"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
16 Mei mengembalikan ingatan saya kepada sesuatu perkara yang menyebabkan saya begitu rindu untuk merasai suasana itu kembali. Menjadi anak cikgu adalah sesuatu perkara yang amat saya bangga. Tiba-tiba hati ini terusik apabila mengenangkan kembali sejarah hidup abah yang melalui liku-liku hidup sebagai seorang guru, pada pandangan saya sebagai guru sejati. Kenapa tidak, selama 32 tahun berkhidmat sebagai guru, pelbagai cabaran ditempuhi yang kadang-kadang sebagai anak turut merasa tempias kesusahan hidup sebagai anak cikgu. Ingin sekali saya catatkan khidmat abah sebagai guru yang berdedikasi.
Sebelum saya lahir, abah sudah bergelar cikgu, cikgu lepasan maktab perguruan, Cerita abah tentang guru begitu menusuk jiwa. Cerita abah yang terpaksa berkhidmat di Sabah, walau saat itu Ummi sedang sarat mengandung anak pertama. Atas komiten kerja, abah meninggalkan isteri tercinta di kampung halaman. Terbang sendirian ke daerah jauh di bumi Sabah. Sedangkan abah sepatutnya menemani Ummi menunggu saat-saat bahagia menimang anak pertama. Kerana cikgu abah mengorbankan satu peristiwa penting. Kata Abah saat kakak sulung saya dilahirkan dia menanti detik-detik penting itu di pesisiran pantai, tanpa merasa suasana tangisan anak sulung, tanpa sempat untuk membisik kalimah azan dan iqamat ke telinga anak sulungnya. Allah betapa sayunya hati saya mendengar cerita abah. Pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi khidmatnya sebagai guru.
Selama waktu berlalu, abah pulang berkhidmat di negeri kelahiran. Cerita abah tentang kehidupannya di sini juga amat mendalam rasa sayu saya, kata abah sewaktu guru-guru lain berbangga ke sekolah dengan kereta dan motorsikal, abah rendah diri mengayuh basikal ke sekolah. Setiap pagi abah ke sekolah mengayuh basikal digendongnya kak long yang menumpang untuk di bawa ke sekolah Tadika. Tugas abah sebagai guru semakin mencabar kerana seringkali abah ditukar tempat mengajar. Berulang-alik ke sekolah yang jaraknya berpuluh-puluh kilometer jauhnya. Anak, semakin ramai, belanja semakin bertambah dan wang minyak motor untuk abah berulang alik ke sekolah tidak mampu lagi ditampung dengan gaji bulanan yang tak seberapa. Abah cari jalan, pagi sebelum ke sekolah abah meletakkan kuih-kuih di kedai makan, manakala seusai pulang dari sekolah abah menoreh getah tinggalan nenek saya. Bayangkan seorang guru menoreh getah, Ah, cukup memeritkan!!
Saya seringkali ditinggalkan oleh abah untuk ke sekolah gara-gara saya bangun lewat. Abah memang menjaga masa, abah sebagai guru perlu tunjuk teladan baik kepada anak didiknya, jika abah lewat maka imejnya sebagai guru akan tercalar. Walau jaraknya jauh, semangat abah begitu tinggi untuk mendidik anak bangsanya. Pada ketika abah kekeringan wang, abah masih lagi ke sekolah tanpa ada bekalan wang. Suatu perkara yang menarik tentang abah, abah tidak pernah memaksa anak muridnya menjelaskan yuran sekolah. Abah menyuruh anak muridnya membayar yuran semampu yang ada. Malah abah menerima, walaupun anak muridnya membayar seringgit seminggu, atau lima ringgit sebulan. Yang penting anak murid berusaha untuk membayar yuran. Sehingga kepada satu peringkat, abah terpaksa mengeluarkan wang gajinya untuk menjelaskan yuran anak muridnya.
Saya sebagai anak merasa cemburu kerana banyak masa abah dihabiskan di sekolah, walaupun dihujung minggu. Saya juga sering mengekori abah ke sekolahnya. Itulah saat yang saya gembira. Suasana berada di sekolah menengah saya sudah rasakan sejak kecil lagi. Pernah abah pulang dengan wajah yang merah padam, apabila diselidik rupanya abah menampar anak muridnya yang merokok di tandas. Saya perasan abah seperti tersalah, tapi itulah liku-liku yang perlu abah lalui. Saya bangga abah mempunyai perinsip yang jelas, abah tak pernah membuang kopiah apabila berada di sekolah. Walaupun ia jelas menyanggahi peraturan sekolah. Kerana kopiahlah, menyebabkan abah seringkali ditukar ke merata-rata tempat. Mereka di atas fikir kopiah satu lambang yang menggusarkan mereka, kopiah membezakan latar politik kepartian. Abah tak pernah takut ditukar, dan abah seringkali menzahirkan kepada pengetua prinsipnya, perjuangannya dan kelantangan abah bersuara dalam setiapkali mesyuarat membuatkan orang atasan tidak senang duduk. Fikrah Islam yang abah bawa menyebabkan abah tak pernah merasa dinaikkan pangkat, sedangkan sahabat sejawatan sudah lama menjadi guru kanan, pengetua dan sebagainya. Abah kekal sebagai guru penolong sehingga ke pencen.
Setiap tahun 16 Mei adalah hari yang begitu saya nantikan, apa tidaknya apabila abah pulang abah akan membawa seplastik besar yang terkandung di dalamnya hadiah-hadiah yang diberikan oleh anak muridnya. Saya berebut dengan adik beradik untuk membuka kandungan hadiah. Ada yang bagi kain, bunga, perhiasan dan sebagainya. Tak kurang juga yang memberi tisu, pen, kad hari guru, lukisan dan hadiah yang pelik-pelik. Sungguh menyeronokkan.
Kini 32 tahun masa berlalu abah berjaya menamatkan khidmatnya sebagai seorang pendidik dengan penuh liku-liku perjuangan. Saya tidak dapat lagi membantu abah menebuk kertas jawapan ABC, membantu abah membilang markah, dan membaca jawapan anak murid abah yang kadang-kadang melucukan. Tidak dapat lagi saya melihat buku rancangan mengajar abah yang sering dikepit ke hulu ke hilir. Tidak dapat lagi melihat buku rekod pelajarnya yang berselerak di penghujung dinding rumah. Upah membantu abah memberi markah sudah tak dapat lagi saya rasai. Tie yang sering abah pakai hanya tergantung di rumah. Oh, rindu menjadi anak cikgu kembali mengamit perasaan.
Kini ramai anak muridnya berjaya dalam hidup, dan anak-anaknya kini sedang mengikut jejaknya sebagai pendidik. Walaupun abah sudah pencen menjadi guru tapi tugas mendidik tak pernah berhenti, abah kini mendidik, tetapi bukan lagi anak-anak muda tetapi orang-orang yang berusia yang mahu memperbetulkan tajwid Al-Quran, tetapi sayangnya mendidik orang tua tak perlu kepada sekolah, buku rancangan mengajar, alat bantu mengajar, rotan dan kapur tulis. Ah, abah lebih merindukan suasana itu daripada saya sendiri…………………….. Selamat Hari Guru.
antar kt tranungkite???