"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Semalam saya ada peristiwa yang menarik untuk dikongsikan bersama. Dari kerana RM 80 mempunyai ceritanya sendiri. RM 80 jumlah tampak besar bagi pelajar yang sederhana hidupnya. Tapi dua minggu yang lepas, dalam suasana pelajar STAM menghadapi Imtihan, kami dimaklumkan dalam cuti ni akan diadakan Kem Mendaki Puncak untuk calon STAM dan SPM. Tempat berlangsungnya adalah di Permai Chalet, Kandis, Bachok. Tapi yang terkejutnya yuran sebanyak RM 80 perlu dibayar sebelum cuti sekolah.
Pihak sekolah telah berbincang dengan sebahagian ibu-bapa yang hadir dalam mesyuarat tentang yuran untuk kem ini, dan Ibu-bapa yang hadir setuju sahaja dengan yuran sejumlah RM 80. Secara peribadi saya berat untuk membayarnya, tetapi memikirkan kepentingan Kem ini dan suasana indah pantai itu menyebabkan saya bersetuju sahaja. Kadang-kadang saya teruja dan tidak sabar-sabar untuk ke sana.
Tapi Saya Terlupa
Saya terlupa dengan yang lain adakah mereka turut seronok untuk ke sana, ia benar saya sudah terleka dengan nasib sahabat-sahabat yang lain. Rupa-rupanya ada dikalangan mereka yang begitu bermasalah untuk membayar RM 80. Seminggu yang berlalu setiap kali habis menjawab kertas, solan tentang bayaran sering menjadi pertanyaan kepada mana-mana guru yang mengawas peperiksaan. Semua jawapan dari guru adalah bayaran adalah muktamad, berdasarkan mesyuarat Ibu-bapa yang hadir beberapa hari yang lepas. Saya tidak berhasrat ingin membantah tentang bayaran, kerana menyedari bahawa sekolah tiada wang untuk menampung perbelanjaan program yang besar ini. Tapi saya juga harus membela nasib sahabat-sahabat yang benar-benar tidak berkemampuan. Hari-hari yang terakhir ini, dialog sesama kami sentiasa hangat, walau ada yang sebahagiannya adalah mampu untuk membayarnya.
Nasib Kami
Siapa yang tahu bahawa sebahagian dari kami berlatar belakangkan keluarga yang susah. Ada yang ayahnya sedang uzur dan sudah tidak mampu bekerja. Ada keluarganya mempunyai tanggungan yang ramai sedangkan kewangan yang sempit. Ada yang kadang-kadang tidak hadir ke sekolah, bukan kerana malas tetapi tiada wang untuk membeli minyak motor. Ada dikalangan kami jarang-jarang ke kantin, bukan berpuasa tetapi langkah penjimatan.
RM 80 jumlah yang besar, cukup untuk duit poket sebulan, cukup untuk minyak motor sebulan malah boleh digunakan pula untuk fotostat nota-nota menghadapi peperiksaan.
Sahabat-sahabat saya umurnya sudah menjangkau 18 dan 19 tahun. Umur yang cukup dewasa. Saya sedar mereka tidak mahu lagi menyusahkan ibu-bapa, mereka tidak mahu lagi membebankan ibu-bapa. Cukuplah wang titik peluh ibu-bapa untuk persekolahan adik-adik yang ramai ini. Bergelar dewasa, untuk meminta wang adalah amat berat sekali.
Ada sahabat saya bekerja untuk menambah pendapatan keluarga. Walau sedar akan mengganggu pelajaran, tetapi ini sahaja jalan yang ada.
Saya Bangga Sahabat Yang Peduli
Luruh air mata saya apabila dikalangan sahabat saya mencadangkan supaya pelajar kelas kami turun ke bandar mencari sumbangan. Saya terharu, kerana sikap peduli sahabat ini. Dia bukan orang yang tarbiyyah tetapi jiwa peduli kawan ini menyebabkan saya terharu. Saya bersemangat untuk menyokong cadangan mereka.
Keesokan harinya setelah selesai menjawab kertas akhir, saya bertemu dengan seorang sahabat yang tak mampu. Benarlah dia memang benar-benar tidak mampu membayar dan katanya dia tak hadir untuk kem ini kerana bayaran yanhg mahal. Saya katakan semua orang mesti hadir ke kem ini, soal bayaran nombor dua dan saya janji akan membantu.
Kami Pembela
Jika tiada yang membantu, biarlah kami sahaja yang membantu. Itu tekad kami. Setelah berurusan dengan pejabat mengenai surat sumbangan kami pecahkan kepada beberapa kumpulan, Saya bersama dengan Baihaqi turun ke Bandar Pasir Puteh. Sasaran kami, jika RM 2000, pelajar STAM tidak perlu membayar RM 80. Terima kasih kepada Ustaz Li, yang menyokong usaha kami. Katanya, Kalau tahu begini selesailah masalah kewangan.
Selesai zohor saya bertolak ke Pasir Puteh, bandar yang jarang saya pergi.
Dipandang Rendah
Sangkaan saya usaha ini diterima masyarakat tapi sebenarnya tidak begitu. Ada setengah mereka tidak pandang pun pada kami, ada yang apabila saya pergi terus sahaja dia bagi wang tanpa sempat untuk memberi salam pun. Seolah-olah kami ini peminta sedekah. Malah ada yang tak percaya dengan kami dan katanya duit tu untuk beli rokok. Hampir sahaja tangan ini ringan untuk menampar pemuda itu. Seorang taukeh emas, sumbangannya hanya seringgit tapi herdikannya kepada kami sungguh tidak kami terima.
Saya dan sahabat solat asar di Masjid Bandar kemudian saya belanja Baihaqi Nasi Air Mak Su. Walau niat saya untuk berpuasa pada hari tu, tapi kerana ingin meraikan sahabat yang bertungkus lumus mencari sumbangan, saya batalkan puasa dan keluarkan RM 9.50 untuk dua mangkuk nasi air dan dua gelas minuman. Mahal juga, tapi puas hati. Lain kali kalau ada duit saya akan datang ke sini lagi. Tempat kenangan saya dan Ustaz Azmil Umor dahulu.
Akhirnya, saya hanya memproleh RM 80, sahabat saya di Machang memproleh RM 300 manakala di Tanah Merah pula sebanyak RM 50 sahaja. Apa pun saya puas hati, usaha ini walau tidak dihargai tetapi cukuplah mengajar kami erti sebuah persahabatan dan sifat kasih sayang. Kami bergerak atas dasar kebajikan, membela nasib dan meringankan beban.
Walau pada zahir dilihat seperti tidak bersemangat untuk ke kem tapi yakinlah semua kami begitu menyokong program ini, kalau tidak kami tidak akan sanggup diherdik dan dimaki semata-mata untuk memperoleh sumbangan. Maruah ini kadang-kadang tergugat dek cacian masyarakat, tapi percayalah jiwa kami tidak gentar dengan hinaan seperti itu.
Doakanlah semoga semua sahabat berjaya dalam Imtihan dan semoga Allah menerima amal kebajikan kami. Sedarlah, kita hina disisiNya......