"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Setahun 2013, saya tidak post walau satu entry dalam blog saya ini. Semoga kalian para pembaca blog saya masih sihat dan diberikan oleh Allah kebahagiaan dan bertambah keimanan. Sedikit sorotan kehidupan saya sepanjang 2013, moga Allah kurniakan kebaikan tak terhingga.
Disember
Kenangan terindah buat kami, apabila 32 anggota keluarga dapat berhimpun dalam program hari keluarga yang julung-julung kali diadakan. Mudah-mudahan 2014 bertambahlah anggota keluarga besar ini. Dan saya mahu menyumbang untuk penambahan keluarga besar ini. Amin
Buat julung kali juga Kelas Pengajian Kitab Turath yang saya asaskan bersama-sama sahabat yang lain pada 2012 berjaya menamatkan kitab kedua. Kitab pertama Miftahul Wusul ditamatkan pada akhir bulan Mei 2013, manakala kitab kedua Usul Fiqh, Syarah Alwaraqat oleh Imam Haramain yang disyarahkan oleh Dr Abdullah Soleh Fauzan ditamatkan bersama guru yang mulia Dr Wifaq Mokhtar.
November
Hampir sebulan saya ke Arab Saudi untuk urusan memperbaharui visa dan kad penduduk sementara. Alhamdulillah dalam tempoh itu saya dapat mengerjakan umrah dan ziarah.
Oktober
Kenangan indah bersama sahabat Bayt Rahmah berkelah di Gunung Dato'. Walaupun ditimpa kesusahan dengan sesat jalan dan sebagainya, tapi program bina ukhuwwah ini berjaya menghubungkan tautan ukhuwwah antara kami semua. Alhamdulillah. Bayt Rahmah yang ditubuhkan sekitar tahun 2011 sudah mencapai usia tiga tahun.
September
Setelah setahun menangguhkan pengajian di USIM, saya kembali semula ke sini untuk menamatkan semester akhir pengajian ijazah saya. Alhamdulillah walupun ditimpa pelbagai kesulitan, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. di sini. Antara rindu yang terlunas apabila kembalinya ke USIM adalah kerinduan bertalaqi hadis dengan guru yang alim dan mulia Prof Dr Najm Abdul Rahman Khalaf.
Ogos
Saya berpeluang berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah lama saya dahulu, Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Tetapi cabaran utama saya adalah terpaksa mengajar madah-madah yang asing bagi saya, iaitu Geografi, Bahasa Inggeris, Sastera, Matematik, Seni Visual dan bermacam lagi madah yang ganjil. Usaha untuk menghidupkan pusat sumber sekolah disambut baik oleh para guru, sehingga sumbangan buku dapat dikumpulkan lebih dari seribu naskhah buku pelbagai general. Semoga dengan banyaknya buku-buku di pusat sumber dapat memeprkayakan budaya ilmu para pelajar sekolah.
Julai
Saya bertugas sebagai warden Kolej Yayasan Islam Kelantan selama 2 bulan.
Jun
Menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya, Ashraf Tajuddin. Beliau ahli usrah saya di USIM dan pernah berdaurah sebulan bersama di Mekah. Kini menjadi pelajar Madinah. Beliau berkahwin dengan gadis German yang baru memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada mereka.
Mei
Alhamdulillah permusafiran belajar di Riyadh selama setahun diberi peluang bercuti di musim panas. Pelbagai catatan hidup sepanjang setahun berkelana di bumi An-Najd, Riyadh ini. Mudah-mudahan segalanya bermanfaat untuk ummah.
April
Kekecewaan paling berat saya rasakan sebagai warganegara adalah gagal menjadi warga pengundi buat pertama kali kerana jauh di perantauan. Hanya doa dari tanah suci dipanjat ganti kepada kesal yang besar ini.
Mac
Kenangan manis dapat ketemu dua figura besar ulama dunia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mereka ialah Dr Salman 'Audah dan Dr 'Aid Al-Qarni. Figura ummah yang punya pengaruh besar dalam dunia Islam.
Alhamdulillah dapat bersama dalam kelas khas Daurah Tariq Ulama yang menghimpunkan para asatizah dalam pelbagai bidang yang akan menyampaikan syarahan berdsarkan silabus yang ditetapkan, kelas ini mengambil masa dua tahun.
Perjalanan yang paling menarik selama 10 hari di bumi bertuah Jordan. Pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi sepanjang pengembaraan solo ini. Allahu akbar. Dan lebih menyedihkan dalam perjalanan permusafiran ini, sahabat saya di Riyadh, Shahidullah dan beberapa sahabat lain mengalami peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Syukur semua selamat dan shahidullah antraa yang cedera parah.
Inilah sorotan kisah 2013 yang sempat saya catatkan. Nampaknya penggunaan FB telah menyebabkan saya meninggalkan jauh medium blog yang sudah saya anggap sebagai eviden sejarah penting dalam kehidupan sepanjang penubuhannya sejak 2006. Sudah 8 tahun sebahagian kehidupan penting sejarah hidup saya dicatatkan di situ.
2014 moga Allah rahmati kehidupan saya dan Allah tambahkan ilmu di dada. Dan biarlah 2014 adalah tahun terakhir kehidupan bergelar bujangan. Sudah sampai masanya di usia 25 tahun ada teman yang menjadi penawar hati, penghibur diri. InsyaAllah mudah-mudahan. Barakallahufikum.
Saya tidak dapat hadir demontrasi BERSIH 2.0 kerana ada halangan lain dan maslahah yang perlu diutamakan. Saya agak kecewa kerana gagal menghadiri perhimpunan rakyat ini. Perhimpunan budaya rakyat Malaysia dalam negara demokrasi.
Demontrasi adalah unsur yang begitu rapat dengan jiwa saya. Demontrasi telah mendewasakan perjuangan dan kehidupan hari ini. Setiap peristiwa demontrasi yang saya hadir mempunyai kenangan-kenangan istimewa. Ada kesan sejarah yang terukir di hati.
Angin demontrasi hari ini telah mengugah pemimpin dan parti kerajaan. Mereka sangka, kerajaan mereka adalah kerajan kekal sehingga kiamat. Sehingga terlupa mereka bahawa kerajaan ini telah lama memuakkan dan menaikkan rasa benci rakyat.
Semuanya kerana satu patah perkataan; zalim, kotor, rasuah, ganas dan rakus. Patah perkataan ini telah dialami rakyat marhaen berpuluh tahun lamanya. Kerana rakyat cintakan keamanan dan kedamaian maka rakyat turun ke jalanan sebagai isyarat bahawa rakyat tidak mahu terus-menerus dizalimi.
9 Julai 2011 bakal mencatat satu sejarah kebangkitan rakyat, BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat menuntut pilihanraya bersih dan adil. Tiada sekelumit pun unsur jenayah yang terdapat dalam perhimpunan ini. Cukup bermatlamat dan programnya cukup tersusun. Iaitu rakyat berhimpun memohon YDPA menerima memorandum rakyat perihal sistem pilihanraya yang sudah hilang kredebilitnya lagi.
Sungguh istimewa ahli-ahli akademik negara bersekutu menyokong acara budaya rakyat Malaysia. Malahan sasterawan negara menyumbang sokongan dengan lirik puisinya yang menerbit juang rakyat marhaen.
Kata Dr Zaharuddin, demontrasi adalah halal, bukan bid'ah. Tidak boleh diharamkan kerana tiada nas untuk mengharamkannya. Demontrasi adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang diterima dalam sistem pemerintahan negara.
Kata Dr Asri, setelah memahami dan tujuan diadakan BERSIH ia wajar diadakan sebagai memenuhi tuntutan perlembagaan untuk kepentingan politik semasa.
Saya menghubungi Professor Dr Abu Hassan melalui FB dan meminta beliau memberi komen, dengan ringkas beliau menyebut, 'biar rakyat punya lidah sendiri', katanya lagi; 'demontrasi adalah himpunan budaya dalam negara demokrasi.'
Kata Professor Dr Aziz Baari, tindakan pihak berkuasa menghalang BERSIH adalah bertentangan dengan perlembagaan.
Manakala A.Samd Said menukil dua puisi membangkitkan semangat perjuangan rakyat khususnya untuk BERSIH 2.0 Puisinya yang bertajuk Ungun Bersih dan Peludah Warna bagaikan senjata pemusnah kepada parti pemerintah.
Kini semuanya kembali kepada demonstrator untuk turun ke jalanan menyatakan sokongan terhadap tuntutan rakyat. Inilah masanya kerja lapangan dakwah dapat dilaksanakan secara meluas tanpa halangan.
Demontrasi adalah pesta tarbiyyah buat aktivis dakwah yang hidupnya dalam perjuangan. Di sinilah kita kan bertemu, berpelukan dan berbual mesra, menambahkan semangat dan idea dalam perjuangan.
Ia juga adalah himpunan dakwah apabila masyarakat Islam bersama dengan bukan Islam pelbagai bangsa berkumpul dengan aman. Sungguh pelik atas dasar apakah masyarakat berbeza agama dapat berkumpul? Jawapannya adalah atas dasar keadilan sejagat. Tidak kira Islam atau bukan Islam kesemuanya mahukan keadilan. Indahnya jika pendakwah Islam dapat tonjolkan semasa BERSIH keadilamn itulah yang Islam juangkan zaman-berzaman. Tetapi malangnya masyarakat bukan Islam terhijab dengan Islam itu dek kerana bangsatnya pemimpin yang memerintah dengan hilangnya maqasid syariah dalam pemerintahan.
Justeru demonstrator Islam pada hari BERSIH perlu sejagat dengan niat menyeru dan berdakwah kepada bukan Islam bahawa Islam bersama dengan keadilan dan hak-hak rakyat terbela di bawah Islam itu sendiri.
Demonstrator pada hari BERSIH akan bertindak aman dan amanah. Mereka tidak akan mengkhianati undang-undang yang diperuntukkan. Tiada keperluan untuk merosakkan harta benda awam kerana itu tindakan jahat dan tidak bermatlamat. Matlamat utama adalah menyampaikan memorandum kepada YDPA.
Namun provokasi jahat dari kumpulan tertentu bakal mengecohkan susana BERSIH. Tugas demonstrator ialah sentiasa menurut arahan pihak berkuasa dan kepala perhimpunan. Juga bertindak menenangkan rakan-rakan disekeliling. Yang pasti lafaz zikir tidak sekali-sekali berhenti dari mulut demonstrator Islam.
Jangan sesekali melawan, sentiasa bersama dengan orang ramai. Bantulah wanita, orang tua dan anak-anak kecil dalam kesusahan. Pernah saya melihat wanita yang keseorangan disembur dengan air gatal FRU tanpa henti. Pernah juga saya melihat anak seusia 4 tahun menangis kepedihan mata kerana disembur gas oleh FRU. Ada saya melihat orang tua terkapai-kapai mencari air dan rebah tersungkur dijalanan dihambat oleh FRU. Maka ketika inilah demonstrator Islam menjadi benteng dan penyelamat kepada mereka. Jangan sesekali golongan lemah ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemuda-pemuda demonstrator.
Saudara yang akan menyertai demonstrasi, bersedialah bahawa kalian akan dihambat dengan bedilan asap. Kalian akan mendapat hawa dari gas tersebut. Hawa dari gas itu bagaikan membakar wajah saudara. Saudara akan berasa kepedihan teramat sangat. Pada masa tu, air dan garam sahaja penawar kepedihan yang dialami saudara. Dalam keadaan ini semua sudah tidak fikirkan sahabat-sahabt yang lain. Bertempiaran mencari tempat jauh dari asap.
Kemudian, saudara kena berkumpul semula menunjukka solidariti bersama, usah hirau rasa pedih muka dek gas pemedih kerana ia akan beransur hilang. Setelah berkumpul, saudara akan mendapat semangat baru dan bertambah semangat saudara. Teruslah berjalan menuju destinasi. Ketika itu pihak keselamatan hanya membatu melihat gerombolan saudara.
Ada satu lagi senjata FRU yang agak memeritkan, iaitu semburan air sabun yang gatal. Apabila saudara terkena air gatal ini, saudara bagaikan diazab dengan rasa pedih dan kegatalan yang meresapi keseluruh kulit. Hal ini membatutkan perjalanan saudara. Saudara kena tahan dan berusaha mencari sumber air untuk hilangkan kegataln tersebut.
Dan jika pihak keselamatan gagal meleraikan perhimpunan, akhirnya senjata terakhir yang digunakan adalah menangkap setiapa seorang dari kamu secara rambang. Saudara adalah keberangkalian yang akan ditangkap. Maka bersedialah dari fizikal dan mental.
Ketika saudara ditangkap, tiada siapa yang dapat membantu. Hanya yang ada pada saudara adalah Allah. Saudara akan terasa kosong, sahabat-sahabat yang ramai ketika bersama saudara langsung tidak boleh membantu. Ketika saudara digari, saudara akan terasa betapa beratnya perasaan ketika itu. Gari besi itu bagaikan api yang mengikat tangan saudara. Berzikirlah, pasti terpancar kekuatan datang dari Allah.
Saat disoal siasat, yakinlah Allah bersama saudara. Bertindaklah sebagai lelaki. Jawapan hendaklah bijaksana. Jangan terperangkap dengan soalan-soalan pegawai penyiasat. Jangan mengaku bersalah, kerana tindakan saudara termaktub dalam undang-undang.
Allah, saya kecewa tidak dapat hadir ke BERSIH. Teringat bagaimana sahabat nabi yang dijanjikan kebaikan, Kaab Bin Malik yang tidak dapat menyertai perperangan Tabuk. Sesal sungguh Kaab sehingga dia menangis. Allah taala telah menguji beliau dengan satu hukuman yang berat. Para sahabat dan nabi memulaunya sehingga berpuluh hari. Perasaan Kaab ketika itu tersepit. Atas kecekalannya, taubatnya diterima dan kemaafannya juga diterima.
Saya mengambil kekuatan disaat kekecewaan ini dengan kalimah mulia dari wahyu :
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]
Moga kembara musafir aku esok, mengutip mutiara ilmu di tanah suci, mengampun dosa aku untuk tidak turun ke medan perjuangan. Ya, tidak semua harus turun ke medan juang, moga aku adalah golongan yang sedang menekuni ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat. Allah, kamu saksikanlah!!
Tulisan ini khas untuk abang long, abang Ngah dan abang-abang yang lain yang baru merajui tampuk kepimpinan, Sesungguhnya kepimpinan yang cemerlang apabila ahlinya mencintai kepimpinan itu. Seharusnya kepimpinan itu perlu berusaha agar dicintai oleh ahli-ahlinya. Tanpa bersikap buruk sangka marilah sama-sama kita muhasabah untuk mencintai dan dicintai.
Seorang yang memimpin perlu terus mengetahui permasalahan ahlinya sebelum meneruskan agenda organisasi. Pemimpin yang gagal memahami tabiat atau sikap ahli memungkinkan kepimpinan itu diterajui tanpa sokongan dan kehendak ahli. Ahli itu akan menyayangi kepimpinan apabila kepimpinan mendahului rasa sayang dan cinta kepada ahli-ahlinya. Kuasa dan pengaruh kepimpinan itu tidak berguna sama sekali jika ia gagal menarik kesetiaan dan kasih sayang ahli-ahli.
Melihat kepimpinan Rasulullah adalah perkara utama yang perlu diteladani para pimpinan. Rasulullah menangis mengingatkan ummatnya, bukti bahawa Rasulullah contoh kepimpinan yang mencintai. Rasulullah bersifat lembut dengan para sahabat tatkala sahabat melakukan kesilapan dan kekhilafan.Air mata Rasulullah terhadap ummatnya perlu diteladani oleh pimpinan sekarang. Kepimpinan perlu ada sifat ihsan dan simpati terhadap ahli-ahli. Ramai dikalangan ahli yang kesempitan hidup perlu didekati dan didatangi. Bukan membiarkan mereka dalam kesusahan. Langkah menyelesaikan masalah ahli perlu disegerakan bukan dibiarkan ia tertangguh.
Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz contoh kepimpinan yang bersifat mencintai. Pengorbanan Tuan Guru untuk rakyatnya perlu diaplikasi oleh kepimpinan sekarang. Tok Guru tidak bersikap skema dengan tugasannya tapi bersifat fleksibel bila mengurus kepimpinan dan rakyatnya. Kepimpinan Tok Guru hingga sekarang masih gagal atau tiada pengganti yang setara dengannya. Jangan terbeban dengan tugasan memimpin, bergembiralah dalam memimpin sebuah organisasi besar ini. Bermuamalah dengan ceria dan bahagia. Berlapang dadalah dengan kritikan dan teguran ahli. Ahli yang banyak bercakap perlu diberikan banyak tunjuk ajar dan kefahaman. Jangan bersikap mempertahankan diri jika ditegur, bersikaplah menerima teguran dan menganalisisnya dengan baik.
Agenda mentarbiyyah dan dakwah adalah agenda besar yang perlu dokongan bersama. Kepimpinan kuat bila ahli itu kuat. Kekuatan ahli tergantung kebijaksanaan kepimpinan memobilasikan ahli dengan baik.
Saya mencintai kalian dan moga kalian dicintai sepenuhnya oleh ahli-ahli yang lain. Barakallah. Siiru 'ala barkatillah.
Saya sebelum ini kurang mengenal Dr Najib Abdullah, sekadar maklum bahawa beliau adalah Ketua Program kami. Semalam saya diberi ruang untuk mendengar kuliah maghrib yang disampaikan oleh beliau bersempena dengan Kursus Penyembelihan Halal.
Pertama kali saya mendengar Dr Najib berkuliah, hati saya sungguh terasa. Setiap bait dan lafaz yang diucapkannya sungguh membawa makna. Hati saya seperti dirobek dengan kata-kata bermadah beliau.
Bicara beliau terhadap mahasiswa menyeru supaya menghayati erti takwa sepanjang bergelar penuntut ilmu memang mengesankan saya.
Hadis tentang hala dan haram dikupasnya dengan begitu teliti dan mengaitkannya pula dengan kehidupan mahasiswa.Betapa sepanjang proses pengajian kita, pernahkah kita persoalkan tentang keberkatan ilmu yang kita perolehi. Bagaimana ilmu itu kita dapat? Adakah dengan cara yang betul atau ada sesuatu yang menyebabkan hati kita tidak enak untuk menerimanya.
Sebiji buku yang kita gunakan untuk belajar, adakah ia diredhai oleh Allah? Sebagai contoh kita sewenang-wenangnya mefotokopi kitab yang kita pelajari sedangkan, kitab yang asal masih ada dijual. Adakah siswa-siswi sedar sepanjang pengajian, kita telah banyak mengambil hak orang lain?
Soal ilmu berkaitan dengan soal akhlak. Sebab itu berbeza orang berilmu dengan orang bermaklumat. Orang yang bermaklumat boleh bercakap tentang ilmu sekadar teori sahaja tapi gagal semasa amali.
Tetapi orang yang berilmu berjaya dari kedua-dua sudut kerana mempunyai petua. Petua itu diperoleh melalui panduan sang guru, sebab itulah betapa pentingnya hubungan guru dan murid dalam membentuk dunia keilmuan yang sebenar. Rentetan itulah akhlak menjadi pendorong utama dalam pembentukan ilmu dan keperibadian yang unggul.
Dan diakhir kalam Dr Najib beliau menyebut "Buah ilmu itu lahir daripada taa'bbud kepada Allah".
Tatkala saya mendengar kalimah itu, hati saya mulai menangis, bukti bahawa segala-galanya bermula dari Iman. Jika rosak Imannya maka kualiti ilmunya pasti berkurang dan tak ternilai pada pandangan manusia lebih-lebih lagi pada pandangan Allah.
Aqidah Perjuangan Islam merupakan topik asas apabila berbicara soal mahu berjuang di medan dakwah Islami. Amal Islami tanpa aqidah perjuangan bakal merosakkan amal Islami itu sendiri. Seseorang yang mantap aqidah perjuangannya tidak akan keluar dari garisan perjuangan.
Sebab itulah modul utama yang perlu diajar kepada kader dakwah ialah Aqidah Perjuangan. Kerana ia adalah batu asas untuk masuk berjuang dalam medan ini.
Ulama' yang hebat bila luntur aqidah perjuangannya akan terperosok hina di mata masyarakat. Sejarah UMNO menjadi hina apabila parti itu tiada aqidah perjuangan. Buktinya apabila parti ini menerima hasil loteri kebajikan pada awal kemerdekaan dahulu. Tuntas, sekumpulan ulama' UMNO keluar dari parti ini kerana mempertahankan aqidah perjuangan mereka.
Pulang dari syarahan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah di KUIS tadi dengan semangat ingin menjadi 'orang baru'. Orang baru yang bersifat reformist, revivalist, dan penjelajahan.
Tapi bila mendapat khabar ini hancur luluh perasaan saya. Berita 40 orang ulama masuk UMNO adalah musibah buat diri saya. Kerana mereka adalah orang muda yang beridea segar, penggerak pembaharuan, pencinta sunnah dan golongan intelektual muda yang seringkali saya baca tulisannya.
Ia adalah konflik kepada diri saya. Ini adalah musibah. Bakal menjadi fitnah kepada ilmu yang mereka bawa itu sendiri. Kerana gagasan ilmu yang mereka bawa sebelum ini adalah segar di mata masyarakat.
Saya akui saya orang yang bersikap positif dengan pandangan mereka perihal pemurnian ilmu Islam itu sendiri.
Tapi tatkala mereka menyentuh prinsip perjuangan yang sedang saya lalui, saya seperti ingin menyergah mereka. Mereka ini sedang melawan arus kebenaran secara terang-terangan di hadapan masyarakat yang begitu menghormati mereka. Mereka sedang mencarik-carikkan kepingan ijazah syariah yang mereka perolehi. Dakwat tesis PHD mereka sudah mula berbau busuk. Harum wangi Madinah di jubah mereka nampaknya semakin pudar.
Ini adalah fitnah besar terhadap Islam. Kalian golongan berilmu. Golongan mengerti. Berpengaruh kepada masyarakat. Ini strategi jahat. Yang melemahkan Islam. Membunuh harapan ramai. Saya bimbang sekali, fitnah yang tidur bakal bangun kembali dan kalian menjadi mangsanya.
Ini adalaha catatan sayang dan rindu kepada kalian. Tatkala itu saya teringat kepada pesan seorang sahabat sebelum berlepas ke luar negara, :
"Perangi aku jika aku berada di medan yang bertentangan denganmu, Aku bersyukur jika kamu memerangi ku supaya aku kembali semula ke medan kebenaran. Dan aku juga akan memerangimu jika kamu juga terpesong ke medan yang bertentangan."
Malam ini adalah malam air mata meratapi pemergian kalian ke medan yang bertentangan ini. Sedikitpun kalian tidak boleh menggunakan dakwah atau ilmu kalian untuk menjustifikasikan ia sebagai benar.
Saya selitkan status di FB Ustaz Hasrizal sebagai muhasabah bersama :
Yusuf terpenjara akibat fitnah, usaha untuk keluar dgn 'bantuan Raja' tidak diperkenankan Allah [12:42]. Yusuf tidak layak dilepaskan dgn belas ihsan. Sbg mangsa fitnah, baginda mesti dibela dgn keadilan. Mampukah masuk UMNO meraih belas ihsan UMNO untuk terhindar daripada fitnah Wahhabi - JI yang difitnahkan itu? Deklarasi iman ialah 'penjara itu lebih kusukai berbanding apa yg mereka serukan aku kepadanya' [12:33]
Semasa saya sekolah maahad dulu, budaya berebut anak dakwah dikalangan individu senior agak ketara berlaku. Saya berpengalaman menghadapi situasi ini. Tapi saya bukan dikalangan yang menjadi rebutan. Saya dikalangan junior yang anti dengan situasi seperti ini. Sebab itu di maahad dulu saya menjadi dikalangan orang yang anti dengan beberapa AJK Badan Dakwah kerana perihal perebutan anak dakwah. Sikap memilih senior terhadap individu-individu tertentu menyebabkan saya menjadi jengkel kepada mereka.
Sehinggakan dulu terkenal budaya beradik angkat dikalangan senior. Ada yang memilih junior yang cute, anak wakil rakyat, ada kakak perempuan dan pandai bermesra dengan senior. Sehinggakan Badan Dakwah menubuhkan jawatankuasa adik angkat.Jawatankuasa ini diwar-warkan kepada khalayak, menyebabkan ada yang tak berapa selesa dengan suasana ini.
Akhirnya adik-adik angkat yang terpilih langsung tidak membantu kepada perjalanan Badan Dakwah sehingga ia menjadi liabiliti kepada Badan Dakwah itu tersendiri. Di era saya dan sahabat-sahabat 'memerintah' badan dakwah sekolah, dasar atau budaya adik angkat dihapuskan terus.
Kita tidak mahu ada yang keciciran dalam menerima dakwah di sekolah. Kita tidak mahu hanya yang rapat dengan senior sahaja yang difokuskan. Saya benci budaya pilih-memilih anak dakwah. Kerana peringkat menengah ini tahap mereka adalah sama dan sebagai AJK, kesyumulan menyampaikan dakwah ini tidak terbatas kepada individu-individu tertentu. Namun demikian saya tidak pernah menafikan perlunya golongan yang terpilih dilatih untuk menjadi penggerak kepada badan dakwah itu sendiri. Itu perlu, tapi jangan biarkan yang lain keciciran.
Dalam institusi dakwah, kumpulan perbincangan (discussion group) adalah nadi penting kepada hidupnya sesebuah organisasi dakwah. Kerana di sana para dai'e dapat fokus kepada anakdakwah secara mendalam. Ingatlah membentuk manusia bermula dengan hati, dan Allah segala-galanya yang berkuasa menemui hidayah anak dakwah kita.
Mencari anak dakwah untuk mengembangkan pengaruh individu atau kumpulan adalah budaya yang dilaknat Tuhan. Sedangkan maudhu' dakwah itu adalah Islam. Jelasnya, segala perkara yang dsampaikan terasnya adalah Islam. Bukan sekadar ingin menambah ramaikan ahli kumpulan masing-masing. Adalah menyedihkan, golongan yang ingin menarik anak dakwah ini tidak ada kelengkapan yang secukupnya untuk membawa anak dakwah. Sehingga anak dakwah ini akhirnya terhumban ke dalam dunia yang penuh kekeliruan.
Daie yang bertanggungjawab, mempunya matlamat perjuangan yang jelas. Dan matlamat itu diketahui oleh anak dakwah secara berperingkat. Dahulu semasa di maahad, golongan yang bukan ajk badan dakwah juga berminat untuk mencari anak dakwah. Sehingga berlaku pergelutan antara ajk dan bukan ahli ini. AJK dakwah bimbang dengan orang yang berkehendak anak dakwah ini, tapi tak layak memegangnya. Bimbang anak dakwah ini menjadi korban nafsu senior yang tergila-gilakan anak dakwah sedang diri tidak layak untuk memegangnya.
Orang yang berdakwah perlu menghadapi kesusahan dan rintangan. ada dai'e yang ingin berada dalam jalan dakwah dengan senang-lenang, tanpa mahu menempuh dugaan. Tatkala dai'e lain diugut, dipaksa dan diancam untuk melaksanakan dakwah, segelintir dai'e tenang bergerak tanpa ada masalah. Dai'e yang tenang ini, sebenarnya dai'e yang bermasalah. Mungkin ada sesuatu yang salah yang ada padanya menyebabkan tiada kesusahan yang dialami dalam perjuangan dakwah.
Akhirnya, wahai para dai'e, sebelum berjuang, perjelaskan dahulu akidah perjuanganmu, matlamat yang ingin kamu sampaikan, jemaah Islam yang sedang kamu sertai, maudhu' apa yang ingin kamu sampai, jernihkan dahulu fikrahmu dan ketahuilah anak dakwah yang bakal kamu miliki bakal menjadi keuntunganmu di akhirat kelak atau menjadi liabiliti tatkala berjumpa dengan Tuhanmu. Setelah segalanya jelas, ayunkanlah langkahmu menjadi dai'e sejati meperjuangkan Islam yang suci sehingga syahid jasadmu ataupun menang dakwahmu. Allahuakbar!!!
Hari ini hari terakhir berada di Sutera Indah. Mahasiswa USIM sedang sibuk berkemas barang untuk berpindah ke tempat baru, Nilam Court > Sutera Indah, Sutera Indah > Desa Jati dan yang tiada penginapan menginap di Anggerik, Akasia, Kasia, Camelia, Jati Park dan Nilai Spring.
Beberapa hari lepas, saya diajak oleh sahabat untuk sama-sama ke majlis 'buka rumah' pelajar USIM. Pertamanya saya kaget kerana tak pernah hadir ke majlis seumpama ini. Apatah lagi disuruh untuk membaca surah yasin dan azan di segenap penjuru rumah. Hari ini saya mendapat jawapan terhadap amalan sunnah yang dilakukan oleh nabi dan persoalan mengenainya. Selamat beramal dan membaca. Kredit untuk qazikirdandoa
Kenduri Masuk Rumah Baru
Assamualaikum,
Adakah amalan-amalan tertentu didalam Islam semasa kita memasuki rumah baru? Bagaimana pendapat ustaz tentang amalan orang kita yang mengadakan majlis bacaan yaasin, tahlil dan kenduri semasa masuk rumah baru? Apakah ianya bersesuaian dengan sunnah dan al-quran?
Wassalam.
******************** pendekar
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم { بسم الله الرحمن الرحيم } (( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))
Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.
Terima Kasih di atas soalan saudari tersebut . Alhamdulillah , berikut ini adalah jawapan-jawapannya :
1 – Di antara amalan-amalan yang ma’tsur ( sahih sumbernya ) daripada amalan Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah seperti berikut :
a- DOA MASUK KE DALAM RUMAH :
Sebagai mana dijelaskan oleh hadis-hadis berikut :
Ertinya : Dari Jabir Bin Abdullah ra , dia berkata : Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : “ Apabila salah-seorang di antara kamu memasuki ke dalam rumah , dengan menyebut nama Allah tatkala dia masuk , dan tatkala dia makan , maka syaitan pun akan berkata ( kepada teman-temannya ) : Tidak ada tempat menginap bagi kamu sekalian dan tidak ada juga makan malam untuk kamu semua . Akan tetapi , ( jika salah-seorang drp kamu ) memasuki ke dalam rumah tanpa menyebut nama Allah , syaitan pun berkata ( kepada teman-temannya ) : Kamu semua malam ini akan dapat tempat menginap . Dan jika ( salah-seorang kamu ) tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan , maka syaitan itu pun berkata ( kepada teman-temannya ) : Kamu semua akan dapat makan di malam ini “ . ~ Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim rh , di dalam Kitab Al-Asyribah : 3762 .
Ertinya : Dari Abu Malik Al-Asya’ari , dia berkata : Rasulullah s.a.w pernah bersabda : “ Apabila seseorang itu masuk ke dalam rumahnya , maka ucapkanlah : ALLAHUMMA INNI AS ALUKA KHOIRAL MAWLAJI WA KHOIROL MAKHROJI , BISMILLAHI WA LAJNA , BISMILLAHI KHORAJNA, WA ‘ALALLAHI ROBBINA , TAWAKKALNA ~ Erti doa : Ya allah ! Saya memohon kepada-Mu , sebaik-baik tempat masuk , dan sebaik-baik tempat keluar . Dengan Nama Allah , kami masuk . Dan dengan Nama Allah , kami keluar , dan kepada Allah , Wahai Tuhan Kami !, Kami bertawakkal ( berserah-diri ) ~ Maka sesudah itu , hendaklah dia memberi salam kepada keluarganya ( ahli rumahnya ) ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Daud rh , di dalam Kitab Al-Adab : 4432 .
PENJELASAN : Daripada kedua-dua hadis di ats , dapatlah kita fahami bahawa , kita dituntut untuk membaca doa sebelum masuk ke dalam rumah , tidak kiralah samada itu adalah rumah baru , dan lebih-lebih lagi rumah yang telah lama tidak berpenghuni . Doa yang diajarkan itu amatlah mudah , iaitu dengan mengucap Nama Allah Ta’ala seperti membaca : “ BISMILLAH… “ . Ataupun dituruti dengan pula dengan doa di dalam hadis kedua . Dan diakhiri pula dengan memberi “ Assalamu’alaikum “ kepada penghuni rumah . Kalau tiada penghuni rumah sekalipun , maka salam itu adalah untuk diri sendiri , dan juga untuk para malaikat a.s yang menjaga keselamatan umat Islam dan rumah-rumah mereka .
Firman Allah Ta’ala menerangkan perihal memberi salam ini :
Ertinya : “ … Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah-rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang berarti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik… “ ~ Surah An-Nur , ayat 61 .
b- DOA KELUAR DARI RUMAH :
Rasulullah s.a.w juga mengajar kita agar berdoa apabila hendak keluar daripada rumah , sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Anas Bin Malik r.a , doanya ialah :
“ BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALALLAH , LA HAULA WA LA QUWATA , ILLA BILLAH “ ~ Erti doa : “ Dengan Nama Allah , saya berserah-diri kepada Allah , Tiadalah Daya-Upaya dan Tiadalah sebarang kekuatan , melainkan dengan izin Allah “ . ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Abu Daud rh , di dalam Kitab Al-Adab : 4431 .
PENJELASAN HADIS :
Hikmah di sebalik ajaran Nabi s.a.w kepada kita melalui hadis ini ialah , apabila seseorang itu keluar , maka dia sendiri tidak pasti apakah yang akan berlaku ke atas dirinya , lantaran itulah , disarankan agar seseorang Islam itu menjaga dirinya sebaik mungkin dan berdoa dengan doa di atas , Usaha + Doa = Tawakkal ( Berserah-Diri kepada Allah Ta’ala ) . Selain itu ia juga merupakan satu adab di antara seorang hamba dengan Tuhannya , yang mana dengan membaca doa ini dan bertawakkal , seolah-olah si hamba itu meminta izin daripada Tuhannya untuk berjalan di atas muka bumi yang diciptakan oleh Tuhannya itu .
Hal ini mengingatkan saya kepada satu kisah yang termasyhur di dalam beberapa kitab Tasawuf . Ada seorang syeikh yang ‘alim bertanya kepada muridnya : “ Apakah yang akan kamu lakukan , sekiranya ketika kamu hendak datang ke majlis ilmu dengan melalui sebuah ladang , tiba-tiba kamu dihalang oleh beberapa ekor anjing ladang itu ? “ . Murid itu pun menjawab : “ Saya akan menghalau anjing-anjing itu wahai tuan guru ! “ . Tanya Si Syeikh lagi : “ Kalau anjing-anjing itu tetap tidak mahu pergi ? “ . Jawab si murid pula : “ Saya akan cuba lagi menghalaunya “ . Syeikh pun bertanya lagi : “ Jadi , kalau anjing-anjing itu tetap tidak mahu pergi setelah kamu halau beberapa kali ? “ . Murid itu pun terdiam memikirkannya . Lalu Si Syeikh pun memberikan jawapannya berupa satu simbolik dan hikmah kepada kita , dengan katanya : “ Wahai muridku ! , Bukankah lebih mudah , andainya kamu memberitahu kepada tuan punya ladang itu dan meminta dia menjaga anjing-anjingnya agar tidak mengganggu kamu ? “ .
Ya ! di alam ini semuanya di bawah kekuasaan Allah Ta’ala dan pemeliharaan-Nya , samada yang baik ataupun yang buruk , oleh itu bukankah lebih beradab dan lebih baik kita memohon kepada Allah Ta’ala , agar menjauhkan kita daripada segala perkara yang buruk dan bencana itu ? .
2 – Majlis membaca Yasin , tahlil , selawat dan kenduri kerana memasuki rumah baru itu sememangnya TIDAK PERNAH DITUNJUKKAN OLEH NABI MUHAMMAD S.A.W , yang ada hanyalah amalan yang disebut di atas . Akan tetapi , tradisi masyarakat kita yang mengadakan “ Majlis Doa Selamat & Kenduri “ kerana memasuki rumah baru , BUKANLAH PULA SATU PERKARA YANG BURUK DAN JELEK , sama ada menurut kaca mata syariat kita , mahupun adat . Ini disebabkan , mereka mengadakan bacaan tersebut sebagai amalan mengambil berkat ( tabarruk ) dengan bacaan Al-Quran Al-Karim , dan juga dengan doa dan tahlil .
Apatah lagi , menurut keterangan beberapa riwayat , ada disebut bahawa satu rumah yang lama ditinggal , biasanya menjadi kediaman kepada jin . ( Lihat buku : MERAWAT KEMASUKAN JIN DAN HISTERIA oleh Syeikh Abdus Salam Bali , halaman 42 & 108 ) . Begitu juga , jin dan syaitan juga sangat suka mendiami rumah yang mempunyai banyak patung-patung dan lukisan-lukisan bernyawa , sebagaimana yang dijelaskan di dalam beberapa hadis. Jadi dengan mengadakan kenduri doa selamat seperti ini , insya-Allah , berkat bacaan Al-Quran Al-Karim dan solat berjemaah di dalamnya , dan disertakan pula dengan bacaan wirid dan zikir , syaitan dan jin tidak akan mengganggu ahli rumah itu . Tapi , jangan pula selepas majlis itu , para penghuni rumah itu pula yang “ mengikut “ hawa-nafsu syaitan sehingga melakukan 1001 maksiat kepada Allah Ta’ala !? .
Selain itu , kenduri ini juga boleh merapatkan silatur-rahim dan ukhuwwah di kalangan jiran-tetangga , khasnya bagi masyarakat kota yang suka mengamalkan budaya hidup “ nafsi-nafsi “ ( sendiri-sendiri ) tanpa mahu menjalinkan ukhuwwah dan silatur-rahim. Kenduri ( memberi makan ) merupakan satu perkara yang memang digalakkan oleh Islam , dan kita juga hendaklah memahami , bahawa memang mentaliti masyarakat kita abila ditarik kepada dakwah , ialah dengan mengadakan “ KENDURI & MAKAN “ .
Ada banyak sebenarnya perkara-perkara yang kita lakukan TIDAK PERNAH DITUNJUKKAN OLEH RASULULLAH S.A.W itu sendiri , dan tidak pula Baginda s.a.w pernah menegahnya . Lihat sahaja amalan kita di Bulan Ramadhan Al-Mubarak , contohnya : Menghantar hidangan ke rumah jiran-tetangga . Adakah ianya Bid’ah , kerana ianya tidak pernah ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w ?.
Begitu juga dengan kebiasaan “ MENCIUM TANGAN “ di antara isteri dengan suaminya . Di antara anak-anak dengan ibu-bapa mereka . Adakah perkara ini pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w itu sendiri ? . Dan adakah pula ianya boleh dikatakan sebagai Bid’ah Dholalah ( Yang Sesat ) ?.
Begitulah halnya dengan masalah kenduri di atas , maka selagi Majlis Kenduri & Doa Selamat itu , tidak terkeluar daripada tuntutan doa , tuntutan ber “tabarruk” dan tuntutan ukhuwwah yang ditetapkan oleh Islam itu sendiri , maka ianya tidaklah mengapa ( tidaklah berdosa ) .
Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad . RUJUKAN
1 - Jawapan Lisan Oleh Syeikh Solleh Hamdi As-Sisi (M.A – Hadis , Universiti al-Azhar ) .
2 – DOA & DZIKIR PILIHAN ~ Almarhum Syeikh Abdul Aziz Bin Abdullah Bin Baz
Menemui kekasih yang dirindui, Ya Rasullullah. Aku menulis dalam keadaan hiba. Aku menulis dalam keadaan tak pasti adakah tulisan ini sesuai untuk Mu. Engkau kekasih Allah. Bimbang kalimah ini mengundang rasa tidak patut pada Mu. Tetapi aku tetap ingin berbicara denganMu. Biarlah sekejap ini dapat memadam rasa hiba dan mengurang perasaan rindu. Tapi tidak semudah itu, rindu ini tidak akan berkurang walau dengan apa cara sekalipun. Bahkan semakin bertambah perasaan ini. Sehinggalah dapat bertemu dengan Mu wahai Kekasih yang dirindui.
Kekasih yang dirindui,
Sore ini aku sedang mengembalikan ingatan lama, bilakah saat pertama aku mengenaliMu. Ku berkira-kira aku kenaliMu dengan sebuah lagu indah yang Ummi ajar semasa kecil itu. Mungkin umurku 4 atau 5 tahun. Belum bersekolah. Belum pandai berfikir. Entah-entah aku masih belum mumayyiz lagi. Tapi Ya Rasulullah aku ingat akan lagu itu sehinggalah sekarang. Lagu "Anak Nabi Kita" ku hafal dan sebut-sebutkan. Melalui lagu itu kau ketahui kamu mempunyai tujuh orang anak. Tiga lelaki dan empat perempuan. Kassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Ummi Kalsum dan Siti Rokiah.
Tahukah wahai Kekasih, saat aku menyanyi lagu ini aku akan menguatkan suara diakhir nama anakMu iaitu Siti Rokiah. Kenapakah Rasulullah? Kerana nama anak perempuanMu itu sama dengan nama ummiku, Siti Rokiah. Aku berbangga menyanyinya di dalam kelas semasa aku di PASTI. Kemudian aku hebohkan juga nama itu kepada rakan-rakanku semasa di darjah satu. Seronoknya Ya Rasulullah apabila nama ummiku disebut-sebut. Lebih berbangga kerana nama itu juga adalah nama anak perempuanMu Ya Rasulullah. Mungkin Kamu begitu menyayanginya sebagaimana sayangnya ummiku kepada aku. Tapi sayang seorang Kekasih Allah lebih hebat dari sayang seorang insan biasa.
Wahai Rasulullah,
Kini semasa aku besar, barulah aku ketahui bahawa anak-anakMu yang tujuh itu semua meninggal semasa kecil kecualilah Fatimah Az-Zahra. Saat aku membaca kisah kematian anakMu itu di dalam catatan hadis, aku tidak segan untuk menangis. Apatah lagi apabila diceritakan janggutMu basah dengan air mata kesedihan disaat menguruskan jenazah anakanda yang tercinta itu. Tak dapat ku bayangkan betapa sedihnya Ya Rasulullah saat getir Kamu berdepan dengan situasi itu. Bagaimana Kamu begitu tabah menghadapi perancangan Allah itu.
SabarMu Ya Rasulullah benar membuatkan umatMu begitu menyayangiMu. UmmatMu ini begitu amat ingin bertemu denganMu. Kangan melihat wajahMu Ya Rasulullah. Besarnya jiwaMu Ya Rasulullah.
Ya Rasulllah, pernah pada suatu hari ada majlis ilmu khusus berbicara tentangMU. Aku mengambil tempat sebagai peserta. Pada sesi soal jawab aku bertanya tentang anak-anakMu itu kepada ustaz yang berceramah. Aku bertanya "Apakah hikmah Allah mengambil nyawa anak-anak Rasulullah semasa kecil?" Tahukah Rasulullah jawapan daripada ustaz membuatkan aku bertahmid memuji kebijaksanaan Allah mengatur perjalanan hidupMu sebagai kekasihnya.
Ya Rasulullah, kematian anakMu sebenarnya menutup lubang fitnah yag bakal dilemparkan oleh kaum kafir dan munafiq yang membenci risalah dakwahMu ini. Mereka tidak akan mampu untuk menuduhMu sebagai berkepentingan keluarga dalam perjuangan dakwahMu. Mereka tidak lagi mampu untuk berkata bahawa anak-anakMu bakal mewarisi perjuanganMu itu. Allahuakbar!! Besarnya hikmah Allah mengambil nyawa anak-anakMu itu.
Ya Rasulullah,
Aku ingin berbicara denganMu tentang kisah-kisah perjuanganMU dalam menegakkan kalimah Allah. Aku ingin berkongsi suka, duka, airmata dan luka yang Rasulullah alami sepanjang 23 tahun taklifatMu sebagai Rasul. Tak tegar aku melihat betapa susahnya kamu berjuang di medan dakwah ini. Tak sanggup aku mendengar celaan kaum musyrikin menghina perjuanganMu Ya Rasulullah. Pedih perasaanku mendegar diriMu luka dilempar batu semasa berdakwah di Taif. Aku ingin berbicara kisah yang aku tahu ini kepadaMU. Aku ingin melafaz rindu ini kepada Mu. Bahwa aku sangat mencintaiMU.
Ya Rasulullah,
Bumi Madinah ingin sekaliku jejak. Melewati medan syuhada dan perjuanganMu di sana. Moga Allah memberi rezeki untuk itu.
Allahuakbar, lewat senja ini aku menulis untukMU, cukuplah setakat ini dahulu. Akanku panjangkan warkah rindu dan cinta ini pada massa-masa akan datang. Ku kirim rindu ummat ini kepada Mu Ya Rasulullah.
Faktor utama saya tidak mahu belajar di dalam negara ialah tidak ada peluang untuk bertemu ulama' dunia. Tapi apabila Allah telah takdirkan saya belajar di bumi Iqra' (USIM) saya tabahkan hati untuk terus belajar dan diajar di sini. Sambil saya akui saya tidak mungkin sempat untuk menadah ilmu dengan ulama' muktabar. Impian saya terperuk di jiwa dengan perasaan gundah moga Allah memberi rezeki yang baik bila belajar di sini.
Alhamdulillah, seusai program LSP, saya berkampung di Sutera Indah selama beberapa hari bila mendapat khabar dua ulama' dunia akan turun ke Kuala Lumpur. Saya mempersiapkan motor saya untuk ke Kuala Lumpur. Ulama 1 - Prof Dr Tareq Ramadhan (University Oxford)
Dengan bantuan seorang kawan dan Encik Google Map saya akhirnya sampai ke Bukit Kiara degan menunggang motor semata-mata untuk mendengar syarahan seorang ulama' terkemuka. Beliau adalah Prof Dr Tariq Ramadhan, Pensyarah Fakulti Theology, University Oxford.
Mungkin anda mengenali Dr. Said Ramadhan Al-Bouti, penulis buku Fiqh Sirah terkemuka. Jadi Dr Tareq adalah anak kepada Al-Bouti dan cucu kepada As-Syahid Hassan Al-Banna. Subhanallah, akhirnya saya dapat melihat cucu kepada pejuang syahid ini. bukan sahaja melihat tapi mendengar syarahan beliau. Apatah lagi syarahan beliau adalah sempena dengan peringatan kepada perjuangan seorang ulama terkemuka Mohd Asad Rahimullah.
Mohd asad adalah seorang yang berbangsa Yahudi kemudian memeluk Islam, sehingga akhirnya menjadi ulama' dan sempat menulis terjemahan tafsir Al-Quran kepada bahasa Inggeris. Buku "The Road To Mecca' adalah catatan perjalanan beliau bertemu hidayah Islam sehingga menjadi ulama' yang hebat.
Saya sebenarnya begitu tertarik dengan syarahan beliau berkenaan galakan pemikiran kritikal (Critical thinking) dan mendalam (deep thinking) berkenaan dengan ilmu Islam. Katanya golongan Barat menjuarai dalam bidang pemikiraan kritikal ini.
Antara isi penting adalah berkenaan dengan keperluan tajdid, Ijtihad dan masalah taqlid yang berlaku dalam dunia umat Islam kini serta cabaran pandangan alam semesta terhadap Islam.
Beliau juga menjelaskan sikap umat Islam yang kuat menentang Barat sedangkan pada hakikatnya hubungan antara dunia Barat dan Islam sungguh rapat. Sikap trauma kita terhadap Barat sekaligus merugikan umat Islam. Beliau juga mengajak audiens untuk datang ke Barat melihat sendiri suasana sebenar di sana.
Akhirnya beliau mengajak peserta untuk kembali kepada tauhid dalam segenap perkara yang dilakukan.
Alhamdulillah, sesi syarahan bersama dengan Dr Tareq Ramadhan sungguh memuaskan hati apatah lagi dengan kehadiran Dr Kamal Hassan, Dr Faroq serta Tun Dr Mahathir ke majlis ini. Apa yang menghairankan ramai dikalangan peserta terdiri daripada golongan Sister In Islam (SIS) dengan pemakaian yang santai dan rambut lepas. Subhanallah, ini mungkin kehebatan dan tarikan yang ada pada Dr Tareq Ramadhan.
Akhirnya saya puas dapat bertentang mata dengan ulama' yang merupakan waris kepada Mujadid Ulung- As-Syahid Hassan Al-Banna. Asykurullah. Ulama 2 - Prof Dr Syed Naquib Al-Attas (Pemegang Kursi Imam Al-Ghazali)
Selesai di sana, pada sebelah petangnya saya bergegas ke Jalan Duta untuk menghadiri satu lagi seminar iaitu Seminar Pengukuhan Tamadun Islam yang dianjurkan HAKIM dan PKPIM. Saya sempat bertanyakan soalan pada Dr Khalif Muamar (ATMA UKM) berkenaan dengan isu tradisi dan modenis. Saya juga melontarkan persoalan yang panas kepada salah seorang panel yang agak kuat mengkritik Barat dalam sudut ilmu. Saya melontarkan persoalan sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Dr Tareq. Ahamdulillah saya puas mendengar syarahan daripada ramai tokoh akademik berkenaan aspek tamadun. Pada sebelah malamnya, waktu yang dinanti-nantikan oleh semua orang, iaitu Syarahan Perdana yang disampaikan oleh Prof Dr Naquib Al-Attas, ulama tersohor dari Malaysia. Rupa-rupanya sudah empat tahun Dr Naquib tidak muncul dikhalayak ramai menyampaikan syarahan atas faktor-faktor tertentu. Tajuk syarahan beliau adalah Cabaran Dalaman dan Luaran berkenaan Dengan Pandangan Semesta Alam Terhadap Islam.
Banyak perkara yang disampaikan antaranya Shift Paradigm, Understanding Natural Of View dan berkenaan dengan Lost Of Adab. Persoalan Adab merupakan permasalahan umat Islam sekarang untuk maju membina tamadun. Sehinggakan umat Islam tidak tahu untuk meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya.
Beliau juga berbicara tentang ideologi sekularisme yang bercambah dalam dunia umat Islam pada hari ini. Serta berkenaan dengan konsep Islamisasi yangperlu difahami. Saya tertarik pada satu perkara yang disampaikan oleh Dr Naquib, perihal kita yang kurang berbicara tentangRasulullah. Dalam seharian hidup kita berapa kalikah kita berfikir atau berbicara tentang Rasulullah? Satu persoalan berat yang menjadi muhasabah kepada kita semua.
Tamatnya syarahan Dr naquib, peserta terus menyerbu ke atas pentas untuk bersalaman dan bergambar dengannya. Saya juga tidak lepaskan peluang untuk bersalaman dan mencium tangannya, seorang tokoh pemikir yang hebat dan diiktiraf di seluruh dunia.
Alhamdulillah, jam sebelas malam saya bertolak pulang ke Sutera Indah. Akhirnya catatan kembara ilmu berakhir dengan seribu kepuasan dan kesyukuran. Bertemu dua ulama' dunia dalam satu hari merupakan pengalaman yang begitu mengujakan saya. Sampai sahaja di Sutera Indah saya terus lelap. Mungkin kerana minda sudah terlalu letih ditujah dengan banyaknya pengetahuan dua ulama' ini.
Alhamdulillah, tiga hari berkampung di Kampus USIM, mencatatkan memori indah dan pengalaman yang menarik dengan seribu pengetahuan dicedok daripada konvensyen ini. Konvensyen Pendakwah Muda Peringkat kebangsaan anjuran Sekteriat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM), USIM akhirnya berjaya membawa mesej penting kepada ramai penggerak dakwah di IPT seluruh Malaysia.
Saya hadir dengan semangat melihat perubahan dakwah dalam konteks mahasiswa hari ini khususnya di kampus tercinta USIM. Sesungguhnya wacana-wacana dan forum yang dipersembahkan sepanjang konvensyen banyak memberi impak kepada mahasiswa dalam memperkembangkan dakwah di universiti masing-masing. Saya sebenarnya begitu bertuah mendengar seribu pengalaman dari Prof Dr Kamil Ibrahim (Uitm Skudai), begitu menyentuh perasaan. Manakala bahasa tinggi dan penuh sastera yang disampaikan oleh Ustaz Pahrol Juoi membuat mahasiwa banyak berfikir dan berzikir. Saya mengambil peluang untuk bertanyakan sikap pendakwah dalam mengharungi isu tajdid pada hari ini. Alhamdulillah saya berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Katanya orang muda tak boeh membuang apa yang ada pada orang tua. Sungguh mendalam maknanya.
Ustaz Hasnan kasnan (UKM) juga agak menarik mengupas isu pelbagai jemaah dalam universiti. Jawapannya simple dan menarik.
"Dalam keadaan kita sibuk berbalah pasal jemaah, Jangan pula kita lupa tujuan kita untuk berdakwah"
Seterusnya pada bengkel sesama mahasiswa saya sempat menyertai diskusi perihal tajdid agama dan strategi pendakwah menghadapinya. Saya mengambil ruang secukupnya dalam bengkel tersebut untuk berhujah, menukar pandangan, menyebarkan fikrah yang ada pada saya kepada semua mahsiswa kumpulan yang saya sertai. Alhamdulillah pelbagai idea digabungkan tanpa ada bias mana-mana pihak.
Malam penkongsian dakwah sungguh mengharukan saya. Seorang mahasiswi mewakili UiTM Sarawak menceritakan betapa peritnya menghadapai Missionary Kristian di sana. Saya akui bahawa saya menitiskan air mata mendengar betapa hebatnya perjuangan mereka di sana. Saya yang berada di USIM, malu dan berasa kerdil, betapa lemahnya kita berbanding mereka.
"Mereka berjuang dalam kesempitan ruang, sedang kita pasif dalam ruang dakwah yang begitu luas di sini"
Slot terakhir bersama Bro Shah Kirit juga agak menarik berbicara perihal gerakan dakwah kristian. Dan pada majlis penutupan, tak semena-mena saya diminta untuk menjadi wakil bagi pihak peserta USIM untuk menerima cenderahati di pentas. Pada awalnya saya kaget, kerana diberitahu Senator Dr. Mashitah Ibrahim yang akan merasamikannya. Tapi saya tenang apabila Majlis Penutup ini diwakilkan kepada Timbalan Pengarah INFAD, USIM.
Catatan akhir ini saya tujukan kepada urusetia yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Diketuai oleh Saudara Daing Fadzil, saya ucapkan sejuta tahniah di atas kelancaran program ini. Saya terharu dengan semangat kalian dari pagi hingga ke malam bekerja keras memastikan kejayaan program ini.
Timbul rasa malu, saya sekadar menjadi peserta dan memerhatikan kerja buat kalian. Sesungguhnya saya lebih melihat peluang untuk saya menyertai program ini lebih utama daripada menjadi urusetia. Apapun lain masa saya akan bersaama kalian bekerja membawa mesej dakwah di dunia kampus Usim, InsyaAllah!!
Fikrah Islam kampus perlu terus disuburi, jangan berbicara pasal kebimbangan, berbicara pasal peluang, jangan berbicara pasal menunggu kekuatan, berbicaralah pasal banyak kerja dan usaha, kita datang bukan menjadi penunggu, kita datang menjadi perebut, berlarilah ke medan dakwah, ummat memerlukan kita sepantas dan sesegera mungkin.....
Basah darah itu masih berbekas Sakit Luka itu Masih Berparut Hanyir bau itu masih melekat
Masih baru balingan batu itu Masih terasa hinggapan batu itu Masih berpinar penangan batu itu
Ingat lagi basah dahi dengan darah Ingat lagi lajunya keluar aliran darah Ingat lagi merah warna darah
Terkesan aku pada serban itu Terkesan aku pada lilitan serban itu Terkesan aku pada lembut serban itu
Darah itu ingin sekali ku jilat Darah itu tak terasa hanyirnya Darah itu tak henti-henti mengalir
Serban putih itu menjadi saksi Mengelap darah perjuangan Menekap dahi yang penuh darah
Saat darah mengalir Terpancar wajah pejuang Teringat Darah As-Syahid Ahmad Yasin Teringat Darah As-Syahid Dr Rantisi Teringat Darah As-Syahid Muhammad Ad-Durrah
Allahu Akbar Benarlah Perjuangan itu liku Benarlah perjuangan itu Mehnah Benarlah Pejuangan itu pedih
Subhanallah Walau kalah dalam Perjuangan Hati tersenyum puas Biarpun Mata basah dengan Air Mata
Ku pandang wajah pejuang tanpa jemu Ustaz Idris keletihan Ustaz Salahuddin bengkak matanya Dr Dzul terduduk memandang angka-angka itu Ustaz Tantawi ku lihat sedang berdakapan pilu
Aku tak sanggup lagi melihat Jalan Pinang itu ku tinggal sepi Sore itu air mata tak henti-henti keluar
Ku Rentasi malam gelap itu keseorangan Sambil tangan erat memegang serban darah itu Masih terasa perit luka dahi itu Air mata masih merembes keluar
Hingga pagi itu Panggilan dari keluarga mendebarkan aku Kaget mereka mendengar cerita pejuang muda Dari muka utama makalah massa Tak sangka mereka itu adalah aku
Aku menangis sepi mendegar suara ummi Bicara panjangnya terkejut tentang aku
Aku menagis sepi mendengar suara abah Tergeleng melihat semangat juang anak
Dan aku terus menangis sepi Kerana aku masih mendengar suara mereka Aku sangka sudah syahid di medan ini Di bawa pulang sebagai pemuda syuhada'
Serban itu terus kusimpan bersama bekas darah Dan parut ini masih belum hilang dalam lukanya Aku bersaksi akan terus ku berjuang Menang sebagai pahlawan Atau mati sebagai syuhada