betapa gundah perasaan saya.. Innalillah wainna ilaihi rajiun....
Seminggu saya berada di USIM, abah menelefon memberitahu Cikgu Ya, sahabat karib abah meninggal dunia.. anak perempuannya sepatutnya mendaftar sekali dengan saya di USIM. Tapi dia tidak datang mendaftar kerana bimbang dengan kesakitan ayahnya. Sungguh mengharukan, Allahyarham adalah seorang yang soleh sepanjang hidupnya. Pertemuan yang saya lazim dengannya ialah di Masjid Kweng Hitam, Masjid Abdul Rahman. Allah mengurniakan anaknya yang hafiz dan ada anaknya yang mempunyai keturunan albino (kulit puteh)
Beberapa ketika kemudian abah telefon lagi memberitahu, Cikgu Wan taib, bekas pengetua Sekolah Menengah Sains machang meninggal dunia. Turut meninggal adalah seorang aktivis PAS di kawasan Machang.
Hari ini saya menerima mesej dari Mudir tempat saya mengajar dahulu. mesej berbunyi : "Ustazah Khadijah dalam keadaaan tenat, sila sebarkan kepada sesiapa yang mengenalinya".. ustazah Khadijah adalah guru Sekoalah Menengah Ugama Arab Ahmadiah, Banggol Judah. Sebelum ke USIM, saya lah orangnya yang menggantikan Ustazah Khadijah selama tiga bulan.
Jam 3.00 petang, sekali lagi sya menerima mesej dari Mudir Ustaz Fitri: "Kak jah telah meninggal dunia jam 2.45....Innalillah...
Saya belum pernah bertemu dengan beliau walaupun saya begitu amat ingin bertemu dengan Allahyarham. Sepanjang menggantikannya saya sempat menatap gambarnya. Sehari lepas itu saya bermimpi bertemu dengan Allahyarham, dia datang ke sekolah dalam keadaan sihat, dan ceria. saya cam beliau dalam mimpi kerana pernah melihat gambarnya. Tak disangka belum sempat bertemu, Allah telah menjemputnya terlebih dahulu.
Petang tadi abah telefon sekali lagi, Mok kepada Moksujah telah meninggal dunia. Tok Cik Timah sering datang ke Machang melawat anak perempuannya. Dia tinggal di Jelawat. Allahu akbar, kematian itu satu kepastian...
Sebelum itu lagi saya mendapat khabar kematian seorang artis pop terkenal dunia, Michael Jackson, dan didakwa nama islamnya adalah Mikhaeel. Jika benarlah dia Islam, saya berdoa semoga Allah memberi keampunan kepadanya. Dakwaan lagi orang yang bertanggungjawab mengislamkannya adalah Yusof Islam dan Dawud Wharsanaby (betulkan ejaan saya). Semoga ia adalah dakwaan yang benar. Sungguh indah kerana lahirnya dalam keadaan kafir, hidupnya dalam kekafiran, tetapi matinya adalah dalam keadaan Islam... Allah, alangkah indah percaturan hidupmu....moga ia benar...Kenapa? Kerana ia mungkin mencetus kesedaran hidyah untuk lebih ramai peminatnya, Mungkin sahaja....kerana hidayah itu milik Allah...
Tapi berita kematian yang satu inilah yang meruntun jiwa saya. belum pun sempat sya menalaah sepenuhnya kitab tulisan Allahyarham, dia telah pergi meniggalkan kita. Dr. Fathi Yakan, permata dunia Islam yang hilang. Saya menitiskan air mata tatkala mendengar berita ini. Apa Ertinya Saya Menganut Islam- buku yang sejak saya kecil lagi sudah berada dalam rumah saya. Ketika kecil saya sering melihat abah membaca buku ini...
Sekarang baru saya sedar, betapa besar nilainya sebuah buku tulisannya ini. Buku rujukan untuk para aktivis Islam, dan remaja dakwah.....Di rumah saya ada dua buku ini dalam versi arab, saya berusaha untuk mebacanya sampai habis. InsyaAllah....
Ini adalah catatan sebelum bergelar mahasiswa. InsyaAllah, saya akan mendaftar pagi esok di Universiti Islam Malaysia (USIM), Nilaim Negeri Sembilan.
Alhamdulillah, saya mendapat rezeki untuk melanjutkan pengajian saya dalam bidang Fiqh & Fatwa, walaupun ia adalah pilihan terakhir dalam 8 pilihan ketika mengisi borang.
Sesungguhnya perjalanan jauh ke kampus sudah tentu di daalamnya terkandung pelbagai pengalaman menarik.
7 tahun di Syamsul Maarif, penuh dengan kenangan manis. Dalam minggu ini sahaja saya ke sekolah sebanyak tiga kali untuk pelbagai urusan, namun yang penting untuk menatap wajah-wajah guru yang menjadi faktor penting kejayaan ini.
Saya ada menempah sebiji kek, tanda terima kasih kepada guru, hari Ahad ni kawan saya akan hantar ke sekolah. Semoga Allah memberkati segala jasa guru dan curahan ilmu yanng diberikan kepada saya selama ini.
Orang yang paling gembira menerima berita ini, tentulah kedua ibu-bapa saya yang tersayang. Macam tak percaya, Syihan akhirnya ke universiti................
Seminggu dua ini saya berusaha mengadakan banyak pertemuan dengan sahabat handai yang lama dan baru..
Tujuan diadakan pertemuan ini adalah menautkan ukhuwwah yang pudar dan usaha dakwah saya kepada mereka. ..
Saya mengadakan pertemuan dengan bekas pelajar Sekolah Kebangsaan MAchang (2), batch 2001. Gembira bertemu dengan sahabat yang hampir tujuh tahun tak bertemu. Gembira kerana mereka semua sedang mengejar impian masing-masing. Saya mungkin yang tunggal di kalangan ramai sahabat yang mengambil aliran agama.
Mereka gelarkan saya bakal mufti. Saya tersenyum, kerana mereka masih lagi mengingati cita-cita saya semasa darjah dua dahulu, iaitu ingin menjadi ulama'. Berjumpa dengan guru-guru di sekolah rendah dulu mengembalikan ingatan lama, teringat kepada Allahyarham Sir Razak, moga Allah merahmati dan mengampuni beliau di alam barzakh sana amin....
Saya juga mengadakan pertemuan akhir dengan ahli usrah saya. Alhamdulillah saya dapatkan beri mesej beharga kepada mereka supaya meneruskan usha yang sudah berusia setahun ini. Saya tugaskan mereka mencari mad'u baru ubtuk diusrah dan ditarbiah. Alhamdulillah saya dapat menghasilkan 7 orang ahli usrah yang istiqwamah, semoga Allah merahmati perjuangan ini.
Kelmarin saya mengadakan satu lagi pertemuan dengan ahli badan dakwah sekolah Maahad Syamsul Maarif. Mesej saya jelas, supaya mereka tidak lupa dengan makanan-makanan tarbiyyah. Apakah makanan tarbiyyah? Iaitu- usrah, tamrin, qiamullail,tazkirah, baca Al-Quran, musyawarah, puasa sunat dan bersedekah.....
Tak pernah dalam hidup saya melihat Tok Guru menangis seperti dalam gambar ini. Hati saya begitu tertanya-tanya kenapa tok guru menangis. Barulah saya mendapat jawapan, bahwa tangisan tok guru disebabkan kehilangan sahabatnya yang tersayang, Allahyarham Wan Jamil Wan Mahmood, Yang Dipertua Pas Kawasan Tumpat.
Antara kata-kata tok guru yang menyentuh perasaan saya ialah :
"Dalam hidup saya hanya 2 orang yang saya menangis kerana kematian rakan"
Sesungguhnya perjalanan hidup seorang pejuang yang bernama Wan Jamil Wan Mahmood, begitu menganggumkan sesiapa sahaja. Hayatilah video klip ini, khas untuk para pejuang.....
Saya terfikir, apa akan berlaku kiranya Tok Guru meninggalkan kita. Allahu Rabbi, hanya Tuhan yang tahu.......................
Salam kerinduan dan salam kasih sayang kepada semua yang mengenali saya. Hampir sebulan saya tidak menulis lantaran sibuk dengan tugas sementara ini. Mungkin sudah ramai yang mengetahui tugas sementara saya ini. Ya, menjadi guru ganti, yang sudah masuk tiga bulan saya mengajar. Sungguh tak percaya, sungguh melucukan, begitu teruja, penuh semangat dan pelbagai perasaan menyelubungi saya sepanjang tiga bulan saya mengajar di Ahmadiah Banggol Judah.
Keseluruhannya saya gembira sepanjang berada di sini. Dari pagi sampai ke petang, waktu saya penuh di sekolah. Hari-hari berpakaian kemas, baju kemeja masuk ke dalam, berambut panjang (baru seminggu potong, dah pendek), berkopiah kadang-kadang tidak. Tetapi perangai di Syamsul Maarif masih lagi melekat di sini, iaitu datang lewat ke sekolah, kad punch saya sentiasa bewarna merah, sering disindir guru di situ. Apa nak buat, saya tak suka berawal-awalan ke sekolah. Itu tabiat yang sukar untuk diubah.
Menjadi ustaz pada usia muda ini sememangnya sukar. Sukar pelajar nak hormat, sukar untuk saya berkomunikasi. Pelbagai pendekatan saya bawa semasa mengajar, ada yang baik saya teruskan, ada yang tak boleh di bawa menyebabkan saya letih mencari kaedah sesuai. Semua guru di sini maklum, apabila ustaz Syihan mengajar, seluruh bangunan sekolah akan kedengaran nyaringnya suara saya. Sehinggakan mudir ada menegur saya agar memperlahankan suara, saya akur dan terima teguran itu. Sememangnya suara sahajalah menjadi alat saya untuk menarik perhatian pelajar di dalam kelas, kalau tidak diorang buat tok caro jah.
Saya di dalam kelas sedaya upaya membuat yang terbaik semasa mengajar. Saya mengajar kelas Tingkatan Satu sampai kelas Tingkatan Tiga. Kelas yang menyebabkan saya sakit kepala bila masuk ialah kelas 2 Ibn Sina. Kelas yang menyakitkan hati ialah Tingkatan 3 Ibn Sina. Manakala kelas yang saya tenang bila mengajar ialah Kelas 1 Ibn Sina dan 1 Ummu Aiman.
Kelas tingkatan 1 Ibnu Sina, pelajarnya cerdik-cerdik dan mudah faham saya mengajar. Mereka juga tak berapa menyampuk bila saya mengajar. Pelajar kelas ni semuanya lelaki. Jadi segala hukuman dan denda tidak sukar untuk saya laksanakan. Antara nama yang popular ialah Tengku, Amirul Ashraf, Aiman dan ramai lagi.
Kelas Tingkatan 1 Ummu Aiman, bercampur lelak dan perempuan, tetapi pelajar perempuan mendominasi kelas itu. Pelajar lelaki kelas ni nampaknya lebih tidur daripada belajar. Mereka nampak slow sahaja. Antara yang terkenal Syahir, Taufiq, Syukri dan ramai lagi. Saya bersemangat mengajar kelas ni kerana pelajar perempuan begitu tekun belajar dan mendengar apa sahaja yang saya sampaikan. Saya seronok mengajar kerana mereka tidak banyak membuat masalah. Seorang pelajar perempuan tu menarik perhatian saya, namanya Hakimah. Dia ni pemalu, muka sentiasa tunduk, dan cute mute macam hamster.hemoh.hemoh. Antara nama pupular kelas ni ialah 'Afah, Nadiah, Azma dan ramai lagi.
Kelas Tingkatan 2 Ibn Sina, adalah kelas yang paling mencabar untuk saya masuk mengajar. Nak masuk kelas ni kena fikir dua kali. 1o minit saya masuk mengajar telinga saya sudah panas, hati mendidih nak marah dan tangan ringan-ringan nak pukul diorang. Mungkin disebabkan pelajar lelaki mendominasi kelas ni. Hanya sebaris sahaja pelajar perempuan. Saya mudah hilang suara, hilang mood dan hilang arah bila mengajar kelas ni. Cara yang saya buat ialah memberi tumpuan kepada pelajar yang mahu belajar, yang tak nak belajar dihambat keluar atau dihempuk dengan buku teks. Jangan main-main dengan Ustaz Syihan!!! Saya senang hati dengan pelajar yang bernama Abdullah, Farhan, Fauzi, Syuhada, Amalina, dan lain-lain lagi. Manakala yang meyebabkan saya kacip gigi seperti Zakuan, Izzul, Azmi, dan sebilangan lagi.
Kelas Tingkatan 3 Ibn Sina ada cerita sendiri, pelajar lelakinya hanya seorang dua yang minat belajar, yang lain sungguh menyedihkan. Pelajar lelaki ni nampaknya kurang menerima saya sebagai gurunya. Pelbagai feel nakal yang dibuat seolah-olah untuk menarik perhatian saya. Saya tidak boleh garang dengan mereka, kerana mereka suka mengambil kesempatan di atas sifat marah saya. Alhamdulillah, pelajar perempuannya, boleh dikatakan baiklah juga. hu..hu..hu...baik ada makna ke...??? Kalau aku sebut nama yang popular, Husna, Husni, Tengku, Muhamad, Zulakha, Fatinmag, Raihan dan ramai lagi.....Ada sorang tu jenis selalu masuk hantu, padanlah sebab yang lelakinya perangai macam hantu... Ustaz Syihan terkenal dengan watak garang, lucu, serius dan senyum macho/.;.. Bila masuk kelas saya akan buat muka serius kemudian beri salam. Biasanya selepas serius saya bertukar menjadi garang secara bersahaja, kalau ada yang tak siap kerja, tak hafal atau tak bawa buku itulah kesempatan saya untuk menghukum mereka. Pada awal-awal dulu saya menghukum mereka dengan menghempuk buku tebal ke atas kepala tak kira lelaki atau perempuan. Tapi selepas pada tu saya rasa melampau dan pelajar pun menjadi takut dengan saya, Jadi saya tukar denda kepada cubit, tampar belakang atau lekuk atas kepala. Bagi perempuan pula, saya menghukum dengan cara spontan, maksudnya kalau ada pen atas meja saya hentak pen atas kepala, kalau ada pemadam, saya comorkan habuk kapur di muka, kalau berada di jarak jauh saya pekong sahaja kapur tulis ke arah pelajar.
Kadang-kadang denda berdiri atas kerusi, berjemur tengah panas atau pusing padang. Terbaru, Ustaz Mazlelee @ guru disiplin sekolah, telah menghadiahkan semua guru dengan rotan seputung sorang. Ini lebih baik dan berkebetulan Imtihan semakin hampir, jadi rotan cara mudah untuk ugut pelajar menghafal pelajaran.
Saya terbiasa membuat lawak spontan kepada pelajar, tetapi kalau pelajar suka saya akan marah diorang. Satu perkara lagi saya tak boleh tahan kalau pelajar buat lawak, jadi mengelak daripada ketawa saya terpaksa senyum macho iaitu menampakkan lesung pipit bagi menahan ketawa, saya akan ketawa sendirian di bilik guru bagi mengqada' ketawa yang ditahan di dalam kelas.
Satu perkara yang membuat tidak selesa ialah pelajar tingkatan empat dan lima di sekolah ini cenderung memandang saya . Saya bukan ingin bersangka bahawa mereka menaruh minat pada saya, tapi pandangan mereka menyebabkan saya menundukkan sahaja kepala, bila terpaksa melalui kelas mereka. Jika mereka berkumpul di luar kelas saya akan mengubah arah haluan saya atau jika terpaksa saya akan berjalan cepat-cepat kononnya lorat atau kesibukan.
Alhamdulillah, saya mempunyai rakan kerja yang baik-baik. Ada yang taraf abang bagi saya ada juga yang bertaraf kakak dan ada yang bertaraf emak. Ustaz Mie, Cikgu Faisal, Ustaz Li, Sir Azam dan mudir Ustaz Fitri, menerima saya seadanya walaupun saya selayaknya menjadi pelajar mereka tambahan pula Ustaz Fitri dan Sir Azam adalah guru saya semasa saya menuntut di Maahad Syamsul Maarif. Kini keadaan berubah nereka menjadi rakan sekerja, sememangnya saya rasa malu dan rendah diri dengan mereka.
Bicara Ustaz Syihan rasanya ingin berhenti di sini dahulu. Pada perkiraan saya inilah bulan terakhir saya di sini. Kontrak saya tamat 28 Mei ini. Tapi Ustaz Fitri mahu menyambung kontrak sehingga saya mahu sambung belajar. Saya masih belum membuat apa-apa keputusan.
Berbicara tentang sambung pelajaran, saya sebnarnya dalam keadaan bimbang sekali. Saya sudah menolak untuk ke Mesir atau Jordan, kerana saya sedang memohon untuk ke Kuwait. Sudah banyak duit habis untuk tujuan ini. Tapi nampaknya urusan permohonan masih belum selesai. Saya mohon pada Allah agar dipermudahkan urusan pembelajaran saya. Saya terbayang mungkinkah saya tercampak di bumi Malaysia ini untuk sambung belajar. Saya tutup mata rapat-rapat, biarlah Allah sahaja yang tentukan.
Fikiran saya sekarang adalah pada satu urusan yang amat terpenting, Rombongan jemaah Umrah Kembara Sufi. Kalau ikut tarikh tak sampai sebulan lagi. Moga Allah permudahkan urusan dan memakbulkan harapan saya untu ke sana beribadat disamping mengambil peluang untuk muqabalah meyambung pelajaran ke sana. Amin. Moga ia adalah Umrah bersama sahabat dan keluarga yang bersejarah untuk catatan kehidupan saya.
16 April 1989 hingga 16 April 2009 = 2o tahun aku mengenal dunia......
Munajat sempena kelahiran ku ini :
Ya Allah, Engkau la tuhan kami, Tiada Tuhan Selain Mu, Menciptakan Aku, Dan Aku Adalah hamba, aku berada dalam ikatanMu, dan janji untuk bersamaMu, Jauhilah aku daripada sebarang keburukan, Aku mengaku bahawa Engkaulah yang mengurniakan segala nmat kurniaan, Dan Aku mengaku Ya Allah akan segala dosa yang aku lakukan, Ampunkan lah aku, Sesungguhnya tiada yang dapat memberi keampunan kecuali Engkau.
Insya Allah, saya akan menulis catatan yang bertajuk "20 tahun dalam Kehidupan"
Ku hamburkan rasa kesyukuran yang tak terhingga pada Mu ya Rabbi di atas kurniaanMu terhadap apa yang ku doakan selalu. Allahumma qabalta du'a ana. Asykuru ni'matallah kathira.
Hari Khamis yang lepas saya telah mendapat keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008. Hari yang sungguh mendebarkan. Sebelum ke Maahad Syamsul Maarif (L), Labok saya berada di tempat mengajar, SMU (A) Ahmadiah Banggol Judah. Hari tu saya tiada mood untuk mengajar, anak murid saya ada yang perasan pada perubahan wajah saya. Dia tanya ada masalah ke, saya jawab hari ni keputusan STAM. Terus dia maklumkan ke dalam kelas, malu saya bila pelajar beri ucapan selamat kepada saya dan mendoakan kejayaan kepada saya.
Sejam sebelum ke Syamsul Maarif, saya sempat masuk ke kelas Tingkatan Satu Ummu Aiman, mengajar madah Feqah. Hanya sepuluh minit saya mengajar, saya hilang tumpuan dan saya sendiri tak faham apa yang saya ajar. Kemudian saya ubah kepada topik membahagi masa. Saya berikan tips-tips membina jadual waktu, kerana itu penting untuk menilai prestasi pelajar. Alhamdulillah, mereka nampak minat dengan pengajaran itu. Deringan telefon berbunyi, rupanya sahabat sudah ramai yang menunggu saya di Labok untuk mendapat keputusan. Saya habiskan pengajaran saya dengan harapan pelajar dapat membahagi masa dengan baik sepanjang cuti sekolah. Saya hadiahkan juga kepada mereka timbunan kerja rumah yang mesti disiapkan. Kerana saya mahu jadi "The Master Teacher."
Saya tenangkan perasaan dengan solat sunat dua rakaat dan saya bacakan surah kesukaan saya "Ar-Rahman" moga tenang jiwa saya. Dalam doa saya mengharapkan kejayaan saya serta sahabat.
Sekalung Tahniah
Saya mendapat SMS dari orang yang tak dikenali :
Tahniah! Pelajar Cemerlang STAM 08. Moga Dapat Pertingkatkan perjuangan ISlam!
Kaget saya apabila membaca mesej ini. Saya hairan kerana sahabat yang lain masih belum tahu pun keputusan peperiksaan. ssaya pantas menuju ke pejabat sekolah meminta kebenaran untuk keluar mengamil keputusan. Saya menuju ke Maahad dengan mulut tak henti-henti berzikir menenangkan jiwa.
Tahniah! itu ucapan pertama dari sahabat saya, sesampai sahaja saya di Maahad Syamsul Maarif.
Kemudian saya fokus menuju ke bilik guru, untuk bertemu Ustazah Raihan. Sesampai di bilik saya disambut Ustazah Hazirah dengan ucapan : Alf Mabruk!!! Saya hanya tersenyum kaget, apa yang tahniahnya, saya tak tahu apa-apa pun.
Saya menerjah ke meja ustazah, sahabat-sahabat sedang berkerumun di meja ustazah untuk mendapat keputusan. Saya beratur untuk mendapat keputusan. Kemudian saya dapat panggilan pula daripada Akh Tajuddin: Tahniah, tahniah, best student STAM!!! Saya bertambah terkejut. Saya katakan tunggu dulu, saya tak ambil lagi keputusan. tak tahu boleh berapa lagi...
Sebelum giliran saya, sahabat-sahabat lain sudah mendapat keputusan, apaa yang mengejutkan saya apabila saya lihat result Ngah yang mendapat pangkat Rasib kerana hanya satu madah yang rasib. Saya menggosok-gosok belakangnya mudah-mudahan dia tenang dengan keputusan itu. "Allahuakbar"!! itulah bunyi yang keluar daripada mulutnya. kemudian dia bergegas keluar bilik guru. Saya hanya mengelingkan kepala simpati dengan nasibnya.
Sampai giliran saya, sebelum sempat saya mengambil keputusan daripada tangan ustazah, kedengaran suara halus dari mulut ustazah yang mengucapkan "mabruk"!!!!!
Sirna mata saya berubah apabila menatap keputusan ditangan, Alhamdulillah 7 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan. Saya raupkan tangan ke muka tanda kesyukuran di atas natijah ini. Kemudian sahabat datang menerpa ke arah saya, memegang bahu sambil mengucapkan tahniah dan syabas dengan keputusan.
"Syukran, syukran!!! itu sahaja yang mampu saya luahkan dari mulut bercampur rasa haru didada. Kegembiraan saya terhakis apabila mendapat tahu yang sahabat saya ramai yang kurang baik nasibnya. Saya doa di dalam hati mudah-mudahan Allah thabatkan hati sahabat-sahabat dan diberi rezeki untuk mendapat peluang meneruskan pembelajaran.
Walaupun tidak mendapat mumtaz sofi (10 mumtaz), keputusan ini sudah cukup baik bagi saya. Saya membuat panggilan kepada keluarga memaklumkan keputusan ini. Sekali lagi saya mendapat ucapan tahniah daripada keluarga. Cuma abah dan mie dapat tahu lewat kerana sewaktu menerima keputusan, abah dan mie sedang menaiki bas bermusafir ke Kuala Lumpur bertemu anak cucu di sana.
Hari tu saya habiskan RM 20 ringgit berbelanja makan kepada kawan-kawan. Mudahan-mudahan mereka tenang dengan keputusan yang diperoleh. Hanya dua orang yang mendapat pangkat mumtaz, seorang jayyid jiddan, 7 orang jayyid, empat orang mendapat maqbul dan selebihnya seramai 10 orang memperoleh pangkat rasib. Benarlah STAM sememangnya Imtihan yang kadang-kadang boleh menjadi pemusnah harapan dan cita-cita walau hanya sekadar satu madah yang gagal. Sebak di dada mengenangkan sahabat yang tak bernasib baik, mereka semua sama seperti saya bertungkus lumus mengadap pelajaran menghadapi Imtihan. Tapi itulah realiti Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Kagum Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudari Nik Nor Madihah Nik Kamal yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM mendapat 20 A. Insan yang miskin harta tapi kaya dengan ilmu, usaha dan kaya jiwanya yang mampu mengatasi masalah kemiskinan hidup dengan membawa kejayaan cemerlang. Orang yang berlatarkan agama tak akan rasa hina dengan kemiskinan hidup. Tak akan bersedih dengan kekurangan harta. Wala tahinu wala tahzanu, itulah pegangan mukmin cemerlang. Alf mabruk untuk semua pelajar Yayasan Islam Kelantan yang membuktikan bahawa pendidikan kita adalah yang berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.
Jutaan Terima Kasih
Buat mie dan abah, anakmu ini ingin mengucapkan terima kasih di atas segalanya. Selama ini mie dan abah sudah banyak bersusah payah mengurus hidup anakmu ini. Anakmu ini telah banyak menyusahkan abah dan mie. Kedegilan anakmu sering mencarik hati lembut mu itu. Tabahnya mie dan abah dengan kerenah orang yang adakalanya menyebabkan air mata mie dan abah menitis. Kadang kala anakmu ini menaikkan suara, mendiamkan diri, mencebik muka malahan tidak mengendahkan suaramu. Terima kasih dengan doa abah dan mie inilah yang hari ini aku mulai dapat menuai hasilnya. Tunggu sedikit saat lagi anakmu ingin berkhidmat sepenuhnya untuk kebahagian mie dan abah doalah biar anak ini sempat untuk lebih lama menerima kasih sayang kalian berdua. Ameen.
Buat adik beradik sumber inspirasi hidup.
Sekian kalinya buat guru-guru tersayang di Maahad Syamsul Maarif (L), Labok. Terima kasih di atas curahan ilmu kalian, keberkatan dipohon moga ilmu ini boleh di bawa hingga ke Akhirat, menjadi bukti, bahawa ilmu inilah menjadi saksi di hadapan Allah kelak bahawa inilah golongan yang berbakti kepada anak didiknya.
Di sini saya inginkan sebutkan senarai nama guru yang mengajar madah STAM:
Tuan mudir : Ustaz Abdullah b Ab Wahab, madah Hifz Al-Quran & Tajwid. Kadang-kadang lagaknya seorang abang yang baik malah bagaikan seorang ayah yang sering memberi nasihat.
Ustazah Raihan Bt Che Abdullah : Tafsir & Waulmuhu serta Balaghah. Guru kelas yang teristimewa bagi kami. Ada yang menggelarkannya sebagai Ummi, ada yang mengelarkan sebagai Kak Hae, membawa makna keakraban ustazah dengan anak muridnya. Sering marah dengan telatah anak murid yang tua umurnya tapi kebudakan sikapnya. Marah ustazah, marah yang penuh kasih sayang.
Ustaz Rodzlee b Yusof : Nahu & Sarf, Mutalaah & Insya' serta Fiqh. "Lautan ilmu" itulah yang sesuai digelarkan kepada ustaz. Sekelumit marah tak pernah keluar dari mulut ustaz, cuma nasihat demi nasihat itulah yang mendekatkan kami dengan ustaz.
Ustazah Hazirah Bt Ibrahim: Adab Nusus. Ustazah yang ambil berat dengan madah yang diajarnya. Sanggup ustazah bersama kami diluar waktu sekolah membantu menyiapkan kerja kursus wajib untuk madah Adab dan Nusus. Terima kasih dengan doa ustazah hingga ke hari keputusan. Biarlah doa ustazah kepada kami berlanjutan hingga ke akhirnya.
Ustaz Saaidi B Mohamad: Arudh & Qafiah. Kami tidak pernah menitiskan air mata kepada sesiapa, kecuali kepada ustaz. Ustaz sememangnya guru yang terbaik buat kami. Walaupun disaat kami memerlukan, ustaz terpaksa pergi, tapi itulah kehendak Tuhan mengurniakan guru yang dekat di hati kami.
Ustazah Bahiyyah: Tauhid & Mantiq. Kami banyak kongsi masalah dengan ustazah. Sikap yang menyebabkan kami senang dengan ustazah. Terima kasih kerana melayan kerenah dan celoteh kami.
Ustaz R. Azmi: Hadith & Mustolah. Jiwa seorang ulama' pondok begitu menebal pada penampilan ustaz. Guru yang tak pernah memegang rotan atau berkeras dengan kami.
Ustaz Arman & Ustaz Ali Zulfaqar: Dua orang ustaz muda yang datang di penghujung nyawa kami untuk menghadapi Imtihan. Ustaz Ali Menggantikan ustazah Raihan yang bersalin, Ustaz Arman menggantikan Ustaz Saaidi yang bertukar sekolah.
Buat sahabat, semoga Ikatan Pelajar Lepasan STAM 08 itu akan berkekalan sebagaimana kekalnya perhubungan kita hingga ke akhirat. Itu janji kita.