"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Ketika catatn ini ditulis saya sedang berada di Riyadh, Arab Saudi. Ini minggu ketiga saya berada di sini. Saya sekarang bergelar pelajar di Universiti Islam Al-Imam, Riyadh, Arab Saudi. Saya kira baik saya mencatat sedikit perjalanan penting hidup saya ini. Setelah hampir 6 bulan saya tidak menulis.
Setelah saya mendapat tawaran ke Riyadh, saya berhenti menulis blog. Hampir 6 bulan saya berhenti mencatatkan apa-apa. Kerana di dalam kepala saya sarat dengan gambaran pengajian di sini.
Doa Termakbul
Setahun yang lepas dihadapan ka'bah, dikala saya bertawaf selama sebulan saya berkursus di Mekah. Antara doa yang sering saya ulangi apabila sampai pusingan ketujuh saya bertawaf ialah :
"Ya Allah sampaikanlah aku kembali ke bumi mulia ini sebagai seorang pelajar.".
Ketika ummi dan abah saya pergi umrah bulan Mac yang lepas, apabila ditanya apa hajat yang ingin dikirim. Saya hanya meminta ummi dan abah doakan biar saya dapat belajar di bumi anbiya'. Dua pasang tangan ini berdoa di hadapan ka'bah. Dan ketika itulah saya mendapat keputusan tawaran ke Riyadh. Saya sujud syukur di surau USIM, Lantas menghubungi Ummi dan abah yang berada di Mekah. Saya yakin itu doa tulus dari ummi dan abah yang Allah terus sampaikan hajat saya. Ya Rabb aku syukur!!
Bertahun saya mendekam hasrat belajar di bumi suci ini, dan akhirnya pada tahun ini Allah makbulkan doa ini, Walaupun tersasar sedikit tempatnya tapi tetap di dalam lingkungan bumi suci ini.Dan biarlah jernih air mata yang merekodkan rasa syukur yang tak terhingga ini.
Tangguh USIM
Saya sudah berada di tahun tiga usim. Ada setahun berbaki bergelar sarjana muda. Tapi saya perlu mengambil tindakan berani untuk bekorban demi cita-cita. Saya tangguhkan pengajian di USIM ini hasil perbincangan dengan keluarga dan para asatizah serta hasil istikharah. Mudah-mudahan Allah merahmati keputusan ini. In Sya Allah. Bulan September 2013 saya akan sambung semester belajar yang berbaki, kemudian saya akan kembali semula ke Riyadh pada awal Januari 2014. Semua ini perancangan atas kertas dan pasti perancangan di langit lebih hebat dan saya wajib meredhainya.Amin.
Usia dan Perancangan Hidup
Saya ke Riyadh akan mengambil masa paling kurang 6 tahun untuk habiskan pengajian sarjana muda. Saya anggap ini ijazah kedua saya. Lantas terfikir dibenak saya pada usia 29 tahun barulah saya menamatkan pengajian di Riyadh. Hampir jatuh pendirian saya bila memikirkan tentang umur. Apatah lagi saya baru merancang untuk berkahwin dalam usia muda apabila tamat pengajian di USIM.
Lantas perancangan saya berubah. Saya berikhtiar untuk tidak berkahwin dalam tempoh belajar di Riyadh dan akan berkahwin pada umur 29 tahun atau 30 tahun, Biar kambing menjadi hidangan harian serta panas cuaca di sini, tetapi moga Allah kendurkan rasa mahu berkahwin itu datang dalam tempoh ini.
Saya bertemu Dr Zulkifli Al-Bakri, kata beliau ulama' berkata : "Ilmu itu hilang di celah peha wanita." Saya bertemu Dr Basit Abdul Rahman yang beliau katanya berkahwin setelah tamat ijazah sarjana muda. Dan saya bertemu Dr Johari Mat yang katanya berkahwin pada usia 29 tahun. Lantas saya mengikat kemas kain pelikat dan berusaha berkahwin pada usia yang lewat itu. Mudah-mudahan tempoh itu adalah tempoh ilmu yang perlu saya bertungkus lumus menghadapinya.
Riyadh Bumi Ulama'
Jika Mekah terletaknya masjidil haram, Madinah terletaknya masjidil nabawi, maka Riyadh adalah tempat berhimpunnya para ulama'.
Syeikh Dr Soleh Fauzan Al-Fauzan, Syeikh Dr Aidh Al-Qarni, Syeikh Dr Salman Aodah dan Syeikh Abdul Rahman Al-Arifi adalah antara ulama' besar yang sering ditemui di bumi Riyadh, kerana di sini tempat tinggal kebanyakan mereka.
Saya sempat menghadiri kuliah tauhid pada kitab Risalah Al-Qairawan yang disyarah oleh Syeikh Soleh Fauzan Al-Fauzan. Beliau merupakan antara ahli Kibar Ulama' Arab Saudi. Mudah-mudahan saya akan mendapat banyak faedah dari pengajian bersama ulama besar ini.
Universiti Islam Al-Imam
Saya bermukim di sini sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 tahun. Dan saya merancang untuk terus tamatkan PhD saya di sini. Mungkin dalam tempoh 20 tahun saya bermukim di sini.
Ini universiti terkemuka untuk rakyat Saudi, hanya 5 peratus daripadanya pelajar asing. Universiti yang mewah dan saya mendapat elaun sebanyak RM850 sebulan. Alhamdulillah.
Saya kini berada di Maahad Lughah. Dan akan mengambil masa setahun untuk mahir bahasa arab. Kemudian meneruskan masa selama setahun diploma dan 4 tahun ijazah. Guru-guru bahasa di sini dari kalangan warga Mesir yang mesra dan penyanyang.
Doakan saya dapat alim, faqih dan bertakwa sepanjang berada di bumi mulia ini.
Seringkali hati berkata : " Sejauh mana dan semulia mana tempat yang kamu jejaki, jika tidak bersama kamu hati yang tulus mahu bertemu Tuhan. Pasti jasad kosong itu tidak akan memberi manfaat kepadamu. Bawalah hati yang tulus bersama jasad yang teguh bertemu Tuhan."