Salam syuhada' Salam istikharah cinta,
Catitan ini adalah catitan ringan saya selepas dua bulan tidak bekarya. Ada dua faktor, tahap akademik saya semakin berkurang dan cabaran menghadapi pelbagai situasi genting sebulan ini.
Ini adalah catitan cinta yang ingin kongsi bersama. Cinta bukan perkara akademik yang perlu didalami secara mendalam perbahasannya. Cinta adalah perkara yang berkaitan iman dan perasaan. Tidak dapat tidak cinta juga memerlukan ilmu sebagai pengawal kepada perasaan dan penambahan kepada iman.
Jika kita bercinta atau jatuh cinta, perkara pertama yang perlu kita kaji adalah diri kita kemudian barulah diri orang yang dicintai itu. Justeru kekuatan yang ada pada kita adalah asas kepada permulaan cinta itu.
Kurang ilmu dan agama faktor rosaknya sebuah percintaan. Kerana sebuah percintaan itu memerlukan kawalan yang rapi. Kerana perasaan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dengan akal dan kebaikan seseorang. Seseorang itu nampak baik pada zahirnya bukanlah penentu kepada kemampuan untuk kawalan cinta ini. Kawalan cinta ini luhur dari iman yang teguh dan ilmu yang mantap.
Memilih untuk bercinta adalah keputusan penting yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Kerana ia membabitkan kewajipan, keutamaan, keperluan, kesanggupan, perancangan dan keredhaan. Kesemuanya itu berlangsung dan perlu difahami kedua belah pihak.
Keputusan untuk menaruh perasaan kepada seseorang adalah memerlukan ketabahan hati. Jiwa perlu lapang dan besar. Ketika ini takdir akan diaplikasikan dengan sebenarnya. Kerana hanya ada dua keputusan terima atau tidak. Cinta itu adalah satu gelojak perasaan yang bergelora. Jika tidak kena caranya bakal membakar diri dan orang lain. Teringat dengan catatan Ibn Qayyim al-jauzi dalam kitabnya menyebut: “Cinta itu ialah bara di dalam hati, membakar apa pun yang tidak dikehendaki sang kekasih”.
Kata-kata Ibn Qayyim ini dapat kita ketahui seolah-olah pendaman perasaan cinta kita kepada seseorang bakal memberi kesan yang tidak elok jika bukan dengan caranya.
Sebab itulah cinta bukan kerana ikut-ikutan kerana nafsu akan berperanan. Tapi cinta adalah satu keputusan dan perancangan yang rapi. Ingatlah cinta adalah satu kuasa yang luar biasa, dan jika kena luahannya bakal memperoleh natijah yang baik. Makna cinta kepada seseorang perlu dipedalami dengan bersungguh.
Justeru Ibn Qayyim sekali lagi menyebut makna cinta dengan ibarat yang begitu indah:
“Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya, adalah ketakutan kepadanya , daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupnya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong, bererti cinta itu kosong.” Dalam membawa pelayaran cinta ini, pelbagai isu dan permasalahan luaran dan dalaman yang membantut usaha seseorang itu menzahirkan rasa cintanya.
Seseorang itu tidak layak untuk bercinta jikaibadahnya tidak sempurna. Bagaimana mungkin orang yang tidak menunaikan solat untuk bercinta. Dirinya sendiri tak terjaga apatah lagi untuk membawa satu amanah besar percintaan ini. Apa jaminan untuk kesucian sebuah cinta jika hubungan mulia dengan Ilahi tidak terlaksana. Bahkan cinta yang diterokainya ini menambah lagi mafsadah kepada dirinya dalam kekhusyukan beribadah kepada Allah. Mari kita murnikan sebuah percintaan ini. Kadang-kadang percintaan kita terganggu kerana faktor keluarga. Sesetengah keluarga mempunyai pemikiran lama yang masih sukar diubah. Kadang-kadang pemikiran ini membawa kepada kesyirikan kepada Allah. Saya teringat kepada sebuah filem karya Habiburrahman El-shirazy, keluarga dalam filem ini menolak luahan cinta seorang lelaki soleh kerana lelaki ini anak sulung. Justeru anak sulung dalam kepercayaan mereka bakal membawa kemudaratan kepada anak tunggal mereka. Astaghfirullah, inilah adalah kesyirikan yang nyata dalam pemikiran orang lama.
Sedangkan dalam Islam jelas membahaskan perihal kufu atau kesamaan pasangan dalam sebuah perkahwinan. Kufu itu tidak pernah menyebut perihal status, kedudukan atau nilaian keturunan atau bilangan adik beradik. Kufu yang dibahaskan disini adalah nilai agama pasangan terbabit. Justeru tidak kufu satu pasangan yang seseorang itu orang jemaah masjid dengan pasangan seorang pelaku maksiat jalanan.
Soal tinggi pendek, kurus (keding) atau gemuk, putih atau hitam, jawa atau cina adalah persoalan subjektif yang tidak mungkin dapat disamakan semuanya sekali.
Mari kita murnikan percintaan ini. Cinta sepatutnya melepasi ruang lingkup kekeluargaan. Justeru nabi tidak menggalakkan percintaan dengan hubungan yang terdekat. Kerana Islam mahukan keturunan itu berkembang dengan luasnya merentasi sempadan kekeluargaan dan kaum. Kerana Allah menciptakan lelaki dan perempuan, warna kulit yang pelbagai untuk berkenalan.
Konflik dalam bercinta ialah memilih orang yang dicintai. Cantik disisi kita tidak semestinya cantik disisi Allah, baik disisi kita tidak semestinya baik disisi Allah. Justeru pilihan cinta hendaklah berdasarkan kehendak Allah. Kehendak Allah adalah kehendak agama yang digariskan dalam Al-Quran. Ingat dalam surah Rum ada tiga sifat dalam sebuah percintaan itu: mawaddah, rahmah dan sakinah. ketiga-tiga sifat ini semuanya berkaitan dengan hamba Allah yang gigih melaksanankan tanggungjawab agama.
Putih, gebu, mata bulat, dahi licin, tinggi lampai, berjanggut lebat, bermisai nipis bukanlah penentu kepada baiknya seseorang yang dicintai itu. Tapi kecantikan tidak boleh lari dari pilihan manusia ini. Justeru nabi menyebut tentang memilih pasangan antaranya adalah kerana kecantikan. tetapi agama yang lebih utama. Jika yang dicintai itu beragama dan cantik maka ia adalah pakej yang sempurna anugerah Ilahi.
Mari kita murnikan percintaan ini dengan melakukan istikharah cinta. Dalam solat istikharah kita meletakkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Kerana dalam doa istikharah menyebut perihal imu Allah dan takdir Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa supa Allah bagi jalan petunjuknya untuk kita memilih cinta kita yang terbaik disisi Allah.
Percintaan yang dibicarakan ini berbalik kepada penghambaan kita kepada Allah. Sucikan hati kita dan bersungguhlah mencari kebenaran dalam bercinta.
Ibn Qayyim Al-jauzi ada menyebut :
“Tunggalkan Allah dalam cinta dan berikan kepadaku kasih sayang, atau cintamu kepadaku sebagai cinta kerana kasih sayang, yang telah dimasukkan oleh Allah ke dalam hati orang tua kepada anaknya, bukan cinta disamping cinta kepada Allah”.
Subhanallah yang menciptakan hati ini untuk diisi dengan sebaiknya. Jangan kotorkan hati ini dengan maksiat dan kegelapan. Mudah-mudahan dengan istighfar kita Allah bukakan mata hati untuk kita benar memilih cinta yang sebenarnya.
Ingatlah firman Allah S.W.T :“Sesungguhnya Bukan Mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” – Alhajj:46
-surau fkp, 9.43 p.m Labels: Dakwah, Karya, Kehidupan |