Pagi dinihari ini saya tekad untuk melawat Allahyarham dan saya memilih untuk ponteng sahaja sekolah. Tapi sememangnya Allah telah mentakdirkan bahawa saya tidak sempat melihat wajah Allahyarham sebelum beliau meninggal. Jam 7.30 pagi saya mendapat berita bahawa Allahyarham Tuan Guru Haji Lah Lubuk Tapah sudah meninggal dunia. Saya terkesima. Air mata dingin segera tumpah. Saya membuka buku doa "Nasiri" mudah-mudahan Allahyarham tenang tatkala jasad dan rohnya sudah berpisah. Saya tidak dapat menghabiskan doa ini, air mata saya terus berjejeran. Allah, saya tidak sempat menuntut ilmu dengannya.
Saya memecut laju motorsikal menuju ke Pondok Lubuk Tapah. Jam 8.00 pagi saya bertolak bersama rakan ke sana. Hampir jam 9.00 pagi saya sampai. Di situ orang ramai mulai membanjiri kawasan Pondok Lubuk Tapah dan berduyun-duyun menuju ke rumah Allahyarham. Sesampai saja saya di sana, saya melangkah laju ke rumah Allahyarham Tuan Guru. Melangkah ke anak tangga rumahnya, ananda Tuan Guru yang benama Hamdan tenang berdiri menyambut tetamu yang datang melawat. Wajahnya menggambarkan ketabahan seorang anak yang baru kehilangan orang yang tersayang. Saya sempat bersalam dengan Tuan Guru Haji Hussin Al-Masri.
Kucupan Terakhir.
Air mata saya tidak tertahan lagi tatkala melihat jenazah yang kaku terkapar di katil. Saya menunggu giliran orang ramai untuk melihat wajah ulama' ini buat kali terakhir. Sesampai sahaja giliran saya untuk menatap wajah Allahyarham, Alhamdulillah saya diberi peluang untuk mengucup dahinya buat kali terakhir, seusai ciuman itu air mata saya berjebah keluar. Wajah Allahyarham begitu bercahaya dan tenang. Inilah ulama' besar yang pastinya tida galang ganti.
Putera Mahkota Turun Mencemar Duli
Saya mendapat berita keberangkatan Putera Mahkota, Raja faris untuk menziarahi Allahyarham. Saya bersegera keluar dari rumah Allahyarham, untuk meyambut ketibaannya. Saya sungguh terkejut susuk tubuh berjubah putih dan berkopiah koko itu rupanay Putera Mahkota. Penampilan yang begitu sederhana ditambah lagi dengan sikapnya yang suka memandu sendiri tanpa ada pengawal disebelahnya. Kedudukannya sebagai orang istana tidak disangka-sangka oleh rakyat marhaen dengan penampilan sederhananya itu. Seketika saya berasa bangga dengan sikap seorang Putera Mahkota, ditambah lagi dengan kesudiannya menyedekahkan surah Yaasin kepada Allahyarham Tuan Guru. Kata orang, Raja faris rapat dengan Allahyarham. Syukurlah, Kelantan mempunyai raja yang ditarbiah sendiri oleh alim-ulama'.
Saya sungguh terkesan dengan dialog Raja Faris dengan keluarga Alllahyarham:
"Tok Guru (menteri besar) ada mari ke?"
"Kito akan mari pulok petang ni untuk sembahyang jenazah"
"Malam jumaat ni buat la tahlil, kito nok mari, InsyaAllah"
Di atas adalah lafaz-lafaz dialog Raja Faris menggambarkan betapa baginda seorang yang berjiwa rakyat.
PERGINYA IMAM SYAFIE SOGHIR
Saya sempat mendapat maklumat daripada cerita orang ramai perihal kehidupan Allahyarham Tuan Guru sewaktu belajar di Mekah. Orang di Mekah menggelarnya sebagai Imam Syafie Soghir, menggambarkan kehebatan ilmunya itu. Sebelum dia berangkat pulang dari Mekah orang di sana cuba menghalangnya pulang dan menyuruhnya menjadi Imam di Masjidil Haram. Namun kepastian cerita ini saya tak dapat tashihkan.
Kesempatan Saya Bersama Allahyarham
Inilah kenangan yang pasti tidak akan luput dalam ingatan saya. Pada tahun 2001 saya bersama abah serta abang saya yang ketika itu baru pulang dari Jordan melawat Tuan Guru di rumahnya. Memandangkan anaknya, Hamdan bersahabat baik dengan abang saya ketika berada di Yarmouk, Jordan memberi peluang kepada saya untuk mengenali lebih rapat Allahyarham.
Yang paling manis adalah kesempatan untuk makan tengahari bersama Tuan Guru di rumahnya. Sungguh sederhana, telur goreng bersama sayur serta sambal lada cukup menyelerakan. Allahyarham saya lihat begitu berselera menjamah hidangan yang saya anggap begitu sederhana. Sememangnya saya begitu kaget makan berhadapan dengan Tuan Guru. Betul, kenangan ini tidak akan luput dalam ingatan saya.
Siapakah Yang Bakal Menggantinya?
Persoalan ini saya tinggal untuk sapa-sapa yang mahu menjawabnya. Kehilangannya mutiara yanag berharga ini membuatkan saya tekad untuk mengikuti jejak langkahnya sebagai seorang ulama' yang berjiwa besar. Ya Allah, Kurniakanlah kepada kami ulama' sebagai penyambung perjuangan para nabi. Ya, Allah kabulkanlah permintaan hamba Mu ini. Jadikanlah aku sebagai salah seorang yang mampu menyumbang baktiku kepada masyarakat dengan kamu kurniakan kepada aku ilmu yang bermanfaat. Ya Allah, fakihkanlah aku dalam ilmu agama.......
Allahumma ghfirlahu warhamhu wa'afiahu......Al Fatihah
p/s: Abah dan mie baru balik.....mie sempat bertemu dengan Nabila anak Allahyarham juga kakak kepada Hamdan. Tapi abah tak sempat jumpa dengan Hamdan, kemungkinan kerana masih berada di tanah perkuburan..