"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Ramadhan pergi meninggalkan kita dengan penuh kehibaan, hadirnya Syawal kita sambutnya lagak sang panglima membawa pulang kejayaan dari perperangan yang berlangsung dalam tempoh sebulan.
Saya menyambut Idulfitri hari ini dengan penuh warna-warni dan kemeriahan di bawah bayangan kesyukuran yang tak terhingga kepada Ar-Rahman. Saya rasakan tahun ini begitu bersemangat untuk beraya disamping keluarga. Tahun ini buat sekian kalinya saya dihadiahkan sepasang baju melayu bewarna koko kekuningan berjenama Crocodile. Tak termimpi saya untuk memakai baju sepasang pada tahun ni, pada harga yang mahal lagi(RM79.oo)(Pantai Timur, Tanah Merah). Seingat saya, kali terakhir saya pakai baju melayu sepasang beserta kain sampin ialah pada tujuh tahun dahulu ketika saya di bangku sekolah rendah, setelah bergelar dewasa saya lebih senang memakai baju melayu atau raihan dan berkain pelikat dan kadang-kadang berjubah dan beserban. Bukan apa, kerana ia nampak matang, ringkas dan sederhana. Terima kasih abah dengan hadiah yang bermakna ini!!!
Saya melangkah ke masjid besar dengan langkah yang bersemangat disamping tersilau-silau pakaian ahli jemaah yang lain. Sungguh seronok, melihat mereka segak berpakaian baru, ada yang nampak terlebih smart, terlebih sederhana, rileks dan sedan molek. Persembahan mereka melambangkan kesungguhan menyambut hari raya. Gema takbir dipagi raya begitu syahdu kepada sesiapa sahaja yang datang bersama. Imam Ilyas yang berkhutbah pada hari itu begitu lantang dan berjaya meniup semangat perjuangan ahli jemaah, doa nasiri yang dibaca diakhir khutbah diaminkan serentak dan padu.
Seusai solat saya dan keluarga beramai-ramai ke kubur melawat ahli keluarga yang terlebih dahulu bertemu Ilahi. Suasana haru dapat saya rasakan apabila bertandang di sini. Benarlah, kuburan adalah tempat untuk kita bermuhasabah dan mengingatkan mati. Mati itu pasti, bekalan yang terbaik untuk ke sana itu mesti. Kami sekadar menyedekahkan Al-Fatihah kepada Tok ayah, Mok, Ustaz me (abi), Pok Cik Wi dan tok nenek yang lain. Asal kita dari tanah dan kembali jua ke tanah, Allah sungguh hebat aturanmu itu. Semoga doa kami mendapat syafaat keluarga di sana.
Pulang ke rumah singgah ke rumah pak sedara dan bergegas ke dapur menikmati nasi arab ala melayu yang disediakan oleh mi. Kemudian diadakan sesi bergambar keluarga.
Saya termenung sendirian, adakah ini idulfitri yang terakhir yang bakal saya sambut di rumah, adakah kemungkinan pada masa akan datang saya tidak lagi di sini mungkin sedang bersedih di negeri orang, di seberang laut sana. Tapi saya perlu tanam azam yang kukuh bahawa saya mesti menjejaki tanah anbiya' untuk menuntut ilmu Allah yang Maha Luas di sana. Semoga cita-cita saya tidak goyah.
Seperti biasa tiba waktu asar saya bergegas menghidupkan motor untuk ke masjid, sampai ke pintu pagar masjid, saya rasakan seperti satu beban yang kuat sedang merempuh motor saya, saya terbabas di tengah-tengah jalan, rupanya saya dirempuh oleh kenderaan dari belakang. Tanpa sempat saya bangun Syaitan yang merempuh saya itu memecut laju motornya tanpa memeberi bantuan kepada saya. Celaka betul, saya langsung tak akan maafkan dua ekor syaitan bermotor Yamaha 135 LC itu. kalau tak di dunia saya tuntut supaya Allah bicarakan di akhirat kelak. Mujurlah saya hanya mendapat kecederaan ringan, lutut dan siku saya nampaknya terkoyak sedikit. kain pelikat saya berlubang dan baju baru saya habis kotor dan sedikit kerosakan di bahagian bawah baju saya. Saya bersyukur kerana kecederaan saya tidak parah. nampaknya saya tiada rezeke untuk solat asar di masjid hari ini, saya pantas menuju ke hospital untuk mendapat rawatan susulan.
Pulang ke rumah semua orang terkejut. Saya hanya tersenyum sambil menggiling kepala. Nampaknya saya tak dapat beraya sakan pada tahun ini. Saya baru merancang untuk ziarah guru, kawan di beberapa tempat, tapi nampak tiada rezeki.
Sekali lagi Allah turunkan saya ujian, janganlah pula Allah memberi ujian hebat yang tak mampu saya tanggung. Kini saya perlu lebih berhati-hati, tak sampai sebulan lagi saya bakal tempuhi ujian yang besar. Yang pasti motorsikal mungkin tidak lagi saya boleh tunggang, sebagai pengajaran, walau bukannya silap saya.