SI SYAHID

"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada" - Sheikh Abdul Qadir Audah -

 
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.

Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.

Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.

Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Jalinan Ukhuwwah

Tiupan Jihad

ShoutMix chat widget
My Schedule
Sorotan Sepanjang 2013
Wednesday, January 01, 2014
Salam syuhada.

Setahun 2013, saya tidak post walau satu entry dalam blog saya ini. Semoga kalian para pembaca blog saya masih sihat dan diberikan oleh Allah kebahagiaan dan bertambah keimanan. Sedikit sorotan kehidupan saya sepanjang 2013, moga Allah kurniakan kebaikan tak terhingga.

Disember

Kenangan terindah buat kami, apabila 32 anggota keluarga dapat berhimpun dalam program hari keluarga yang julung-julung kali diadakan. Mudah-mudahan 2014 bertambahlah anggota keluarga besar ini. Dan saya mahu menyumbang untuk penambahan keluarga besar ini. Amin


Buat julung kali juga Kelas Pengajian Kitab Turath yang saya asaskan bersama-sama sahabat yang lain pada 2012 berjaya menamatkan kitab kedua. Kitab pertama Miftahul Wusul ditamatkan pada akhir bulan Mei 2013, manakala kitab kedua Usul Fiqh, Syarah Alwaraqat oleh Imam Haramain yang disyarahkan oleh Dr Abdullah Soleh Fauzan ditamatkan bersama guru yang mulia Dr Wifaq Mokhtar.

November 

Hampir sebulan saya ke Arab Saudi untuk urusan memperbaharui visa dan kad penduduk sementara. Alhamdulillah dalam tempoh itu saya dapat mengerjakan umrah dan ziarah. 

Oktober 

Kenangan indah bersama sahabat Bayt Rahmah berkelah di Gunung Dato'. Walaupun ditimpa kesusahan dengan sesat jalan dan sebagainya, tapi program bina ukhuwwah ini berjaya menghubungkan tautan ukhuwwah antara kami semua. Alhamdulillah. Bayt Rahmah yang ditubuhkan sekitar tahun 2011 sudah mencapai usia tiga tahun.

September

Setelah setahun menangguhkan pengajian di USIM, saya kembali semula ke sini untuk menamatkan semester akhir pengajian ijazah saya. Alhamdulillah walupun ditimpa pelbagai kesulitan, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. di sini. Antara rindu yang terlunas apabila kembalinya ke USIM adalah kerinduan bertalaqi hadis dengan guru yang alim dan mulia Prof Dr Najm Abdul Rahman Khalaf.

Ogos

Saya berpeluang berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah lama saya dahulu, Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Tetapi cabaran utama saya adalah terpaksa mengajar madah-madah yang asing bagi saya, iaitu Geografi, Bahasa Inggeris, Sastera, Matematik, Seni Visual dan bermacam lagi madah yang ganjil. Usaha untuk menghidupkan pusat sumber sekolah disambut baik oleh para guru, sehingga sumbangan buku dapat dikumpulkan lebih dari seribu naskhah buku pelbagai general. Semoga dengan banyaknya buku-buku di pusat sumber dapat memeprkayakan budaya ilmu para pelajar sekolah.


Julai 

Saya bertugas sebagai warden Kolej Yayasan Islam Kelantan selama 2 bulan.

Jun

Menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya, Ashraf Tajuddin. Beliau ahli usrah saya di USIM dan pernah berdaurah sebulan bersama di Mekah. Kini menjadi pelajar Madinah. Beliau berkahwin dengan gadis German yang baru memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada mereka.

Mei

Alhamdulillah permusafiran belajar di Riyadh selama setahun diberi peluang bercuti di musim panas. Pelbagai catatan hidup sepanjang setahun berkelana di bumi An-Najd, Riyadh ini. Mudah-mudahan segalanya bermanfaat untuk ummah.


April

Kekecewaan paling berat saya rasakan sebagai warganegara adalah gagal menjadi warga pengundi buat pertama kali kerana jauh di perantauan. Hanya doa dari tanah suci dipanjat ganti kepada kesal yang besar ini.

Mac 

Kenangan manis dapat ketemu dua figura besar ulama dunia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mereka ialah Dr Salman 'Audah dan Dr 'Aid Al-Qarni. Figura ummah yang punya pengaruh besar dalam dunia Islam.



Februari

Alhamdulillah dapat bersama dalam kelas khas Daurah Tariq Ulama yang menghimpunkan para asatizah dalam pelbagai bidang yang akan menyampaikan syarahan berdsarkan silabus yang ditetapkan, kelas ini mengambil masa dua tahun.


Januari

Perjalanan yang paling menarik selama 10 hari di bumi bertuah Jordan. Pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi sepanjang pengembaraan solo ini. Allahu akbar. Dan lebih menyedihkan dalam perjalanan permusafiran ini, sahabat saya di Riyadh, Shahidullah dan beberapa sahabat lain mengalami peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Syukur semua selamat dan shahidullah antraa yang cedera parah.



Inilah sorotan kisah 2013 yang sempat saya catatkan. Nampaknya penggunaan FB telah menyebabkan saya meninggalkan jauh medium blog yang sudah saya anggap sebagai eviden sejarah penting dalam kehidupan sepanjang penubuhannya sejak 2006. Sudah 8 tahun sebahagian kehidupan penting sejarah hidup saya dicatatkan di situ.

2014 moga Allah rahmati kehidupan saya dan Allah tambahkan ilmu di dada. Dan biarlah 2014 adalah tahun terakhir kehidupan bergelar bujangan. Sudah sampai masanya di usia 25 tahun ada teman yang menjadi penawar hati, penghibur diri. InsyaAllah mudah-mudahan. Barakallahufikum.


Labels: , , , , , , ,

posted by tok pulai chondong @ 12:01 PM   2 comments
Pemilihan Pengawas USIM Bermula
Friday, February 18, 2011






21 Februari 2011 akan bermula pemilihan pengawas-pengawas USIM buat kesekian kalinya. Cara pemilhan pengawas di USIM berbeza di mana-mana sekolah menengah yang lain. Kerana di sini cara pemilhannya menggunakan sistem elektronik. Hanya letak sahaja kad matrik anda boleh mengundi.

Justeru pengawas pada kali ini ramai yang sudah menang dan boleh memegang jawatan pengawas. Sebab tak ramai yang berminat hendak jadi pengawas di sini. Kerana tiada apa cabaran sangat jika dibandingkan dengan universiti lain. Sesiapa sahaja yang terasa ingin bertanding boleh la pergi ke bilik HEP atau bilik guru disiplin sekolah. Kebanyakan yang bertanding dari kelas-kelas yang berbeza. Pada tahun ini setiap kelas membawa ramai calon untuk bertanding peringkat Ketua Pengawas, Penolong Ketua, Bendahari, Setiausaha dan Exco pengawas yang lain.


Untuk pengetahuan semua hanya 5 orang dibenarkan menjadi penyokong setiap calon pengawas. Penyokong-penyokong yang selain daripada 5 orang tersebut dianggap melanggari undang-undang pemilihan. Kemungkinan penyokong tersebut akan dirotan oleh guru disiplin.


Kelihatan di kelas FKP, penuh kertas-kertas gambar pengawas ditampal menggunakan gam nasi. Tentu susah untuk Pustakawan USIM membuang poster tu nanti. Mesti guru Pustakawan akan marah-marah berleter kerana papan kenyataan dikotori gambar-gambar calon-calon pengawas.


Budak-budak USIM suka kalau calon-calon yang bertanding muka bersih, pandai mengaji, dan boleh jadi bilal semasa solat di surau. Budak-budak USIM benci kalau calon pengawas ni yang suka bercakap di hadapan, katanya meluat dan poyo. Budak-budak USIM benci calon yang pakai tudung singkat. Sebab tu ramai calon pengawas pakai tudung labuh. Yang tak pernah pakai tudung labuh pun bertukar tudung labuh semasa kempen dan bergambar. Budak-budak USIM tak suka calon pengawas perempuan pakai seluar ketat. Jadi semasa kempen mereka bertukar pakai kain, tapi mereka bodoh kerana kain mereka jarang, sehingga nampak pakain dalam, mujur pakaian dalam mereka labuh sehingga nampak kain dalam tu di luar kain luar.


Ramai calon lelaki senyum sengih nampak gigi, padahal sebelum ini kepala sentiasa memandang atap kelas. Ramai juga pakai songkok hitam, kerana supaya semua gelar calon pengawas ni seorang ustaz. Calon USIM tak boleh bercakap tentang politik dalam sekolah, nanti guru disiplin sound sebagai anti-establishment. Justeru kebanyakan pengawas sekolah USIM semuanya bodoh-bodoh dalam hal politik. Yang penting dapat buat program. Dapat pakai baju kot. Dapat bertali leher. Dan dapat kesana kemari dengan gayanya.


Ramai yang benci guru disiplin sekolah ini, kerana terlalu banyak sekatan dan tekanan kepada calon-calon pengawas dan kepada bebudak sekolah yang lain. Jadi ramai yang tengok pengawas sekolah ini lebih kepada balaci guru disiplin. Ha,ha,ha.


Malam ini akan diadakan majlis pengenalan pengawas-pengawas sekolah USIM. Mesti mereka bercakap gah-gah dengan skrip yang dihafal. Budak sekolah lain tahu, kalau tak bagi skrip bebudak pengawas ni tak kan pandai cakap apa-apa. Teringat tahun lepas seorang calon pengawas menyanyi semasa memperkenalkan diri. Semua budak sekolah ketawa. Akhirnya calon pengawas yang menyanyi ni kalah dengan sendirinya. Ha,ha, ha.


Selepas diorang bercakap, guru displin akan bangun bercakap. Dia akan bercakap dengan seriusnya. Pengawal-pengawal lain akan berjaga, bimbang takut ada bebudak sekolah bangun menemplak apa yang guru disiplin cakap. Dua malam yang lepas, guru besar bercakap, seorang bekas pengawas bangun membantah. Pengawal semuanya marah-marah kat dia. Kerani-kerani sekolah pergi bertemunya, menegur sikap lancangnya kepada guru besar. Tapi bebudak sekolah lain semua tepuk tangan kepada bekas pengawas ini. Bebudak sekolah lain keluar dari dewan bersama dengan bekas pengawas ini. Tak pernah ada dalam sejarah sekolah USIM, bekas pengawas lancang bercaka kepada guru besar. Sebelum ini semua pengawas-pengawas baik sahaja dengan guru displin. Sentiasa memuji, dan makan bersama. Cuma berak sahaja lain-lain tandas.


Ada seorang tukang kebun sekolah ini. Dia mengarahkan bebudak USIM pecat kopiah putih. Semua bebudak USIM marah. Kenapa sesuka hati suruh kitorang buang kopiah. Tapi tukang kebun ni sudah tua. Bebudak ni masih ada rasa hormat. Dibuangnya kopiah dengan rasa marah. Dua hari lepas, seorang budak sekolah kena tempelak dekat packguard sekolah. Semata-mata kerana menyimpan janggut. katanya janggut tak boleh simpan. Serabut. macam janggut kambing. Budak sekolah ni marah kata packguard yang bodoh ni. Dia kata packguard ni tak faham sunnah. Tak mahu ikut sunnah. Budak sekolah ni, marah balik kat jaga tu. Dia kata pakcik lagi pelik, cukur janggut simpan misai, terbalik. Orang lain suruh simpan janggut kita simpan misai. Orang berjalan dengan kaki kita berjalan dengan tangan. Puas hati budak sekolah ni dapat sound packguard. Packguard baju biru tu hanya tersengih kambing.


Last, bebudak sekolah USIM ingat 21 Februari ni pilihlah pengawas yang baik-baik. yang pandai solat dan tak pandai mengorat. Jangan pilih pengawas yang tudung singkat dan gedik. Rasa nak muntah tengok calon pengawas yang gedik tu. Aku dah malas duk kempen kat pengawas sekolah ni, aku nak pergi Kedah berjumpa masyarakat yang lebih berani dan lebih kuat berjuang. Duk kat sini melemahkan semangat dan pemikiran aku sebagai mahasiswa. Aku tak mahu aku digelar budak sekolah USIM. Babai semua. papai..mamai..

Labels: ,

posted by tok pulai chondong @ 6:04 PM   1 comments
Perginya Sahabat Ilmu -Bukhari Che Mohammed
Sunday, February 06, 2011









Seminggu saya tak keruan. Seminggu juga hati saya resah. Seminggu saya bertanya perihal sahabat ini? Beberapa kali saya berusaha pergi ke rumahnya. Hanya ingin satu perkara; ketenangan dan penjelasan.

Berita senja sabtu yang lepas begitu mengejutkan saya. Yiada air mata keluar, kecuali kalimah tasbih dan istighfar. Bukhari meninggal dunia. Allah, apa ni? Sahabat yang sihat dan ceria ini sudah tiada.

Saya mengajak kawan ke kolej kediaman arwah. meyusun barang-barangnya. Sungguh sebak, bagaikan dia masih berada di situ. Meneliti coretan-coretan di kertas lama. Semuanya coretan bermanfaat. Melalui coretan ini terbukti arwah seorang yang teliti dan bijak mengurus.

Bertemu dengan sahabat yang terakhir bersamanya. Kata Hasnin semasa malam terakhir tidur dengannya, mereka berdua tidak lelap mata dari malam hingga ke subuh. Arwah asyik bercerita tentang kematian, hari akhirat, kitab-kitab pondok, memori di maahad dan pelbagai cerita berkenaan agama. Tak henti-henti bercerita hingga ke subuh.

Begitu juga cerita Qayyum yang musafir bersama pulang ke Kelantan. Dia asyik bercerita tentang kematian dan hari akhirat sepanjang perjalanan.

Rumah Arwah

Semalam saya bertekad untuk pergi ke rumah arwah. Hati saya tidak tenang kalau tak menjenguk keluarga dan kuburnya. Alhamdulillah, Pejabat FSU juga menghantar wakil dan bantuan ke sana. Saya bersendirian bermusafir pulang ke Kelantan dengan kereta api. Petang itu saya bergegas ke kampung Badak, Bachok. Menziarahi keluarga arwah. Tak terasa penat untuk ke sana kerana begitu mahukan penjelasan dan ketenangan dari keluarganya sendiri tentang arwah.

Rumah beratap hijau itu saya singgahi. Mengucap salam. Keluar seorang tua berkopiah putih. Redup mukanya. Ada sisa air mata di wajahnya. Ini mungkin Cikgu Mat, ayah arwah. Mempersilakan masuk. Nyaman di anjung rumahnya. Angin deras menyerbu ke muka. Sungguh tenang. Di balik daun pintu, keluar seorang wanita, lama saya merenung wajah ibu ini, nampak tegar wajahnya. Saya yakin ini ibu arwah. Menyapa dengan lembut. Terperasan sifat keibuannya itu.

Cikgu Mat mula bercerita tentang arwah.

"Sudah lama tak melihat Bukhari dalam keadaan begini, semasa dia pulang dia menjadi seperti mana dia semasa di maahad dahulu. Dia pulang menjelajah semua pondok-pondok sekitar ini untuk mendalami kitab-kitab lama. Saya buka kitab dia, saya lihat kitabnya penuh dengan dhobit yang dia buat. Sebelum kematian dia buka kitab Faridatul Faridah, kemudian dia menangis menatap kitab lama tersebut."

"Dulu dia dah kata nak jadi ulama'. Asalnya dia tak mahu belajar di USIM kerana dia mahu ke pondok atau ke Yaman, mendalami ilmu-ilmu agama. Arwah kata jiwanya tak serasi dengan pengajian di USIM. Tapi saya pujuk dia supaya belajar biar dapat sijil dulu. Kemudian sambung lah ke mana sahaja."

"Pada hari-hari akhir tu dia asyik beritahu dia nak mati. Dia menangis dan duk bercerita pasal hari akhirat. Saya marah dia, saya kata saya pun akan mati."

Kemudian ibu arwah pula tampil bercerita.

"Masa salam dengan Bukhari, tangan dia sungguh sejuk. Dia banyak minum air. Semasa atas kereta dia banyak bagi nasihat pasal hari akhirat. Dia bertanya pasal keturunan dan salasilah keluarga.'

Malam Kematian

"Pada malam tu, abah dia bawa Ustaz Syarifuddin Pondok Moden untuk melihat keadaan arwah yang nampak janggal. Tiba-tiba arwah menghilangkan diri. Jiran ada memberitahu yang arwah singgah ke rumahnya untuk bertemu kawannya, tapi setelah itu dia menghilangkan diri."

Cikgu Mat menambah:

'Clue zero, tiada tanda-tanda kesan arwah hilang. Usaha mencari menemui jalan buntu. Sehinngalah pada petang sabtu, 46 jam selepas kehilangan arwah, arwah ditemui di sebatang sungai berhampiran rumah."

"InsyaAllah, arwah mati dalam keadaan mencari ilmu, syahid dan sungguh-sungguh minta maaf."

"Semasa dia meninggal dunia, saya tak keruan rasa. Yalah anak lelaki sulung meninggal. Tapi setelah saya teringat bagaimana nabi Yaakob buta mata menangis kehilangan anaknya Yusof saya terus gagah balik."

Saya hanya mendengar dengan penuh sebak, deruan angin pantai menerpa ke muka saya. Hati sebak bercampur angin nyaman mendesah air mata saya keluar. Saya turut bercerita tentang kebaikan arwah semasa di kampus. Alhamdulillah, tenang hati orang tua arwah mendengar saya bercerita.

Kami meninggalkan teratak arwah setelah dua jam bersembang di anjung rumah. Setelah menyampaikan sedikit bantuan dari Tanzim FIFA dan Pejabat FSU.

Semasa pulang saya berhajat ke tempat arwah lemas. Benarlah airnya agak dalam dan arusnya juga deras. Semoga pencarian arwah tentang hakikat kesucian itu tercapai.

Saya berkunjung ke kubur arwah. Sekali lagi jiwa saya mendesah, keheningan dan keseorang berada di tanah perkuburan menyebabkan saya insaf sesungguhnya kematian itu tidak mengenal umur dan masa. Hanya air mata yang menemani tadahan doa di pusara arwah.

Jam 6.30 petang saya bergegas pulang ke Machang. Bas balik ke Nilai jam 9.00 malam. Benarlah tiada istirahat untuk para pejuang kecuali kematian di penghujungnya sebagai rehat lama bertemu Ilahi.

Labels: ,

posted by tok pulai chondong @ 1:19 PM   1 comments
Kepimpinan itu Perlu Mencintai Dan Dicintai
Monday, November 08, 2010
Salam Syuhada'

Tulisan ini khas untuk abang long, abang Ngah dan abang-abang yang lain yang baru merajui tampuk kepimpinan,

Sesungguhnya kepimpinan yang cemerlang apabila ahlinya mencintai kepimpinan itu. Seharusnya kepimpinan itu perlu berusaha agar dicintai oleh ahli-ahlinya. Tanpa bersikap buruk sangka marilah sama-sama kita muhasabah untuk mencintai dan dicintai.

Seorang yang memimpin perlu terus mengetahui permasalahan ahlinya sebelum meneruskan agenda organisasi. Pemimpin yang gagal memahami tabiat atau sikap ahli memungkinkan kepimpinan itu diterajui tanpa sokongan dan kehendak ahli.

Ahli itu akan menyayangi kepimpinan apabila kepimpinan mendahului rasa sayang dan cinta kepada ahli-ahlinya. Kuasa dan pengaruh kepimpinan itu tidak berguna sama sekali jika ia gagal menarik kesetiaan dan kasih sayang ahli-ahli.

Melihat kepimpinan Rasulullah adalah perkara utama yang perlu diteladani para pimpinan. Rasulullah menangis mengingatkan ummatnya, bukti bahawa Rasulullah contoh kepimpinan yang mencintai. Rasulullah bersifat lembut dengan para sahabat tatkala sahabat melakukan kesilapan dan kekhilafan.Air mata Rasulullah terhadap ummatnya perlu ditel
adani oleh pimpinan sekarang. Kepimpinan perlu ada sifat ihsan dan simpati terhadap ahli-ahli. Ramai dikalangan ahli yang kesempitan hidup perlu didekati dan didatangi. Bukan membiarkan mereka dalam kesusahan. Langkah menyelesaikan masalah ahli perlu disegerakan bukan dibiarkan ia tertangguh.

Kepimpinan Tok Guru Nik Aziz contoh kepimpinan yang bersifat mencintai. Pengorbanan Tuan Guru untuk rakyatnya perlu diaplikasi oleh kepimpinan sekarang. Tok Guru tidak bersikap skema dengan tugasannya tapi bersifat fleksibel bila mengurus kepimpinan dan rakyatnya. Kepimpinan Tok Guru hingga sekarang masih gagal atau tiada pengganti yang seta
ra dengannya.
Jangan terbeban dengan tugasan memimpin, bergembiralah dalam memimpin sebuah organisasi besar ini. Bermuamalah dengan ceria dan bahagia. Berlapang dadalah dengan kritikan dan teguran ahli. Ahli yang banyak bercakap perlu diberikan banyak tunjuk ajar dan kefahaman. Jangan bersikap mempertahankan diri jika ditegur, bersikaplah menerima teguran dan menganalisisnya dengan baik.

Agenda mentarbiyyah dan dakwah adalah agenda besar yang perlu dokongan bersama. Kepimpinan kuat bila ahli itu kuat. Kekuatan ahli tergantung kebijaksanaan kepimpinan memobilasikan ahli dengan baik.

Saya mencintai kalian dan moga kalian dicintai sepenuhnya oleh ahli-ahli yang lain. Barakallah. Siiru 'ala barkatillah.


Labels: , ,

posted by tok pulai chondong @ 12:56 PM   1 comments
Nikah Khitbah - Saya Mahu Jadi Pelopor
Monday, August 23, 2010
Salam syuhada'

Salam Ramadhan Kareem...

Agenda Ramadhan adalah melahirkan ketaqwaan dan rasa takut kepada Allah S.W.T. Saidina Ali mentakrifkan takwa sebagai ; Takut kepada Allah yang Agung, Beramal dengan apa yang diturunkanNya, Redha dengan kurniaan yang sedikit dan bersedia menghadapi Hari Perpindahan (hari Qiamat).


Proses mendapatkan ketakwaan dalam bulan Ramdhan ini dengan kita bersungguh melaksanakan ibadat kepadaNya. Maka aktiviti tadarrus Al-Quran, bertarawikh, Qiam dan tazkirah adalah proses untuk melahirkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Perkara yang paling penting adalah selepas melalui madrasah Ramadhan ini, apakah perlaksanaan yang sepatutnya dilakukan oleh hamba bagi membuktikan kejayaan tarbiyyah itu tad?. Sepatutnya agenda mengubati masalah masyarakat adalah agenda utama sebagai bukti kejayaan tarbiyyah di bulan Ramadhan.

Sungguh mendukacitakan, sepanjang Ramadhan ini media massa begitu istiqamah menyiarkan berita pembuangan bayi di seluruh tempat di Malaysia. Melaka menjadi kawasan popular tempat berlakunya pembuangan bayi. Seakan-akan masyarakat kita kembali ke dunia jahiliyyah.

Semua pokok permasalahan ini merujuk kepada didikan nilai kepada masyarakat semasa. Masyarakat sudah hilang nilai akhlaknya, sudah hilang identiti Islamnya. Cinta songsang menjadi pilihan, pembunuhan anak tidak berdosa adalah tafsiran kepada rosaknya nilai dan budi masyarakat. Semua kes ini berlaku dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi remaja yang berpendidikan di universiti.

Dalam konteks USIM sebagai universiti Islam, sudah sampai masanya USIM menjadi peneraju kepada solusi masalah ummat. Perlaksanaan idea kepada penyelesaian masalah ini perlu diorganisasikan dan tadbir urus dengan bersungguh-sungguh dan cermat. Jika melihat suasana masyarakat kampus USIM, sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu bagi mengubat penyakit yang parah dan berjangkit ini.

Penyakit yang parah yang dimaksudkan di sini ialah penyakit cinta tanpa ikatan sah, ikhtilat yang mulai bermaharajalela, pertemuan lelaki dan perempuan dalam keadaan berdua-duaan, lelaki dan perempuan berada dalam kereta berpasangan, lelaki dan perempuan berbonceng menaiki motorsikal sehingga kadang-kadang membawa kepada peristiwa penangkapan khalwat di rumah sewa, mengaku berzina dan pelbagai lagi peristiwa yang mengaibkan kepada kita warga universiti.

Perhatian! Jika inilah masalahnya, adakah cukup dengan melarang mereka tanpa memberi apa-apa jalan penyelesaian untuk membantu mereka? Adilkah kita tidak befikir untuk membantu menyelesaikan masalah mereka?

Masalah hawa nafsu dan kemaruk cinta ini perlu disalurkan kepada tempat dan tindakan yang halal. Maka di sini cadangan terbaik ialah nikah khitbah atau nikah gantung.

Nikah khitbah adalah resolusi yang dicadangkan selepas perbincangan 10 NGO di peringkat pusat. Maka USIM perlu bertindak proaktif menjayakan resolusi ini.

Sesungguhnya, USIM adalah tempat berkumpulnya sejumlah besar pelajar aliran agama di Malaysia. USIM merekodkan jumlah mahasiswa terbanyak yang mengambil pengajian jurusan agama. Asas agama yang ada pada mahasiswa perlu dimanfaatkan secukupnya supaya mereka bertindak mengikut syariat juga.
Nikah khitbah adalah pendekatan fiqh yang memudahkan urusan perkahwinan. Ia bertujuan memberi ruang kepada pasangan itu bersedia untuk memasuki alam kekeluargaan yang sebenar. Perkahwinan ini begitu ideal untuk pasangan yang sukar dan tidak berkemampuan memegang tangunngjawab yang besar menyara kehidupan berkeluarga. Hak-hak memberi nafkah, menyediakan keperluan dan duduk bersama digugurkan dalam tempoh perkahwinan ini. Namun demikian rukun-rukun perkahwinan kekal diikuti tanpa apa-apa pengurangan.

Justeru, alangkah indahnya jika permasalahan sosial yang berlaku kepada masyarakat kampus USIM diatasi dan dibanteras menggunakan kaedah perkahwinan khitbah ini. Mahasiswa hanya perlu meminta kebenaran wali untuk bernikah tanpa perlu memikirkan tanggungan untuk isteri yang dinikahinya (mahasiswi).

Sisuami (mahassiwa) tidak perlu pening berfikir untuk membahagikan wang biasiswanya untuk isteri(siswi). Kerana bukan dalam tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri dalam tempoh ini (nikah khitbah).

Sisuami juga tak perlu kalut mencari rumah sewa untuk tinggal bersama, kerana mereka diberi kelonggaran untuk tinggal berasingan. Maksudnya, yang berada di Desa jati boleh kekal berada di Desa Jati, manakala yang berada di Sutera indah kekal berada di Sutera Indah. begitu juga yang berada di Anggerik, Desa Kasia, Akasia dan Nilam. Kekallah kalian di tempat tinggal kalian tanpa perlu berpindah randah.

Apa yang menarik, apabila mereka berkahwin dengan cara ini, mereka tanpa perlu segan-silu untuk bertemu secara berdua-duaan di mana sahaja mereka suka. Mereka boleh duduk berdua-duaan di perpustakaan berbincang dan belajar. Mereka boleh bertemu di kedai makan dan makan bersama-sama. Malah boleh berjalan-jalan beriringan ke mana sahaja, jika mahu berdua-duaan di dalam kereta, silakan skuad AMAN tidak akan melarang dan membantah, malah bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian berdua.

Bahkan, jika kalian terlanjur sekalipun, kalian sebenarnya sudah halal untuk berhubungan, tiada masalah lagi. Kalian bukan lagi berzina tapi kalian sedang menuruti sunnah yang besar iaitu berkahwin. Maka keberkatan yang besar untuk kalian. Jika hamil sekalipun, tiada cercaan yang dikenakan, sebaliknya keluarga di kampung menyambut dengan kesyukuran. Kerana kalian telah menyambung nasab keturunan yang sah. malahan kalian pasti bangga menjadi ayah dan ibu muda untuk anak kalian.

Maka indahnya jika suasana halal dan soleh ini tercipta di bumi USIM tercinta ini. Bantulah mereka yang memerlukan ini. Bantu dalam sudut memberi penerangan, garisan syariat yang perlu dipatuhi dan cadangan serta nasihat yang terbaik supaya mereka memilih cara ini bagi menghalalkan hubungan mereka.

Malahan jika berkewangan, bantulah dari segi menyalurkan sedikit kewangan kepada mereka, supaya mereka kuat dan bersemangat menghadapi dunia baru dan mencabar, iaitu dunia perkahwinan. Saya pernah dengar, UIA menyediakan penginapan dan kewangan khas untuk pelajar yang berkahwin. Alangkah indahnya jika USIM juga melakukan perkara berkebajikan seperti ini.

Sedang berkhayalkah saya dengan segala cadangan ini? Atau saya sedang mimpi bagaikan bulan jatuh ke riba. Tapi saya yakin ini adalah mimpi soleh untuk perjuangan yang soleh. Tak tegar lagi hati ini melihat kemungkaran mulai masuk sedikit demi sedikit ke bumi tarbiyyah ini. Bumi USIM jangan dikotori dengan maksiat. Saya tidak sekali-sekali redha jika ini berlaku.

Ayuh kita organisasikan agenda ini. Kita susunkan ia. Tanzimkan ia. Jelas matlamatnya untuk dakwah kepada insan-insan di bumi USIM. Biar tahu erti cinta soleh, perkahwinan yang berkat dan kehidupan yang halal. Jangan biar mahasiswanya berijazahkan syariah tetapi menjadi musuh Allah. Takrif halal dan haram sudah sebati di mulut, tapi hatinya bergelojak dengan hawa nafsu jahat yang membunuh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Salurkan kepada tempat yang syara' nescaya fitrah itu membantu ke arah keberkatan hidup.

Saya cuba melopori tuntutan ini, tuntutan untuk nikah khitbah. Tetapi bukan bermaksud saya yang memulakan perkahwinan, tapi sebagai pendesak kepada jemaah, organisasi dakwah dan tarbiah di bumi USIM, baik MPP atau SPMM. Cuba cetuskan syariat ini, jadikan ia satu fenomena dakwah di bumi USIM. Biar bersinar syariah Allah di bumi USIM. Ini proposal saya kepada kalian. Minta dibahaskan.
Bersabda nabi S.AW. : "Wahai sekalian pemuda, Jika sesiapa dikalangan kamu mampu berkahwin, maka berkahwinlah, sesungguhnya (perkahwinan) ini menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Jika tidak mampu, maka berpuasalah, kerana sesungguhnya (puasa) itu adalah ubat.

P/s : Ini adalah terjemahan idea yang dicetus oleh Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi di alamat blognya http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Labels: ,

posted by tok pulai chondong @ 3:18 PM   9 comments
Mahasiswa Baru Generasi Homo Zapiens
Monday, June 28, 2010



Mahasiswa yang berorientasikan bilik kuliah adalah mahasiswa dungu di abad ke 21. Mahasiswa yang fokusnya untuk peperiksaan adalah mahasiswa statik yang tidak memberi impak kepada sekelilingnya. Mahasiswa yang rigid dengan silabus buku teks pensyarah adalah manusia ketinggalan dalam dunia keterbukaan ilmu.

Mahasiswa kurun ke 21 adalah mahasiswa yang meneroka, mengkaji, menjelajah dan menulis. Jika unsur-unsur seperti ini tiada pada diri mahasiswa maka mahasiswa akan ketinggalan dalam era serba fakta dan berilmu pengetahuan.

Seruan untuk menjadi 'orang baru' adalah seruan penting penuh bermakna. Sejarah mencatatkan betapa bernilainya menjadi orang baru yang bermanfaat kepada orang lain pada masa mendatang. Menjadi orang baru bererti melawan arus masyarakat semasa. Bertentangan dengan adat lazim manusia semasa. Menjadi orang baru meninggalkan jauh masyarakat ke belakang dan mengejar mutiara beharga di hadapan tanpa perlu menunggu masyarakat menerima dahulu.

Betapa ramai tokoh orang baru pada masa dahulu yang kini menjadi sebutan, bukti maha penting orang baru untuk membentuk masyarakat masa hadapan. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (
729H/1328M) terkenal sebagai orang baru ditengah-tengah masyarakat zamannya. Justeru itu pandangannya jauh berbeza dengan pandangan masyarakat semasa ketika itu. Padahnya beliau mati dijeriji besi di bawah penguasaan diktator yang sombong. Tapi manfaatnya sehingga kini fikrahnya, hujahnya, idealismanya dan prinsipnya megah diamalkan masyarakat beragama dan telah melahirkan jutaan ulama' yang hebat dan agung.

Al-Ghazali
, satu contoh orang baru dizamannya. Nah, diumur 40 tahun sudah ratusan kitab dikarangnya. Sehingga nyawa dicabut pada umur yang muda, tapi meninggalkan khazanah ilmu yang maha hebat.

Di Tanah Melayu, muncul tokoh seperti Abdullah Munshi yang menjadi orang baru di zaman kegelapan masyarakat melayu ketika itu. Disaat masyarakat yang sibuk dengan perkara-perkara tahyul, seperti jin, hantu, syaitan dan iblis, Abdullah Munshi keluar dari bayangan kegelapan itu dengan menghasilkan karya penulisan yang gah sehingga ke hari ini.

Pada ketika itu beliau menulis tentang keburukan sikap lelaki Melayu Kelantan yang pemalas, duduk bersilang kaki di wakaf-wakaf, sedang wanitanya bertungkus-lumus bekerja di sawah padi dan di pasar-pasar. Walau ketika itu kritikan ini mendapat serangan negatif masyarakat ketika itu, tapi jelas terbukti kebenarannya pada masa sekarang. Lihatlah di majlis-majlis ilmu, berapa ramai mahasiswa hadir untuk mendengar berbanding mahasiswi. Bukti jelas kebenaran kata-kata Abdullah Munshi, ratus tahun dulu.

Inilah antara bukti betapa penting menjadi orang baru. Kita tak mahu menjadi solid seperti Ibnu Taimiyyah, Imam Ghazali, Ibnu Sina atau Abdullah Munshi. Kerana tokoh-tokoh yang sering kita sebut ini adalah hafalan di mulut semata-mata. Retorik kepada diri kita sahaja. Tapi kita mahu menjadi orang baru di zaman kita, sepertimana mereka menjadi orang baru di zaman mereka.

Jadi tiga gagasan yang ingin disebutkan ini merupakan faktor besar kepada perubahan mahasiswa bermula hari ini. Iaitu reformist, revivalist dan penjelajahan.

Mahassiwa hari ini perlu bersifat reformist pada diri dan masyarakat sekeliling. Suara kebangkitan perubahan perlu disokong dan didokong. Sudah 50 tahun mahasiswa dijajah pemikirannya dan berpuluh tahun juga mahasiswa disekat kebebasannya untuk bersuara. Jadi mahasiswa perlu bangkit untuk tidak lagi rasa dibelenggu dengan sekatan-sekatan itu.

Ruang untuk bergerak masih luas walau beratus rantaian dan sekatan kepada mahasiswa. Jangan sekali-sekali berhenti. Mahasiswa matang apabila mampu membangkitkan suara perubahan dan menggerakkan gagasan perubahan tanpa bimbang dengan sekatan-sekatan yang kecil itu.

Kemudian mahasiswa perlu bersikap revivalist, iaitu menggerakkan kebangkitan suara perubahan. Jangan menunggu suasana yang membangkitkan perubahan, tapi kitalah yang mencetuskan suara kebangkitan itu. Kalau mahasiswa menjadi penunggu setia di era kebangkitan generasi Homo Zapiens, nescaya mahasiswa akan kalah dan bakal menjadi mahasiswa kuno di kurun ke 17.

Jika mahasiswa Australia mampu membaca 180 biji buku setahun kenapa kita tidak mampu mengejar dengan sekurang-kurangnya membaca 50 biji buku setahun.

Gagasan yang ketiga ialah mahasiswa perlu menjelajah. Sungguh aib dan bodoh di kurun ke 21 ini, masih ramai lagi mahasiswa yang asyik menunggu cuti semester untuk pulang ke kampung halaman, membuang masa kosong tanpa memberi apa-apa manfaat. Jadikan masa cutimu untuk menjelajah segenap pelosok tempat yang boleh memberi satu pengalaman baru kepadamu.

Sekurang-kurangya bila berada di kampung, kajilah berapa ramai penduduk kampung yang masih belum mendapat bekalan air. Usahakan sesuatu supaya masyarakat kampung mendapat manfaat daripada kita selama 2 bulan cuti di kampung halaman.

Akhirnya melakukan perubahan adalah perbuatan dan perlaksanaan, bukan kata-kata manis dan bersemangat sahaja. Artikel seterusnya saya akan bincangkan bagaimana menghadapi generasi homo zapiens. Generasi online tanpa henti.

"Tembok Berlin bukan diruntuhkan oleh Caunselor Jerman, tetapi dilakukan oleh sekumpulan 25 orang Mahasiswa Universiti Berlin dengan ketukan paku ke dinding tembok"


P/s: Ini adalah catatan saya dari syarahan Perdana Abdullah Munshi, Prof Dr Abu Hassan Hasbullah yang berlangsung di KUIS, 25 Jun 2010.

Labels: ,

posted by tok pulai chondong @ 3:33 AM   2 comments
About Me

Name: tok pulai chondong
Home: Kelantan, Malaysia
About Me: Duta Penyelamat & Kasih Sayang
See my complete profile
Previous Post
USRATI
Ulama'
Pautan Ilmu
Pautan Maklumat
Pergerakan
Archives
Powered by

Free Blogger Templates

BLOGGER

© 2005 SI SYAHID Template by Isnaini Dot Com