"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Setahun 2013, saya tidak post walau satu entry dalam blog saya ini. Semoga kalian para pembaca blog saya masih sihat dan diberikan oleh Allah kebahagiaan dan bertambah keimanan. Sedikit sorotan kehidupan saya sepanjang 2013, moga Allah kurniakan kebaikan tak terhingga.
Disember
Kenangan terindah buat kami, apabila 32 anggota keluarga dapat berhimpun dalam program hari keluarga yang julung-julung kali diadakan. Mudah-mudahan 2014 bertambahlah anggota keluarga besar ini. Dan saya mahu menyumbang untuk penambahan keluarga besar ini. Amin
Buat julung kali juga Kelas Pengajian Kitab Turath yang saya asaskan bersama-sama sahabat yang lain pada 2012 berjaya menamatkan kitab kedua. Kitab pertama Miftahul Wusul ditamatkan pada akhir bulan Mei 2013, manakala kitab kedua Usul Fiqh, Syarah Alwaraqat oleh Imam Haramain yang disyarahkan oleh Dr Abdullah Soleh Fauzan ditamatkan bersama guru yang mulia Dr Wifaq Mokhtar.
November
Hampir sebulan saya ke Arab Saudi untuk urusan memperbaharui visa dan kad penduduk sementara. Alhamdulillah dalam tempoh itu saya dapat mengerjakan umrah dan ziarah.
Oktober
Kenangan indah bersama sahabat Bayt Rahmah berkelah di Gunung Dato'. Walaupun ditimpa kesusahan dengan sesat jalan dan sebagainya, tapi program bina ukhuwwah ini berjaya menghubungkan tautan ukhuwwah antara kami semua. Alhamdulillah. Bayt Rahmah yang ditubuhkan sekitar tahun 2011 sudah mencapai usia tiga tahun.
September
Setelah setahun menangguhkan pengajian di USIM, saya kembali semula ke sini untuk menamatkan semester akhir pengajian ijazah saya. Alhamdulillah walupun ditimpa pelbagai kesulitan, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. di sini. Antara rindu yang terlunas apabila kembalinya ke USIM adalah kerinduan bertalaqi hadis dengan guru yang alim dan mulia Prof Dr Najm Abdul Rahman Khalaf.
Ogos
Saya berpeluang berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah lama saya dahulu, Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Tetapi cabaran utama saya adalah terpaksa mengajar madah-madah yang asing bagi saya, iaitu Geografi, Bahasa Inggeris, Sastera, Matematik, Seni Visual dan bermacam lagi madah yang ganjil. Usaha untuk menghidupkan pusat sumber sekolah disambut baik oleh para guru, sehingga sumbangan buku dapat dikumpulkan lebih dari seribu naskhah buku pelbagai general. Semoga dengan banyaknya buku-buku di pusat sumber dapat memeprkayakan budaya ilmu para pelajar sekolah.
Julai
Saya bertugas sebagai warden Kolej Yayasan Islam Kelantan selama 2 bulan.
Jun
Menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya, Ashraf Tajuddin. Beliau ahli usrah saya di USIM dan pernah berdaurah sebulan bersama di Mekah. Kini menjadi pelajar Madinah. Beliau berkahwin dengan gadis German yang baru memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada mereka.
Mei
Alhamdulillah permusafiran belajar di Riyadh selama setahun diberi peluang bercuti di musim panas. Pelbagai catatan hidup sepanjang setahun berkelana di bumi An-Najd, Riyadh ini. Mudah-mudahan segalanya bermanfaat untuk ummah.
April
Kekecewaan paling berat saya rasakan sebagai warganegara adalah gagal menjadi warga pengundi buat pertama kali kerana jauh di perantauan. Hanya doa dari tanah suci dipanjat ganti kepada kesal yang besar ini.
Mac
Kenangan manis dapat ketemu dua figura besar ulama dunia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mereka ialah Dr Salman 'Audah dan Dr 'Aid Al-Qarni. Figura ummah yang punya pengaruh besar dalam dunia Islam.
Alhamdulillah dapat bersama dalam kelas khas Daurah Tariq Ulama yang menghimpunkan para asatizah dalam pelbagai bidang yang akan menyampaikan syarahan berdsarkan silabus yang ditetapkan, kelas ini mengambil masa dua tahun.
Perjalanan yang paling menarik selama 10 hari di bumi bertuah Jordan. Pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi sepanjang pengembaraan solo ini. Allahu akbar. Dan lebih menyedihkan dalam perjalanan permusafiran ini, sahabat saya di Riyadh, Shahidullah dan beberapa sahabat lain mengalami peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Syukur semua selamat dan shahidullah antraa yang cedera parah.
Inilah sorotan kisah 2013 yang sempat saya catatkan. Nampaknya penggunaan FB telah menyebabkan saya meninggalkan jauh medium blog yang sudah saya anggap sebagai eviden sejarah penting dalam kehidupan sepanjang penubuhannya sejak 2006. Sudah 8 tahun sebahagian kehidupan penting sejarah hidup saya dicatatkan di situ.
2014 moga Allah rahmati kehidupan saya dan Allah tambahkan ilmu di dada. Dan biarlah 2014 adalah tahun terakhir kehidupan bergelar bujangan. Sudah sampai masanya di usia 25 tahun ada teman yang menjadi penawar hati, penghibur diri. InsyaAllah mudah-mudahan. Barakallahufikum.
Khair merenung surat yang baru diterimanya. Air mata mengalir laju. Menitis mutiara air mata pada surat yang dipegangnya. Sayup-sayup kelihatan umminya dari jauh membibit seplastik penuh sayur dan ikan untuk makan tengahari. Khair melangkah laju ke arah umminya. Menerpa dan memeluk umminya.
Terpingga-pingga mak Cik Pah dengan telatah anak bongsunya ini. Dari sejak mengandungkannya sehinggalah sebesar ini, perangai anak bongsunya sukar untuk dijangka. Sentiasa berubah-ubah dan agak memeningkannya.
“Ummi, permohonan adik diterima.” Sambil memeluk khayr memberitahu berita gembira itu kepada ummi. “Alhamdulillah, syukurlah dik, ummi pun gembira. Tapi jangan gembira sangat, macam-macam boleh terjadi.”
Baru semalam, baba memarahi dan meleteri khayr yang terlalu asyik masyuk dengan cita-citanya itu. Baba kata Khayr terlalu banyak berkhayal dengan perkara yang tidak realistik. Baba terlalu geram melihat Khair asyik dengan fail hijau itu ke hulu-ke hilir. Sekejap ke sekolah, sekejap ke pejabat YB dan bermundar-mandir di bandar. Pekerjaannya hanya satu, untuk pergi ke Madinah dengan tajaan entah dari syarikat mana. Itulah yang Khayr gilakan sangat. Dan itulah yang dibimbangi babanya. Sudah beratus ringgit dilaburkan Khair untuk cita-citanya yang entah ke mana ini.
“Khair, adik kena sedar kita tiada duit nak pergi jauh-jauh. Madinah tu bukan dekat. Mana ada syarikat yang senang-senang nak taja adik ke sana. Kalau ada pun, bukan adik yang ditaja, anak orang-orang besar ramai kat luar sana.” Tengking baba kepada Khair. “Baba, tolonglah faham ini lah satu-satunya harapan adik untuk ke sana.”
Khair meluru ke bilik, tak tahan mendengar leteran babanya, menyembam mukanya ke dada bantal. Khair tak mampu menahan air mata keluar. Esak tangisannya mula kedengaran. Pada usia 18 tahun khayr gagal mengawal perasaannnya menangis. Semuanya kerana cita-cita besarnya itu. Pergi Madinah, melihat makam nabi dan berdoa di Raudhah. Hanya itu yang dimahukan. Janji Ustaz Razali digenggam erat. Pengurus Syarikat Perlancongan itu berjanji untuk menajanya ke Madinah.
“Allahuakbar…….. bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah…..” Bacaan Khair ketika rakat pertama solat maghrib tersekat pada ayat kedua surah Al-Fatihah. Dia tak mampu untuk menamatkan ayat ini, kerana air matanya sudah mengalir laju, pipinya sudah merah menahan tangisan, dan mulutnya sudah tak dapat lagi menggerakkan lidah untuk menamatkan surah ini. Kepalanya pada saat itu tertumpu pada bayangan Madinah. Kemudian kepalanya berpinar-pinar. Akhirnya Khayr terjelepok jatuh di atas sejadah putih.
Catitan ini adalah catitan ringan saya selepas dua bulan tidak bekarya. Ada dua faktor, tahap akademik saya semakin berkurang dan cabaran menghadapi pelbagai situasi genting sebulan ini.
Ini adalah catitan cinta yang ingin kongsi bersama. Cinta bukan perkara akademik yang perlu didalami secara mendalam perbahasannya. Cinta adalah perkara yang berkaitan iman dan perasaan. Tidak dapat tidak cinta juga memerlukan ilmu sebagai pengawal kepada perasaan dan penambahan kepada iman.
Jika kita bercinta atau jatuh cinta, perkara pertama yang perlu kita kaji adalah diri kita kemudian barulah diri orang yang dicintai itu. Justeru kekuatan yang ada pada kita adalah asas kepada permulaan cinta itu.
Kurang ilmu dan agama faktor rosaknya sebuah percintaan. Kerana sebuah percintaan itu memerlukan kawalan yang rapi. Kerana perasaan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dengan akal dan kebaikan seseorang. Seseorang itu nampak baik pada zahirnya bukanlah penentu kepada kemampuan untuk kawalan cinta ini. Kawalan cinta ini luhur dari iman yang teguh dan ilmu yang mantap.
Memilih untuk bercinta adalah keputusan penting yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Kerana ia membabitkan kewajipan, keutamaan, keperluan, kesanggupan, perancangan dan keredhaan. Kesemuanya itu berlangsung dan perlu difahami kedua belah pihak.
Keputusan untuk menaruh perasaan kepada seseorang adalah
memerlukan ketabahan hati. Jiwa perlu lapang dan besar. Ketika ini takdir akan diaplikasikan dengan sebenarnya. Kerana hanya ada dua keputusan terima atau tidak.
Cinta itu adalah satu gelojak perasaan yang bergelora. Jika tidak kena caranya bakal membakar diri dan orang lain. Teringat dengan catatan Ibn Qayyim al-jauzi dalam kitabnya menyebut:
“Cinta itu ialah bara di dalam hati, membakar apa pun yang tidak dikehendaki sang kekasih”.
Kata-kata Ibn Qayyim ini dapat kita ketahui seolah-olah pendaman perasaan cinta kita kepada seseorang bakal memberi kesan yang tidak elok jika bukan dengan caranya.
Sebab itulah cinta bukan kerana ikut-ikutan kerana nafsu akan berperanan. Tapi cinta adalah satu keputusan dan perancangan yang rapi. Ingatlah cinta adalah satu kuasa yang luar biasa, dan jika kena luahannya bakal memperoleh natijah yang baik. Makna cinta kepada seseorang perlu dipedalami dengan bersungguh.
Justeru Ibn Qayyim sekali lagi menyebut makna cinta dengan ibarat yang begitu indah:
“Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan
kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya, adalah ketakutan kepadanya , daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupnya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong, bererti cinta itu kosong.”
Dalam membawa pelayaran cinta ini, pelbagai isu dan permasalahan luaran dan dalaman yang membantut usaha seseorang itu menzahirkan rasa cintanya.
Seseorang itu tidak layak untuk bercinta jikaibadahnya tidak sempurna. Bagaimana mungkin orang yang tidak menunaikan solat untuk bercinta. Dirinya sendiri tak terjaga apatah lagi untuk membawa satu amanah besar percintaan ini. Apa jaminan untuk kesucian sebuah cinta jika hubungan mulia dengan Ilahi tidak terlaksana. Bahkan cinta yang diterokainya ini menambah lagi mafsadah kepada dirinya dalam kekhusyukan beribadah kepada Allah.
Mari kita murnikan sebuah percintaan ini. Kadang-kadang percintaan kita terganggu kerana faktor keluarga. Sesetengah keluarga mempunyai pemikiran lama yang masih sukar diubah. Kadang-kadang pemikiran ini membawa kepada kesyirikan kepada Allah. Saya teringat kepada sebuah filem karya Habiburrahman El-shirazy, keluarga dalam filem ini menolak luahan cinta seorang lelaki soleh kerana lelaki ini anak sulung. Justeru anak sulung dalam kepercayaan mereka bakal membawa kemudaratan kepada anak tunggal mereka. Astaghfirullah, inilah adalah kesyirikan yang nyata dalam pemikiran orang lama.
Sedangkan dalam Islam jelas membahaskan perihal kufu atau kesamaan pasangan dalam sebuah perkahwinan. Kufu itu tidak pernah menyebut perihal status, kedudukan atau nilaian keturunan atau bilangan adik beradik. Kufu yang dibahaskan disini adalah nilai agama pasangan terbabit. Justeru tidak kufu satu pasangan yang seseorang itu orang jemaah masjid dengan pasangan seorang pelaku maksiat jalanan.
Soal tinggi pendek, kurus (keding) atau gemuk, putih atau hitam, jawa atau cina adalah persoalan subjektif yang tidak mungkin dapat disamakan semuanya sekali.
Mari kita murnikan percintaan ini. Cinta sepatutnya melepasi ruang lingkup kekeluargaan. Justeru nabi tidak menggalakkan percintaan dengan hubungan yang terdekat. Kerana Islam mahukan keturunan itu berkembang dengan luasnya merentasi sempadan kekeluargaan dan kaum. Kerana Allah menciptakan lelaki dan perempuan, warna kulit yang pelbagai untuk berkenalan.
Konflik dalam bercinta ialah memilih orang yang dicintai. Cantik disisi kita tidak semestinya cantik disisi Allah, baik disisi kita tidak semestinya baik disisi Allah. Justeru pilihan cinta hendaklah berdasarkan kehendak Allah. Kehendak Allah adalah kehendak agama yang digariskan dalam Al-Quran. Ingat dalam surah Rum ada tiga sifat dalam sebuah percintaan itu: mawaddah, rahmah dan sakinah. ketiga-tiga sifat ini semuanya berkaitan dengan hamba Allah yang gigih melaksanankan tanggungjawab agama.
Putih, gebu, mata bulat, dahi licin, tinggi lampai, berjanggut lebat, bermisai nipis bukanlah penentu kepada baiknya seseorang yang dicintai itu. Tapi kecantikan tidak boleh lari dari pilihan manusia ini. Justeru nabi menyebut tentang memilih pasangan antaranya adalah kerana kecantikan. tetapi agama yang lebih utama. Jika yang dicintai itu beragama dan cantik maka ia adalah pakej yang sempurna anugerah Ilahi.
Mari kita murnikan percintaan ini dengan melakukan istikharah cinta. Dalam solat istikharah kita meletakkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Kerana dalam doa istikharah menyebut perihal imu Allah dan takdir Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa supa Allah bagi jalan petunjuknya untuk kita memilih cinta kita yang terbaik disisi Allah.
Percintaan yang dibicarakan ini berbalik kepada penghambaan kita kepada Allah. Sucikan hati kita dan bersungguhlah mencari kebenaran dalam bercinta.
Ibn Qayyim Al-jauzi ada menyebut :
“Tunggalkan Allah dalam cinta dan berikan kepadaku kasih sayang, atau cintamu kepadaku sebagai cinta kerana kasih sayang, yang telah dimasukkan oleh Allah ke dalam hati orang tua kepada anaknya, bukan cinta disamping cinta kepada Allah”.
Subhanallah yang menciptakan hati ini untuk diisi dengan sebaiknya. Jangan kotorkan hati ini dengan maksiat dan kegelapan. Mudah-mudahan dengan istighfar kita Allah bukakan mata hati untuk kita benar memilih cinta yang sebenarnya.
Ingatlah firman Allah S.W.T :“Sesungguhnya Bukan Mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” – Alhajj:46
16 Mei mengembalikan ingatan saya kepada sesuatu perkara yang menyebabkan saya begitu rindu untuk merasai suasana itu kembali. Menjadi anak cikgu adalah sesuatu perkara yang amat saya bangga. Tiba-tiba hati ini terusik apabila mengenangkan kembali sejarah hidup abah yang melalui liku-liku hidup sebagai seorang guru, pada pandangan saya sebagai guru sejati. Kenapa tidak, selama 32 tahun berkhidmat sebagai guru, pelbagai cabaran ditempuhi yang kadang-kadang sebagai anak turut merasa tempias kesusahan hidup sebagai anak cikgu. Ingin sekali saya catatkan khidmat abah sebagai guru yang berdedikasi.
Sebelum saya lahir, abah sudah bergelar cikgu, cikgu lepasan maktab perguruan, Cerita abah tentang guru begitu menusuk jiwa. Cerita abah yang terpaksa berkhidmat di Sabah, walau saat itu Ummi sedang sarat mengandung anak pertama. Atas komiten kerja, abah meninggalkan isteri tercinta di kampung halaman. Terbang sendirian ke daerah jauh di bumi Sabah. Sedangkan abah sepatutnya menemani Ummi menunggu saat-saat bahagia menimang anak pertama. Kerana cikgu abah mengorbankan satu peristiwa penting. Kata Abah saat kakak sulung saya dilahirkan dia menanti detik-detik penting itu di pesisiran pantai, tanpa merasa suasana tangisan anak sulung, tanpa sempat untuk membisik kalimah azan dan iqamat ke telinga anak sulungnya. Allah betapa sayunya hati saya mendengar cerita abah. Pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi khidmatnya sebagai guru.
Selama waktu berlalu, abah pulang berkhidmat di negeri kelahiran. Cerita abah tentang kehidupannya di sini juga amat mendalam rasa sayu saya, kata abah sewaktu guru-guru lain berbangga ke sekolah dengan kereta dan motorsikal, abah rendah diri mengayuh basikal ke sekolah. Setiap pagi abah ke sekolah mengayuh basikal digendongnya kak long yang menumpang untuk di bawa ke sekolah Tadika. Tugas abah sebagai guru semakin mencabar kerana seringkali abah ditukar tempat mengajar. Berulang-alik ke sekolah yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Anak, semakin ramai, belanja semakin bertambah dan wang minyak motor untuk abah berulang alik ke sekolah tidak mampu lagi ditampung dengan gaji bulanan yang tak seberapa. Abah cari jalan, pagi sebelum ke sekolah abah meletakkan kuih-kuih di kedai makan, manakala seusai pulang dari sekolah abah menoreh getah tinggalan nenek saya. Bayangkan seorang guru menoreh getah, Ah, cukup memeritkan!!
Saya seringkali ditinggalkan oleh abah untuk ke sekolah gara-gara saya bangun lewat. Abah memang menjaga masa, abah sebagai guru perlu tunjuk teladan baik kepada anak didiknya, jika abah lewat maka imejnya sebagai guru akan tercalar. Walau jaraknya jauh, semangat abah begitu tinggi untuk mendidik anak bangsanya. Pada ketika abah kekeringan wang, abah masih lagi ke sekolah tanpa ada bekalan wang. Suatu perkara yang menarik tentang abah, abah tidak pernah memaksa anak muridnya menjelaskan yuran sekolah. Abah menyuruh anak muridnya membayar yuran semampu yang ada. Malah abah menerima, walaupun anak muridnya membayar seringgit seminggu, atau lima ringgit sebulan. Yang penting anak murid berusaha untuk membayar yuran. Sehingga kepada satu peringkat, abah terpaksa mengeluarkan wang gajinya untuk menjelaskan yuran anak muridnya.
Saya sebagai anak merasa cemburu kerana banyak masa abah dihabiskan di sekolah, walaupun dihujung minggu. Saya juga sering mengekori abah ke sekolahnya. Itulah saat yang saya gembira. Suasana berada di sekolah menengah saya sudah rasakan sejak kecil lagi. Pernah abah pulang dengan wajah yang merah padam, apabila diselidik rupanya abah menampar anak muridnya yang merokok di tandas. Saya perasan abah seperti tersalah, tapi itulah liku-liku yang perlu abah lalui. Saya bangga abah mempunyai perinsip yang jelas, abah tak pernah membuang kopiah apabila berada di sekolah. Walaupun ia jelas menyanggahi peraturan sekolah. Kerana kopiahlah, menyebabkan abah seringkali ditukar ke merata-rata tempat. Mereka di atas fikir kopiah satu lambang yang menggusarkan mereka, kopiah membezakan latar politik kepartian. Abah tak pernah takut ditukar, dan abah seringkali menzahirkan kepada pengetua prinsipnya, perjuangannya dan kelantangan abah bersuara dalam setiapkali mesyuarat membuatkan orang atasan tidak senang duduk. Fikrah Islam yang abah bawa menyebabkan abah tak pernah merasa dinaikkan pangkat, sedangkan sahabat sejawatan sudah lama menjadi guru kanan, pengetua dan sebagainya. Abah kekal sebagai guru penolong sehingga ke pencen.
Setiap tahun 16 Mei adalah hari yang begitu saya nantikan, apa tidaknya apabila abah pulang abah akan membawa seplastik besar yang terkandung di dalamnya hadiah-hadiah yang diberikan oleh anak muridnya. Saya berebut dengan adik beradik untuk membuka kandungan hadiah. Ada yang bagi kain, bunga, perhiasan dan sebagainya. Tak kurang juga yang memberi tisu, pen, kad hari guru, lukisan dan hadiah yang pelik-pelik. Sungguh menyeronokkan.
Kini 32 tahun masa berlalu abah berjaya menamatkan khidmatnya sebagai seorang pendidik dengan penuh liku-liku perjuangan. Saya tidak dapat lagi membantu abah menebuk kertas jawapan ABC, membantu abah membilang markah, dan membaca jawapan anak murid abah yang kadang-kadang melucukan. Tidak dapat lagi saya melihat buku rancangan mengajar abah yang sering dikepit ke hulu ke hilir. Tidak dapat lagi melihat buku rekod pelajarnya yang berselerak di penghujung dinding rumah. Upah membantu abah memberi markah sudah tak dapat lagi saya rasai. Tie yang sering abah pakai hanya tergantung di rumah. Oh, rindu menjadi anak cikgu kembali mengamit perasaan.
Kini ramai anak muridnya berjaya dalam hidup, dan anak-anaknya kini sedang mengikut jejaknya sebagai pendidik. Walaupun abah sudah pencen menjadi guru tapi tugas mendidik tak pernah berhenti, abah kini mendidik, tetapi bukan lagi anak-anak muda tetapi orang-orang yang berusia yang mahu memperbetulkan tajwid Al-Quran, tetapi sayangnya mendidik orang tua tak perlu kepada sekolah, buku rancangan mengajar, alat bantu mengajar, rotan dan kapur tulis. Ah, abah lebih merindukan suasana itu daripada saya sendiri…………………….. Selamat Hari Guru.
Anak cikgu
p/s-artikel ini ditulis 2 tahun lepas semasa saya berada di bangku sekolah. Saya edarkan artikel ini kepada guru-guru di sekolah sebagai semanagat kepada merka untuk mendidik bukan mengajar...Sudah lama abah meningalkan dunia persekolahan, tapi abah tak pernah jemu mendidik, terutama anak nakalnya ini...
Menemui kekasih yang dirindui, Ya Rasullullah. Aku menulis dalam keadaan hiba. Aku menulis dalam keadaan tak pasti adakah tulisan ini sesuai untuk Mu. Engkau kekasih Allah. Bimbang kalimah ini mengundang rasa tidak patut pada Mu. Tetapi aku tetap ingin berbicara denganMu. Biarlah sekejap ini dapat memadam rasa hiba dan mengurang perasaan rindu. Tapi tidak semudah itu, rindu ini tidak akan berkurang walau dengan apa cara sekalipun. Bahkan semakin bertambah perasaan ini. Sehinggalah dapat bertemu dengan Mu wahai Kekasih yang dirindui.
Kekasih yang dirindui,
Sore ini aku sedang mengembalikan ingatan lama, bilakah saat pertama aku mengenaliMu. Ku berkira-kira aku kenaliMu dengan sebuah lagu indah yang Ummi ajar semasa kecil itu. Mungkin umurku 4 atau 5 tahun. Belum bersekolah. Belum pandai berfikir. Entah-entah aku masih belum mumayyiz lagi. Tapi Ya Rasulullah aku ingat akan lagu itu sehinggalah sekarang. Lagu "Anak Nabi Kita" ku hafal dan sebut-sebutkan. Melalui lagu itu kau ketahui kamu mempunyai tujuh orang anak. Tiga lelaki dan empat perempuan. Kassim, Abdullah, Ibrahim, Fatimah, Zainab, Ummi Kalsum dan Siti Rokiah.
Tahukah wahai Kekasih, saat aku menyanyi lagu ini aku akan menguatkan suara diakhir nama anakMu iaitu Siti Rokiah. Kenapakah Rasulullah? Kerana nama anak perempuanMu itu sama dengan nama ummiku, Siti Rokiah. Aku berbangga menyanyinya di dalam kelas semasa aku di PASTI. Kemudian aku hebohkan juga nama itu kepada rakan-rakanku semasa di darjah satu. Seronoknya Ya Rasulullah apabila nama ummiku disebut-sebut. Lebih berbangga kerana nama itu juga adalah nama anak perempuanMu Ya Rasulullah. Mungkin Kamu begitu menyayanginya sebagaimana sayangnya ummiku kepada aku. Tapi sayang seorang Kekasih Allah lebih hebat dari sayang seorang insan biasa.
Wahai Rasulullah,
Kini semasa aku besar, barulah aku ketahui bahawa anak-anakMu yang tujuh itu semua meninggal semasa kecil kecualilah Fatimah Az-Zahra. Saat aku membaca kisah kematian anakMu itu di dalam catatan hadis, aku tidak segan untuk menangis. Apatah lagi apabila diceritakan janggutMu basah dengan air mata kesedihan disaat menguruskan jenazah anakanda yang tercinta itu. Tak dapat ku bayangkan betapa sedihnya Ya Rasulullah saat getir Kamu berdepan dengan situasi itu. Bagaimana Kamu begitu tabah menghadapi perancangan Allah itu.
SabarMu Ya Rasulullah benar membuatkan umatMu begitu menyayangiMu. UmmatMu ini begitu amat ingin bertemu denganMu. Kangan melihat wajahMu Ya Rasulullah. Besarnya jiwaMu Ya Rasulullah.
Ya Rasulllah, pernah pada suatu hari ada majlis ilmu khusus berbicara tentangMU. Aku mengambil tempat sebagai peserta. Pada sesi soal jawab aku bertanya tentang anak-anakMu itu kepada ustaz yang berceramah. Aku bertanya "Apakah hikmah Allah mengambil nyawa anak-anak Rasulullah semasa kecil?" Tahukah Rasulullah jawapan daripada ustaz membuatkan aku bertahmid memuji kebijaksanaan Allah mengatur perjalanan hidupMu sebagai kekasihnya.
Ya Rasulullah, kematian anakMu sebenarnya menutup lubang fitnah yag bakal dilemparkan oleh kaum kafir dan munafiq yang membenci risalah dakwahMu ini. Mereka tidak akan mampu untuk menuduhMu sebagai berkepentingan keluarga dalam perjuangan dakwahMu. Mereka tidak lagi mampu untuk berkata bahawa anak-anakMu bakal mewarisi perjuanganMu itu. Allahuakbar!! Besarnya hikmah Allah mengambil nyawa anak-anakMu itu.
Ya Rasulullah,
Aku ingin berbicara denganMu tentang kisah-kisah perjuanganMU dalam menegakkan kalimah Allah. Aku ingin berkongsi suka, duka, airmata dan luka yang Rasulullah alami sepanjang 23 tahun taklifatMu sebagai Rasul. Tak tegar aku melihat betapa susahnya kamu berjuang di medan dakwah ini. Tak sanggup aku mendengar celaan kaum musyrikin menghina perjuanganMu Ya Rasulullah. Pedih perasaanku mendegar diriMu luka dilempar batu semasa berdakwah di Taif. Aku ingin berbicara kisah yang aku tahu ini kepadaMU. Aku ingin melafaz rindu ini kepada Mu. Bahwa aku sangat mencintaiMU.
Ya Rasulullah,
Bumi Madinah ingin sekaliku jejak. Melewati medan syuhada dan perjuanganMu di sana. Moga Allah memberi rezeki untuk itu.
Allahuakbar, lewat senja ini aku menulis untukMU, cukuplah setakat ini dahulu. Akanku panjangkan warkah rindu dan cinta ini pada massa-masa akan datang. Ku kirim rindu ummat ini kepada Mu Ya Rasulullah.
Basah darah itu masih berbekas Sakit Luka itu Masih Berparut Hanyir bau itu masih melekat
Masih baru balingan batu itu Masih terasa hinggapan batu itu Masih berpinar penangan batu itu
Ingat lagi basah dahi dengan darah Ingat lagi lajunya keluar aliran darah Ingat lagi merah warna darah
Terkesan aku pada serban itu Terkesan aku pada lilitan serban itu Terkesan aku pada lembut serban itu
Darah itu ingin sekali ku jilat Darah itu tak terasa hanyirnya Darah itu tak henti-henti mengalir
Serban putih itu menjadi saksi Mengelap darah perjuangan Menekap dahi yang penuh darah
Saat darah mengalir Terpancar wajah pejuang Teringat Darah As-Syahid Ahmad Yasin Teringat Darah As-Syahid Dr Rantisi Teringat Darah As-Syahid Muhammad Ad-Durrah
Allahu Akbar Benarlah Perjuangan itu liku Benarlah perjuangan itu Mehnah Benarlah Pejuangan itu pedih
Subhanallah Walau kalah dalam Perjuangan Hati tersenyum puas Biarpun Mata basah dengan Air Mata
Ku pandang wajah pejuang tanpa jemu Ustaz Idris keletihan Ustaz Salahuddin bengkak matanya Dr Dzul terduduk memandang angka-angka itu Ustaz Tantawi ku lihat sedang berdakapan pilu
Aku tak sanggup lagi melihat Jalan Pinang itu ku tinggal sepi Sore itu air mata tak henti-henti keluar
Ku Rentasi malam gelap itu keseorangan Sambil tangan erat memegang serban darah itu Masih terasa perit luka dahi itu Air mata masih merembes keluar
Hingga pagi itu Panggilan dari keluarga mendebarkan aku Kaget mereka mendengar cerita pejuang muda Dari muka utama makalah massa Tak sangka mereka itu adalah aku
Aku menangis sepi mendegar suara ummi Bicara panjangnya terkejut tentang aku
Aku menagis sepi mendengar suara abah Tergeleng melihat semangat juang anak
Dan aku terus menangis sepi Kerana aku masih mendengar suara mereka Aku sangka sudah syahid di medan ini Di bawa pulang sebagai pemuda syuhada'
Serban itu terus kusimpan bersama bekas darah Dan parut ini masih belum hilang dalam lukanya Aku bersaksi akan terus ku berjuang Menang sebagai pahlawan Atau mati sebagai syuhada
16 Mei mengembalikan ingatan saya kepada sesuatu perkara yang menyebabkan saya begitu rindu untuk merasai suasana itu kembali. Menjadi anak cikgu adalah sesuatu perkara yang amat saya bangga. Tiba-tiba hati ini terusik apabila mengenangkan kembali sejarah hidup abah yang melalui liku-liku hidup sebagai seorang guru, pada pandangan saya sebagai guru sejati. Kenapa tidak, selama 32 tahun berkhidmat sebagai guru, pelbagai cabaran ditempuhi yang kadang-kadang sebagai anak turut merasa tempias kesusahan hidup sebagai anak cikgu. Ingin sekali saya catatkan khidmat abah sebagai guru yang berdedikasi.
Sebelum saya lahir, abah sudah bergelar cikgu, cikgu lepasan maktab perguruan, Cerita abah tentang guru begitu menusuk jiwa. Cerita abah yang terpaksa berkhidmat di Sabah, walau saat itu Ummi sedang sarat mengandung anak pertama. Atas komiten kerja, abah meninggalkan isteri tercinta di kampung halaman. Terbang sendirian ke daerah jauh di bumi Sabah. Sedangkan abah sepatutnya menemani Ummi menunggu saat-saat bahagia menimang anak pertama. Kerana cikgu abah mengorbankan satu peristiwa penting. Kata Abah saat kakak sulung saya dilahirkan dia menanti detik-detik penting itu di pesisiran pantai, tanpa merasa suasana tangisan anak sulung, tanpa sempat untuk membisik kalimah azan dan iqamat ke telinga anak sulungnya. Allah betapa sayunya hati saya mendengar cerita abah. Pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi khidmatnya sebagai guru.
Selama waktu berlalu, abah pulang berkhidmat di negeri kelahiran. Cerita abah tentang kehidupannya di sini juga amat mendalam rasa sayu saya, kata abah sewaktu guru-guru lain berbangga ke sekolah dengan kereta dan motorsikal, abah rendah diri mengayuh basikal ke sekolah. Setiap pagi abah ke sekolah mengayuh basikal digendongnya kak long yang menumpang untuk di bawa ke sekolah Tadika. Tugas abah sebagai guru semakin mencabar kerana seringkali abah ditukar tempat mengajar. Berulang-alik ke sekolah yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Anak, semakin ramai, belanja semakin bertambah dan wang minyak motor untuk abah berulang alik ke sekolah tidak mampu lagi ditampung dengan gaji bulanan yang tak seberapa. Abah cari jalan, pagi sebelum ke sekolah abah meletakkan kuih-kuih di kedai makan, manakala seusai pulang dari sekolah abah menoreh getah tinggalan nenek saya. Bayangkan seorang guru menoreh getah, Ah, cukup memeritkan!!
Saya seringkali ditinggalkan oleh abah untuk ke sekolah gara-gara saya bangun lewat. Abah memang menjaga masa, abah sebagai guru perlu tunjuk teladan baik kepada anak didiknya, jika abah lewat maka imejnya sebagai guru akan tercalar. Walau jaraknya jauh, semangat abah begitu tinggi untuk mendidik anak bangsanya. Pada ketika abah kekeringan wang, abah masih lagi ke sekolah tanpa ada bekalan wang. Suatu perkara yang menarik tentang abah, abah tidak pernah memaksa anak muridnya menjelaskan yuran sekolah. Abah menyuruh anak muridnya membayar yuran semampu yang ada. Malah abah menerima, walaupun anak muridnya membayar seringgit seminggu, atau lima ringgit sebulan. Yang penting anak murid berusaha untuk membayar yuran. Sehingga kepada satu peringkat, abah terpaksa mengeluarkan wang gajinya untuk menjelaskan yuran anak muridnya.
Saya sebagai anak merasa cemburu kerana banyak masa abah dihabiskan di sekolah, walaupun dihujung minggu. Saya juga sering mengekori abah ke sekolahnya. Itulah saat yang saya gembira. Suasana berada di sekolah menengah saya sudah rasakan sejak kecil lagi. Pernah abah pulang dengan wajah yang merah padam, apabila diselidik rupanya abah menampar anak muridnya yang merokok di tandas. Saya perasan abah seperti tersalah, tapi itulah liku-liku yang perlu abah lalui. Saya bangga abah mempunyai perinsip yang jelas, abah tak pernah membuang kopiah apabila berada di sekolah. Walaupun ia jelas menyanggahi peraturan sekolah. Kerana kopiahlah, menyebabkan abah seringkali ditukar ke merata-rata tempat. Mereka di atas fikir kopiah satu lambang yang menggusarkan mereka, kopiah membezakan latar politik kepartian. Abah tak pernah takut ditukar, dan abah seringkali menzahirkan kepada pengetua prinsipnya, perjuangannya dan kelantangan abah bersuara dalam setiapkali mesyuarat membuatkan orang atasan tidak senang duduk. Fikrah Islam yang abah bawa menyebabkan abah tak pernah merasa dinaikkan pangkat, sedangkan sahabat sejawatan sudah lama menjadi guru kanan, pengetua dan sebagainya. Abah kekal sebagai guru penolong sehingga ke pencen.
Setiap tahun 16 Mei adalah hari yang begitu saya nantikan, apa tidaknya apabila abah pulang abah akan membawa seplastik besar yang terkandung di dalamnya hadiah-hadiah yang diberikan oleh anak muridnya. Saya berebut dengan adik beradik untuk membuka kandungan hadiah. Ada yang bagi kain, bunga, perhiasan dan sebagainya. Tak kurang juga yang memberi tisu, pen, kad hari guru, lukisan dan hadiah yang pelik-pelik. Sungguh menyeronokkan.
Kini 32 tahun masa berlalu abah berjaya menamatkan khidmatnya sebagai seorang pendidik dengan penuh liku-liku perjuangan. Saya tidak dapat lagi membantu abah menebuk kertas jawapan ABC, membantu abah membilang markah, dan membaca jawapan anak murid abah yang kadang-kadang melucukan. Tidak dapat lagi saya melihat buku rancangan mengajar abah yang sering dikepit ke hulu ke hilir. Tidak dapat lagi melihat buku rekod pelajarnya yang berselerak di penghujung dinding rumah. Upah membantu abah memberi markah sudah tak dapat lagi saya rasai. Tie yang sering abah pakai hanya tergantung di rumah. Oh, rindu menjadi anak cikgu kembali mengamit perasaan.
Kini ramai anak muridnya berjaya dalam hidup, dan anak-anaknya kini sedang mengikut jejaknya sebagai pendidik. Walaupun abah sudah pencen menjadi guru tapi tugas mendidik tak pernah berhenti, abah kini mendidik, tetapi bukan lagi anak-anak muda tetapi orang-orang yang berusia yang mahu memperbetulkan tajwid Al-Quran, tetapi sayangnya mendidik orang tua tak perlu kepada sekolah, buku rancangan mengajar, alat bantu mengajar, rotan dan kapur tulis. Ah, abah lebih merindukan suasana itu daripada saya sendiri…………………….. Selamat Hari Guru.
Janganlah mereka yang zalim datang menganggu kehidupan kami rakyat Kelantan.
Kekalkanlah kepimpinan Ulama'.
Jauhilah kami dari pimpinan maksiat.
Ya Allah satukanlah hati-hati kami dalam memperjuangkan dakwahMu.
Jangan biarkan hati-hati para pejuang Islam bertelingkah.
Tutupkanlah kelemahan kami daripada pihak musuh yang nyata ingin mengambil kesempatan ke atas kelemahan kami. Kacau bilaukan pakatan mereka, musnahkan pergerakan mereka.
Jangan biarkan mereka selesa berada dalam keadaan yang sesat lagi menyesatkan.
Ya Allah, hati-hati ini berjuang kerana menjunjung perintah, memikul beban dakwahMU.
Ya Allah kami tidak pernah meredhai di atas segala perbuatan jahat musuh-musuh kami.
Tetapkanlah para pengikut perjuangan Islam kekal berada dalam landasan yang benar.
Mudahkanlah kefahaman ke atas mereka para pengikut pejuang Islam.
Jangan biarkan mereka keliru dengan habuan dunia.
Jangan mereka terpedaya dengan tawaran musuh Mu Ya Allah.
Ya Allah bukakanlah hati para pemuda-pemuda untuk setia bersama dalam perjuangan Islam.
Jangan biarkan mereka tertipu dengan hasutan musuh-musih Mu Ya Allah.
Ya Allah teguhkan hati-hati kami, perkasakanlah jentera kami, bantulah pergerakan kami.
Ya Allah Cita kami hidup mulai atau syahid mendapat syurga.
Ya Allah butakanlah pandangan mereka sehingga tidak dapat melihat kecuali bulan purnama.