Salam syuhada.
Setahun 2013, saya tidak post walau satu entry dalam blog saya ini. Semoga kalian para pembaca blog saya masih sihat dan diberikan oleh Allah kebahagiaan dan bertambah keimanan. Sedikit sorotan kehidupan saya sepanjang 2013, moga Allah kurniakan kebaikan tak terhingga.
Disember
Kenangan terindah buat kami, apabila 32 anggota keluarga dapat berhimpun dalam program hari keluarga yang julung-julung kali diadakan. Mudah-mudahan 2014 bertambahlah anggota keluarga besar ini. Dan saya mahu menyumbang untuk penambahan keluarga besar ini. Amin
Buat julung kali juga Kelas Pengajian Kitab Turath yang saya asaskan bersama-sama sahabat yang lain pada 2012 berjaya menamatkan kitab kedua. Kitab pertama Miftahul Wusul ditamatkan pada akhir bulan Mei 2013, manakala kitab kedua Usul Fiqh, Syarah Alwaraqat oleh Imam Haramain yang disyarahkan oleh Dr Abdullah Soleh Fauzan ditamatkan bersama guru yang mulia Dr Wifaq Mokhtar.
November
Hampir sebulan saya ke Arab Saudi untuk urusan memperbaharui visa dan kad penduduk sementara. Alhamdulillah dalam tempoh itu saya dapat mengerjakan umrah dan ziarah.
Oktober
Kenangan indah bersama sahabat Bayt Rahmah berkelah di Gunung Dato'. Walaupun ditimpa kesusahan dengan sesat jalan dan sebagainya, tapi program bina ukhuwwah ini berjaya menghubungkan tautan ukhuwwah antara kami semua. Alhamdulillah. Bayt Rahmah yang ditubuhkan sekitar tahun 2011 sudah mencapai usia tiga tahun.
September
Setelah setahun menangguhkan pengajian di USIM, saya kembali semula ke sini untuk menamatkan semester akhir pengajian ijazah saya. Alhamdulillah walupun ditimpa pelbagai kesulitan, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. di sini. Antara rindu yang terlunas apabila kembalinya ke USIM adalah kerinduan bertalaqi hadis dengan guru yang alim dan mulia Prof Dr Najm Abdul Rahman Khalaf.
Ogos
Saya berpeluang berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah lama saya dahulu, Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Tetapi cabaran utama saya adalah terpaksa mengajar madah-madah yang asing bagi saya, iaitu Geografi, Bahasa Inggeris, Sastera, Matematik, Seni Visual dan bermacam lagi madah yang ganjil. Usaha untuk menghidupkan pusat sumber sekolah disambut baik oleh para guru, sehingga sumbangan buku dapat dikumpulkan lebih dari seribu naskhah buku pelbagai general. Semoga dengan banyaknya buku-buku di pusat sumber dapat memeprkayakan budaya ilmu para pelajar sekolah.
Julai
Saya bertugas sebagai warden Kolej Yayasan Islam Kelantan selama 2 bulan.
Jun
Menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya, Ashraf Tajuddin. Beliau ahli usrah saya di USIM dan pernah berdaurah sebulan bersama di Mekah. Kini menjadi pelajar Madinah. Beliau berkahwin dengan gadis German yang baru memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada mereka.
Mei
Alhamdulillah permusafiran belajar di Riyadh selama setahun diberi peluang bercuti di musim panas. Pelbagai catatan hidup sepanjang setahun berkelana di bumi An-Najd, Riyadh ini. Mudah-mudahan segalanya bermanfaat untuk ummah.
April
Kekecewaan paling berat saya rasakan sebagai warganegara adalah gagal menjadi warga pengundi buat pertama kali kerana jauh di perantauan. Hanya doa dari tanah suci dipanjat ganti kepada kesal yang besar ini.
Mac
Kenangan manis dapat ketemu dua figura besar ulama dunia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mereka ialah Dr Salman 'Audah dan Dr 'Aid Al-Qarni. Figura ummah yang punya pengaruh besar dalam dunia Islam.
Februari
Alhamdulillah dapat bersama dalam kelas khas Daurah Tariq Ulama yang menghimpunkan para asatizah dalam pelbagai bidang yang akan menyampaikan syarahan berdsarkan silabus yang ditetapkan, kelas ini mengambil masa dua tahun.
Januari
Perjalanan yang paling menarik selama 10 hari di bumi bertuah Jordan. Pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi sepanjang pengembaraan solo ini. Allahu akbar. Dan lebih menyedihkan dalam perjalanan permusafiran ini, sahabat saya di Riyadh, Shahidullah dan beberapa sahabat lain mengalami peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Syukur semua selamat dan shahidullah antraa yang cedera parah.
Inilah sorotan kisah 2013 yang sempat saya catatkan. Nampaknya penggunaan FB telah menyebabkan saya meninggalkan jauh medium blog yang sudah saya anggap sebagai eviden sejarah penting dalam kehidupan sepanjang penubuhannya sejak 2006. Sudah 8 tahun sebahagian kehidupan penting sejarah hidup saya dicatatkan di situ.
2014 moga Allah rahmati kehidupan saya dan Allah tambahkan ilmu di dada. Dan biarlah 2014 adalah tahun terakhir kehidupan bergelar bujangan. Sudah sampai masanya di usia 25 tahun ada teman yang menjadi penawar hati, penghibur diri. InsyaAllah mudah-mudahan. Barakallahufikum.
masya Allah..2013 yg sgt memberikan manfaat dan kenangan manis buat saudara..jeless..:)