"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Ku hamburkan rasa kesyukuran yang tak terhingga pada Mu ya Rabbi di atas kurniaanMu terhadap apa yang ku doakan selalu. Allahumma qabalta du'a ana. Asykuru ni'matallah kathira.
Hari Khamis yang lepas saya telah mendapat keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2008. Hari yang sungguh mendebarkan. Sebelum ke Maahad Syamsul Maarif (L), Labok saya berada di tempat mengajar, SMU (A) Ahmadiah Banggol Judah. Hari tu saya tiada mood untuk mengajar, anak murid saya ada yang perasan pada perubahan wajah saya. Dia tanya ada masalah ke, saya jawab hari ni keputusan STAM. Terus dia maklumkan ke dalam kelas, malu saya bila pelajar beri ucapan selamat kepada saya dan mendoakan kejayaan kepada saya.
Sejam sebelum ke Syamsul Maarif, saya sempat masuk ke kelas Tingkatan Satu Ummu Aiman, mengajar madah Feqah. Hanya sepuluh minit saya mengajar, saya hilang tumpuan dan saya sendiri tak faham apa yang saya ajar. Kemudian saya ubah kepada topik membahagi masa. Saya berikan tips-tips membina jadual waktu, kerana itu penting untuk menilai prestasi pelajar. Alhamdulillah, mereka nampak minat dengan pengajaran itu. Deringan telefon berbunyi, rupanya sahabat sudah ramai yang menunggu saya di Labok untuk mendapat keputusan. Saya habiskan pengajaran saya dengan harapan pelajar dapat membahagi masa dengan baik sepanjang cuti sekolah. Saya hadiahkan juga kepada mereka timbunan kerja rumah yang mesti disiapkan. Kerana saya mahu jadi "The Master Teacher."
Saya tenangkan perasaan dengan solat sunat dua rakaat dan saya bacakan surah kesukaan saya "Ar-Rahman" moga tenang jiwa saya. Dalam doa saya mengharapkan kejayaan saya serta sahabat.
Sekalung Tahniah
Saya mendapat SMS dari orang yang tak dikenali :
Tahniah! Pelajar Cemerlang STAM 08. Moga Dapat Pertingkatkan perjuangan ISlam!
Kaget saya apabila membaca mesej ini. Saya hairan kerana sahabat yang lain masih belum tahu pun keputusan peperiksaan. ssaya pantas menuju ke pejabat sekolah meminta kebenaran untuk keluar mengamil keputusan. Saya menuju ke Maahad dengan mulut tak henti-henti berzikir menenangkan jiwa.
Tahniah! itu ucapan pertama dari sahabat saya, sesampai sahaja saya di Maahad Syamsul Maarif.
Kemudian saya fokus menuju ke bilik guru, untuk bertemu Ustazah Raihan. Sesampai di bilik saya disambut Ustazah Hazirah dengan ucapan : Alf Mabruk!!! Saya hanya tersenyum kaget, apa yang tahniahnya, saya tak tahu apa-apa pun.
Saya menerjah ke meja ustazah, sahabat-sahabat sedang berkerumun di meja ustazah untuk mendapat keputusan. Saya beratur untuk mendapat keputusan. Kemudian saya dapat panggilan pula daripada Akh Tajuddin: Tahniah, tahniah, best student STAM!!! Saya bertambah terkejut. Saya katakan tunggu dulu, saya tak ambil lagi keputusan. tak tahu boleh berapa lagi...
Sebelum giliran saya, sahabat-sahabat lain sudah mendapat keputusan, apaa yang mengejutkan saya apabila saya lihat result Ngah yang mendapat pangkat Rasib kerana hanya satu madah yang rasib. Saya menggosok-gosok belakangnya mudah-mudahan dia tenang dengan keputusan itu. "Allahuakbar"!! itulah bunyi yang keluar daripada mulutnya. kemudian dia bergegas keluar bilik guru. Saya hanya mengelingkan kepala simpati dengan nasibnya.
Sampai giliran saya, sebelum sempat saya mengambil keputusan daripada tangan ustazah, kedengaran suara halus dari mulut ustazah yang mengucapkan "mabruk"!!!!!
Sirna mata saya berubah apabila menatap keputusan ditangan, Alhamdulillah 7 Mumtaz, 3 Jayyid Jiddan. Saya raupkan tangan ke muka tanda kesyukuran di atas natijah ini. Kemudian sahabat datang menerpa ke arah saya, memegang bahu sambil mengucapkan tahniah dan syabas dengan keputusan.
"Syukran, syukran!!! itu sahaja yang mampu saya luahkan dari mulut bercampur rasa haru didada. Kegembiraan saya terhakis apabila mendapat tahu yang sahabat saya ramai yang kurang baik nasibnya. Saya doa di dalam hati mudah-mudahan Allah thabatkan hati sahabat-sahabat dan diberi rezeki untuk mendapat peluang meneruskan pembelajaran.
Walaupun tidak mendapat mumtaz sofi (10 mumtaz), keputusan ini sudah cukup baik bagi saya. Saya membuat panggilan kepada keluarga memaklumkan keputusan ini. Sekali lagi saya mendapat ucapan tahniah daripada keluarga. Cuma abah dan mie dapat tahu lewat kerana sewaktu menerima keputusan, abah dan mie sedang menaiki bas bermusafir ke Kuala Lumpur bertemu anak cucu di sana.
Hari tu saya habiskan RM 20 ringgit berbelanja makan kepada kawan-kawan. Mudahan-mudahan mereka tenang dengan keputusan yang diperoleh. Hanya dua orang yang mendapat pangkat mumtaz, seorang jayyid jiddan, 7 orang jayyid, empat orang mendapat maqbul dan selebihnya seramai 10 orang memperoleh pangkat rasib. Benarlah STAM sememangnya Imtihan yang kadang-kadang boleh menjadi pemusnah harapan dan cita-cita walau hanya sekadar satu madah yang gagal. Sebak di dada mengenangkan sahabat yang tak bernasib baik, mereka semua sama seperti saya bertungkus lumus mengadap pelajaran menghadapi Imtihan. Tapi itulah realiti Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Kagum Di kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada saudari Nik Nor Madihah Nik Kamal yang berjaya dengan cemerlang dalam SPM mendapat 20 A. Insan yang miskin harta tapi kaya dengan ilmu, usaha dan kaya jiwanya yang mampu mengatasi masalah kemiskinan hidup dengan membawa kejayaan cemerlang. Orang yang berlatarkan agama tak akan rasa hina dengan kemiskinan hidup. Tak akan bersedih dengan kekurangan harta. Wala tahinu wala tahzanu, itulah pegangan mukmin cemerlang. Alf mabruk untuk semua pelajar Yayasan Islam Kelantan yang membuktikan bahawa pendidikan kita adalah yang berjaya melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.
Jutaan Terima Kasih
Buat mie dan abah, anakmu ini ingin mengucapkan terima kasih di atas segalanya. Selama ini mie dan abah sudah banyak bersusah payah mengurus hidup anakmu ini. Anakmu ini telah banyak menyusahkan abah dan mie. Kedegilan anakmu sering mencarik hati lembut mu itu. Tabahnya mie dan abah dengan kerenah orang yang adakalanya menyebabkan air mata mie dan abah menitis. Kadang kala anakmu ini menaikkan suara, mendiamkan diri, mencebik muka malahan tidak mengendahkan suaramu. Terima kasih dengan doa abah dan mie inilah yang hari ini aku mulai dapat menuai hasilnya. Tunggu sedikit saat lagi anakmu ingin berkhidmat sepenuhnya untuk kebahagian mie dan abah doalah biar anak ini sempat untuk lebih lama menerima kasih sayang kalian berdua. Ameen.
Buat adik beradik sumber inspirasi hidup.
Sekian kalinya buat guru-guru tersayang di Maahad Syamsul Maarif (L), Labok. Terima kasih di atas curahan ilmu kalian, keberkatan dipohon moga ilmu ini boleh di bawa hingga ke Akhirat, menjadi bukti, bahawa ilmu inilah menjadi saksi di hadapan Allah kelak bahawa inilah golongan yang berbakti kepada anak didiknya.
Di sini saya inginkan sebutkan senarai nama guru yang mengajar madah STAM:
Tuan mudir : Ustaz Abdullah b Ab Wahab, madah Hifz Al-Quran & Tajwid. Kadang-kadang lagaknya seorang abang yang baik malah bagaikan seorang ayah yang sering memberi nasihat.
Ustazah Raihan Bt Che Abdullah : Tafsir & Waulmuhu serta Balaghah. Guru kelas yang teristimewa bagi kami. Ada yang menggelarkannya sebagai Ummi, ada yang mengelarkan sebagai Kak Hae, membawa makna keakraban ustazah dengan anak muridnya. Sering marah dengan telatah anak murid yang tua umurnya tapi kebudakan sikapnya. Marah ustazah, marah yang penuh kasih sayang.
Ustaz Rodzlee b Yusof : Nahu & Sarf, Mutalaah & Insya' serta Fiqh. "Lautan ilmu" itulah yang sesuai digelarkan kepada ustaz. Sekelumit marah tak pernah keluar dari mulut ustaz, cuma nasihat demi nasihat itulah yang mendekatkan kami dengan ustaz.
Ustazah Hazirah Bt Ibrahim: Adab Nusus. Ustazah yang ambil berat dengan madah yang diajarnya. Sanggup ustazah bersama kami diluar waktu sekolah membantu menyiapkan kerja kursus wajib untuk madah Adab dan Nusus. Terima kasih dengan doa ustazah hingga ke hari keputusan. Biarlah doa ustazah kepada kami berlanjutan hingga ke akhirnya.
Ustaz Saaidi B Mohamad: Arudh & Qafiah. Kami tidak pernah menitiskan air mata kepada sesiapa, kecuali kepada ustaz. Ustaz sememangnya guru yang terbaik buat kami. Walaupun disaat kami memerlukan, ustaz terpaksa pergi, tapi itulah kehendak Tuhan mengurniakan guru yang dekat di hati kami.
Ustazah Bahiyyah: Tauhid & Mantiq. Kami banyak kongsi masalah dengan ustazah. Sikap yang menyebabkan kami senang dengan ustazah. Terima kasih kerana melayan kerenah dan celoteh kami.
Ustaz R. Azmi: Hadith & Mustolah. Jiwa seorang ulama' pondok begitu menebal pada penampilan ustaz. Guru yang tak pernah memegang rotan atau berkeras dengan kami.
Ustaz Arman & Ustaz Ali Zulfaqar: Dua orang ustaz muda yang datang di penghujung nyawa kami untuk menghadapi Imtihan. Ustaz Ali Menggantikan ustazah Raihan yang bersalin, Ustaz Arman menggantikan Ustaz Saaidi yang bertukar sekolah.
Buat sahabat, semoga Ikatan Pelajar Lepasan STAM 08 itu akan berkekalan sebagaimana kekalnya perhubungan kita hingga ke akhirat. Itu janji kita.