"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Saya tidak dapat hadir demontrasi BERSIH 2.0 kerana ada halangan lain dan maslahah yang perlu diutamakan. Saya agak kecewa kerana gagal menghadiri perhimpunan rakyat ini. Perhimpunan budaya rakyat Malaysia dalam negara demokrasi.
Demontrasi adalah unsur yang begitu rapat dengan jiwa saya. Demontrasi telah mendewasakan perjuangan dan kehidupan hari ini. Setiap peristiwa demontrasi yang saya hadir mempunyai kenangan-kenangan istimewa. Ada kesan sejarah yang terukir di hati.
Angin demontrasi hari ini telah mengugah pemimpin dan parti kerajaan. Mereka sangka, kerajaan mereka adalah kerajan kekal sehingga kiamat. Sehingga terlupa mereka bahawa kerajaan ini telah lama memuakkan dan menaikkan rasa benci rakyat.
Semuanya kerana satu patah perkataan; zalim, kotor, rasuah, ganas dan rakus. Patah perkataan ini telah dialami rakyat marhaen berpuluh tahun lamanya. Kerana rakyat cintakan keamanan dan kedamaian maka rakyat turun ke jalanan sebagai isyarat bahawa rakyat tidak mahu terus-menerus dizalimi.
9 Julai 2011 bakal mencatat satu sejarah kebangkitan rakyat, BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat menuntut pilihanraya bersih dan adil. Tiada sekelumit pun unsur jenayah yang terdapat dalam perhimpunan ini. Cukup bermatlamat dan programnya cukup tersusun. Iaitu rakyat berhimpun memohon YDPA menerima memorandum rakyat perihal sistem pilihanraya yang sudah hilang kredebilitnya lagi.
Sungguh istimewa ahli-ahli akademik negara bersekutu menyokong acara budaya rakyat Malaysia. Malahan sasterawan negara menyumbang sokongan dengan lirik puisinya yang menerbit juang rakyat marhaen.
Kata Dr Zaharuddin, demontrasi adalah halal, bukan bid'ah. Tidak boleh diharamkan kerana tiada nas untuk mengharamkannya. Demontrasi adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang diterima dalam sistem pemerintahan negara.
Kata Dr Asri, setelah memahami dan tujuan diadakan BERSIH ia wajar diadakan sebagai memenuhi tuntutan perlembagaan untuk kepentingan politik semasa.
Saya menghubungi Professor Dr Abu Hassan melalui FB dan meminta beliau memberi komen, dengan ringkas beliau menyebut, 'biar rakyat punya lidah sendiri', katanya lagi; 'demontrasi adalah himpunan budaya dalam negara demokrasi.'
Kata Professor Dr Aziz Baari, tindakan pihak berkuasa menghalang BERSIH adalah bertentangan dengan perlembagaan.
Manakala A.Samd Said menukil dua puisi membangkitkan semangat perjuangan rakyat khususnya untuk BERSIH 2.0 Puisinya yang bertajuk Ungun Bersih dan Peludah Warna bagaikan senjata pemusnah kepada parti pemerintah.
Kini semuanya kembali kepada demonstrator untuk turun ke jalanan menyatakan sokongan terhadap tuntutan rakyat. Inilah masanya kerja lapangan dakwah dapat dilaksanakan secara meluas tanpa halangan.
Demontrasi adalah pesta tarbiyyah buat aktivis dakwah yang hidupnya dalam perjuangan. Di sinilah kita kan bertemu, berpelukan dan berbual mesra, menambahkan semangat dan idea dalam perjuangan.
Ia juga adalah himpunan dakwah apabila masyarakat Islam bersama dengan bukan Islam pelbagai bangsa berkumpul dengan aman. Sungguh pelik atas dasar apakah masyarakat berbeza agama dapat berkumpul? Jawapannya adalah atas dasar keadilan sejagat. Tidak kira Islam atau bukan Islam kesemuanya mahukan keadilan. Indahnya jika pendakwah Islam dapat tonjolkan semasa BERSIH keadilamn itulah yang Islam juangkan zaman-berzaman. Tetapi malangnya masyarakat bukan Islam terhijab dengan Islam itu dek kerana bangsatnya pemimpin yang memerintah dengan hilangnya maqasid syariah dalam pemerintahan.
Justeru demonstrator Islam pada hari BERSIH perlu sejagat dengan niat menyeru dan berdakwah kepada bukan Islam bahawa Islam bersama dengan keadilan dan hak-hak rakyat terbela di bawah Islam itu sendiri.
Demonstrator pada hari BERSIH akan bertindak aman dan amanah. Mereka tidak akan mengkhianati undang-undang yang diperuntukkan. Tiada keperluan untuk merosakkan harta benda awam kerana itu tindakan jahat dan tidak bermatlamat. Matlamat utama adalah menyampaikan memorandum kepada YDPA.
Namun provokasi jahat dari kumpulan tertentu bakal mengecohkan susana BERSIH. Tugas demonstrator ialah sentiasa menurut arahan pihak berkuasa dan kepala perhimpunan. Juga bertindak menenangkan rakan-rakan disekeliling. Yang pasti lafaz zikir tidak sekali-sekali berhenti dari mulut demonstrator Islam.
Jangan sesekali melawan, sentiasa bersama dengan orang ramai. Bantulah wanita, orang tua dan anak-anak kecil dalam kesusahan. Pernah saya melihat wanita yang keseorangan disembur dengan air gatal FRU tanpa henti. Pernah juga saya melihat anak seusia 4 tahun menangis kepedihan mata kerana disembur gas oleh FRU. Ada saya melihat orang tua terkapai-kapai mencari air dan rebah tersungkur dijalanan dihambat oleh FRU. Maka ketika inilah demonstrator Islam menjadi benteng dan penyelamat kepada mereka. Jangan sesekali golongan lemah ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemuda-pemuda demonstrator.
Saudara yang akan menyertai demonstrasi, bersedialah bahawa kalian akan dihambat dengan bedilan asap. Kalian akan mendapat hawa dari gas tersebut. Hawa dari gas itu bagaikan membakar wajah saudara. Saudara akan berasa kepedihan teramat sangat. Pada masa tu, air dan garam sahaja penawar kepedihan yang dialami saudara. Dalam keadaan ini semua sudah tidak fikirkan sahabat-sahabt yang lain. Bertempiaran mencari tempat jauh dari asap.
Kemudian, saudara kena berkumpul semula menunjukka solidariti bersama, usah hirau rasa pedih muka dek gas pemedih kerana ia akan beransur hilang. Setelah berkumpul, saudara akan mendapat semangat baru dan bertambah semangat saudara. Teruslah berjalan menuju destinasi. Ketika itu pihak keselamatan hanya membatu melihat gerombolan saudara.
Ada satu lagi senjata FRU yang agak memeritkan, iaitu semburan air sabun yang gatal. Apabila saudara terkena air gatal ini, saudara bagaikan diazab dengan rasa pedih dan kegatalan yang meresapi keseluruh kulit. Hal ini membatutkan perjalanan saudara. Saudara kena tahan dan berusaha mencari sumber air untuk hilangkan kegataln tersebut.
Dan jika pihak keselamatan gagal meleraikan perhimpunan, akhirnya senjata terakhir yang digunakan adalah menangkap setiapa seorang dari kamu secara rambang. Saudara adalah keberangkalian yang akan ditangkap. Maka bersedialah dari fizikal dan mental.
Ketika saudara ditangkap, tiada siapa yang dapat membantu. Hanya yang ada pada saudara adalah Allah. Saudara akan terasa kosong, sahabat-sahabat yang ramai ketika bersama saudara langsung tidak boleh membantu. Ketika saudara digari, saudara akan terasa betapa beratnya perasaan ketika itu. Gari besi itu bagaikan api yang mengikat tangan saudara. Berzikirlah, pasti terpancar kekuatan datang dari Allah.
Saat disoal siasat, yakinlah Allah bersama saudara. Bertindaklah sebagai lelaki. Jawapan hendaklah bijaksana. Jangan terperangkap dengan soalan-soalan pegawai penyiasat. Jangan mengaku bersalah, kerana tindakan saudara termaktub dalam undang-undang.
Allah, saya kecewa tidak dapat hadir ke BERSIH. Teringat bagaimana sahabat nabi yang dijanjikan kebaikan, Kaab Bin Malik yang tidak dapat menyertai perperangan Tabuk. Sesal sungguh Kaab sehingga dia menangis. Allah taala telah menguji beliau dengan satu hukuman yang berat. Para sahabat dan nabi memulaunya sehingga berpuluh hari. Perasaan Kaab ketika itu tersepit. Atas kecekalannya, taubatnya diterima dan kemaafannya juga diterima.
Saya mengambil kekuatan disaat kekecewaan ini dengan kalimah mulia dari wahyu :
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]
Moga kembara musafir aku esok, mengutip mutiara ilmu di tanah suci, mengampun dosa aku untuk tidak turun ke medan perjuangan. Ya, tidak semua harus turun ke medan juang, moga aku adalah golongan yang sedang menekuni ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat. Allah, kamu saksikanlah!!
Catitan ini adalah catitan ringan saya selepas dua bulan tidak bekarya. Ada dua faktor, tahap akademik saya semakin berkurang dan cabaran menghadapi pelbagai situasi genting sebulan ini.
Ini adalah catitan cinta yang ingin kongsi bersama. Cinta bukan perkara akademik yang perlu didalami secara mendalam perbahasannya. Cinta adalah perkara yang berkaitan iman dan perasaan. Tidak dapat tidak cinta juga memerlukan ilmu sebagai pengawal kepada perasaan dan penambahan kepada iman.
Jika kita bercinta atau jatuh cinta, perkara pertama yang perlu kita kaji adalah diri kita kemudian barulah diri orang yang dicintai itu. Justeru kekuatan yang ada pada kita adalah asas kepada permulaan cinta itu.
Kurang ilmu dan agama faktor rosaknya sebuah percintaan. Kerana sebuah percintaan itu memerlukan kawalan yang rapi. Kerana perasaan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dengan akal dan kebaikan seseorang. Seseorang itu nampak baik pada zahirnya bukanlah penentu kepada kemampuan untuk kawalan cinta ini. Kawalan cinta ini luhur dari iman yang teguh dan ilmu yang mantap.
Memilih untuk bercinta adalah keputusan penting yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Kerana ia membabitkan kewajipan, keutamaan, keperluan, kesanggupan, perancangan dan keredhaan. Kesemuanya itu berlangsung dan perlu difahami kedua belah pihak.
Keputusan untuk menaruh perasaan kepada seseorang adalah
memerlukan ketabahan hati. Jiwa perlu lapang dan besar. Ketika ini takdir akan diaplikasikan dengan sebenarnya. Kerana hanya ada dua keputusan terima atau tidak.
Cinta itu adalah satu gelojak perasaan yang bergelora. Jika tidak kena caranya bakal membakar diri dan orang lain. Teringat dengan catatan Ibn Qayyim al-jauzi dalam kitabnya menyebut:
“Cinta itu ialah bara di dalam hati, membakar apa pun yang tidak dikehendaki sang kekasih”.
Kata-kata Ibn Qayyim ini dapat kita ketahui seolah-olah pendaman perasaan cinta kita kepada seseorang bakal memberi kesan yang tidak elok jika bukan dengan caranya.
Sebab itulah cinta bukan kerana ikut-ikutan kerana nafsu akan berperanan. Tapi cinta adalah satu keputusan dan perancangan yang rapi. Ingatlah cinta adalah satu kuasa yang luar biasa, dan jika kena luahannya bakal memperoleh natijah yang baik. Makna cinta kepada seseorang perlu dipedalami dengan bersungguh.
Justeru Ibn Qayyim sekali lagi menyebut makna cinta dengan ibarat yang begitu indah:
“Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan
kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya, adalah ketakutan kepadanya , daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupnya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong, bererti cinta itu kosong.”
Dalam membawa pelayaran cinta ini, pelbagai isu dan permasalahan luaran dan dalaman yang membantut usaha seseorang itu menzahirkan rasa cintanya.
Seseorang itu tidak layak untuk bercinta jikaibadahnya tidak sempurna. Bagaimana mungkin orang yang tidak menunaikan solat untuk bercinta. Dirinya sendiri tak terjaga apatah lagi untuk membawa satu amanah besar percintaan ini. Apa jaminan untuk kesucian sebuah cinta jika hubungan mulia dengan Ilahi tidak terlaksana. Bahkan cinta yang diterokainya ini menambah lagi mafsadah kepada dirinya dalam kekhusyukan beribadah kepada Allah.
Mari kita murnikan sebuah percintaan ini. Kadang-kadang percintaan kita terganggu kerana faktor keluarga. Sesetengah keluarga mempunyai pemikiran lama yang masih sukar diubah. Kadang-kadang pemikiran ini membawa kepada kesyirikan kepada Allah. Saya teringat kepada sebuah filem karya Habiburrahman El-shirazy, keluarga dalam filem ini menolak luahan cinta seorang lelaki soleh kerana lelaki ini anak sulung. Justeru anak sulung dalam kepercayaan mereka bakal membawa kemudaratan kepada anak tunggal mereka. Astaghfirullah, inilah adalah kesyirikan yang nyata dalam pemikiran orang lama.
Sedangkan dalam Islam jelas membahaskan perihal kufu atau kesamaan pasangan dalam sebuah perkahwinan. Kufu itu tidak pernah menyebut perihal status, kedudukan atau nilaian keturunan atau bilangan adik beradik. Kufu yang dibahaskan disini adalah nilai agama pasangan terbabit. Justeru tidak kufu satu pasangan yang seseorang itu orang jemaah masjid dengan pasangan seorang pelaku maksiat jalanan.
Soal tinggi pendek, kurus (keding) atau gemuk, putih atau hitam, jawa atau cina adalah persoalan subjektif yang tidak mungkin dapat disamakan semuanya sekali.
Mari kita murnikan percintaan ini. Cinta sepatutnya melepasi ruang lingkup kekeluargaan. Justeru nabi tidak menggalakkan percintaan dengan hubungan yang terdekat. Kerana Islam mahukan keturunan itu berkembang dengan luasnya merentasi sempadan kekeluargaan dan kaum. Kerana Allah menciptakan lelaki dan perempuan, warna kulit yang pelbagai untuk berkenalan.
Konflik dalam bercinta ialah memilih orang yang dicintai. Cantik disisi kita tidak semestinya cantik disisi Allah, baik disisi kita tidak semestinya baik disisi Allah. Justeru pilihan cinta hendaklah berdasarkan kehendak Allah. Kehendak Allah adalah kehendak agama yang digariskan dalam Al-Quran. Ingat dalam surah Rum ada tiga sifat dalam sebuah percintaan itu: mawaddah, rahmah dan sakinah. ketiga-tiga sifat ini semuanya berkaitan dengan hamba Allah yang gigih melaksanankan tanggungjawab agama.
Putih, gebu, mata bulat, dahi licin, tinggi lampai, berjanggut lebat, bermisai nipis bukanlah penentu kepada baiknya seseorang yang dicintai itu. Tapi kecantikan tidak boleh lari dari pilihan manusia ini. Justeru nabi menyebut tentang memilih pasangan antaranya adalah kerana kecantikan. tetapi agama yang lebih utama. Jika yang dicintai itu beragama dan cantik maka ia adalah pakej yang sempurna anugerah Ilahi.
Mari kita murnikan percintaan ini dengan melakukan istikharah cinta. Dalam solat istikharah kita meletakkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Kerana dalam doa istikharah menyebut perihal imu Allah dan takdir Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa supa Allah bagi jalan petunjuknya untuk kita memilih cinta kita yang terbaik disisi Allah.
Percintaan yang dibicarakan ini berbalik kepada penghambaan kita kepada Allah. Sucikan hati kita dan bersungguhlah mencari kebenaran dalam bercinta.
Ibn Qayyim Al-jauzi ada menyebut :
“Tunggalkan Allah dalam cinta dan berikan kepadaku kasih sayang, atau cintamu kepadaku sebagai cinta kerana kasih sayang, yang telah dimasukkan oleh Allah ke dalam hati orang tua kepada anaknya, bukan cinta disamping cinta kepada Allah”.
Subhanallah yang menciptakan hati ini untuk diisi dengan sebaiknya. Jangan kotorkan hati ini dengan maksiat dan kegelapan. Mudah-mudahan dengan istighfar kita Allah bukakan mata hati untuk kita benar memilih cinta yang sebenarnya.
Ingatlah firman Allah S.W.T :“Sesungguhnya Bukan Mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” – Alhajj:46
Semalam terperangkap di Seremban, hajat untuk pulang ke Machang terhalang dek banjir menenggelami landasan kereta api di Tampin dan Gemas. Sedang berjalan-jalan di atas pasar raya, terserempak dengan poster filem Shaolin. Baru saya tahu bahawa di sini ada pawagam. Dengan ijtihad sendiri, saya ambil keputusan untuk membeli tiket pawagam Shaolin, walaupun medapat tentangan keras oleh kakak yang mesej melalui telefon. Ijtihad saya: ini bukan filem cinta, seks dan merosakkan akhlak. Ini filem perjuangan marhaen di bumi Shaolin. Saya melangkah ke pawagam yang buat pertama kalinya saya ke tempat ini setelah dulu saya orang yang jelek terhadap objek ini. Hanya lima orang yang menonton, bukti betapa bersihnya cerita ini.
Kisah Jeneral Hung, yang menguasai wilayah di kawasan Wilayah China. Setelah berjaya menundukkan musuh utama di kawasan Shaolin, Jeneral Hung semakin bongkak dan menghina pelajar-pelajar Shaolin yang dianggap bodoh dan tidak bermanfaat.
Disebalik kejayaan Jeneral Hung ia diganggu dengan kemahuan kawan baiknya, Jeneral Sung untuk menuntut kuasa wilayah. Tatkala pertelingkahan itu, pembantu Jeneral Hung; Tsao mengambil peluang keemasan menambahkan api perpecahan dua sahabat ini. Sehingga idea untuk membunuh Jeneral Sung menjadi pilihan Jeneral Hung.
Hasil fitnah ini, Jeneral Hung terbabit dengan pembunuhan bersaudara. Tsao, pembantu khianat telah mengupah pemberontak untuk mengucar-kacirkan keadaan sehingga anak perempuan Jeneral Hung terbunuh di kuil Shaolin.
Mulai saat itu Jeneral Hung mulai insaf, bertekad untuk membuang kebencian dalam dirinya, membuat keputusan menjadi shaolin. Latihan semasa berada di kuil shaolin mendidik nilai kejujuran, keikhlasan dan kasih sayang sehingga kebenciannya kepada musuh hilang berlalu.
Namun disaat itu beliau masih lagi ingin menebus kesilapan lalu. Disaat rakyat dibawah regim Tsao dizalimi, Hung mencanangkan gerakan membebaskan rakyat dari kezaliman Tsao.
Bermula dari kuil Shaolinn, rancangan membebaskan kezaliman itu menemui keberhasilan yang baik. Seluruh marhaen menyokong tindakan shaolin itu.
Watak-watak utama dalam filem ini semuanya terbunuh dalam perperangan pembebasan ini. Dua abang besar dari kuil Shaolin mati dalam keadaan kejam. Rahib juga terbunuh.
Sehingga Andy Lau yang memegang watak utama sebagai Jeneral Hung terbunuh di bawah hempapan kayu runtuhan kuil. Sungguh dramatik kerana kematiannya betul-betul di atas tapak tangan patung Buddha.
Dikesempatan itulah tentera asing mengambil peluang menyerang hendap kedua-dua kumpulan ini. Menjadikan perperangan tiga penjuru yang dahsyat. Akhirnya skuad Shaolin berhasil menumpaskan tentera asing itu.
Filem ini begitu kuat membicarakan tentang pegangan agama Budah, falsafah perjuangan dan semangat perjuangan yang tinggi.
Puas hati menonton filem ini sehingga terlepas komuter balik ke Nilai, walhasilnya bermalam lah aku di bangku besi KTM Seremban. Moga Allah mengampunkan aku, dan aku berharap ingin mengadaptasikan filem ini sebagai cerpen kreatif dengan olahan perjuangan Islam yang lebih luhur, mantap dang semangat jihad yang hebat. InsyaAllah
Agenda Ramadhan adalah melahirkan ketaqwaan dan rasa takut kepada Allah S.W.T. Saidina Ali mentakrifkan takwa sebagai ; Takut kepada Allah yang Agung, Beramal dengan apa yang diturunkanNya, Redha dengan kurniaan yang sedikit dan bersedia menghadapi Hari Perpindahan (hari Qiamat).
Proses mendapatkan ketakwaan dalam bulan Ramdhan ini dengan kita bersungguh melaksanakan ibadat kepadaNya. Maka aktiviti tadarrus Al-Quran, bertarawikh, Qiam dan tazkirah adalah proses untuk melahirkan ketakwaan kepada Allah S.W.T.
Perkara yang paling penting adalah selepas melalui madrasah Ramadhan ini, apakah perlaksanaan yang sepatutnya dilakukan oleh hamba bagi membuktikan kejayaan tarbiyyah itu tad?. Sepatutnya agenda mengubati masalah masyarakat adalah agenda utama sebagai bukti kejayaan tarbiyyah di bulan Ramadhan.
Sungguh mendukacitakan, sepanjang Ramadhan ini media massa begitu istiqamah menyiarkan berita pembuangan bayi di seluruh tempat di Malaysia. Melaka menjadi kawasan popular tempat berlakunya pembuangan bayi. Seakan-akan masyarakat kita kembali ke dunia jahiliyyah.
Semua pokok permasalahan ini merujuk kepada didikan nilai kepada masyarakat semasa. Masyarakat sudah hilang nilai akhlaknya, sudah hilang identiti Islamnya. Cinta songsang menjadi pilihan, pembunuhan anak tidak berdosa adalah tafsiran kepada rosaknya nilai dan budi masyarakat. Semua kes ini berlaku dalam kalangan remaja lebih-lebih lagi remaja yang berpendidikan di universiti.
Dalam konteks USIM sebagai universiti Islam, sudah sampai masanya USIM menjadi peneraju kepada solusi masalah ummat. Perlaksanaan idea kepada penyelesaian masalah ini perlu diorganisasikan dan tadbir urus dengan bersungguh-sungguh dan cermat. Jika melihat suasana masyarakat kampus USIM, sudah tiba masanya kita melakukan sesuatu bagi mengubat penyakit yang parah dan berjangkit ini.
Penyakit yang parah yang dimaksudkan di sini ialah penyakit cinta tanpa ikatan sah, ikhtilat yang mulai bermaharajalela, pertemuan lelaki dan perempuan dalam keadaan berdua-duaan, lelaki dan perempuan berada dalam kereta berpasangan, lelaki dan perempuan berbonceng menaiki motorsikal sehingga kadang-kadang membawa kepada peristiwa penangkapan khalwat di rumah sewa, mengaku berzina dan pelbagai lagi peristiwa yang mengaibkan kepada kita warga universiti.
Perhatian! Jika inilah masalahnya, adakah cukup dengan melarang mereka tanpa memberi apa-apa jalan penyelesaian untuk membantu mereka? Adilkah kita tidak befikir untuk membantu menyelesaikan masalah mereka?
Masalah hawa nafsu dan kemaruk cinta ini perlu disalurkan kepada tempat dan tindakan yang halal. Maka di sini cadangan terbaik ialah nikah khitbah atau nikah gantung.
Nikah khitbah adalah resolusi yang dicadangkan selepas perbincangan 10 NGO di peringkat pusat. Maka USIM perlu bertindak proaktif menjayakan resolusi ini.
Sesungguhnya, USIM adalah tempat berkumpulnya sejumlah besar pelajar aliran agama di Malaysia. USIM merekodkan jumlah mahasiswa terbanyak yang mengambil pengajian jurusan agama. Asas agama yang ada pada mahasiswa perlu dimanfaatkan secukupnya supaya mereka bertindak mengikut syariat juga. Nikah khitbah adalah pendekatan fiqh yang memudahkan urusan perkahwinan. Ia bertujuan memberi ruang kepada pasangan itu bersedia untuk memasuki alam kekeluargaan yang sebenar. Perkahwinan ini begitu ideal untuk pasangan yang sukar dan tidak berkemampuan memegang tangunngjawab yang besar menyara kehidupan berkeluarga. Hak-hak memberi nafkah, menyediakan keperluan dan duduk bersama digugurkan dalam tempoh perkahwinan ini. Namun demikian rukun-rukun perkahwinan kekal diikuti tanpa apa-apa pengurangan.
Justeru, alangkah indahnya jika permasalahan sosial yang berlaku kepada masyarakat kampus USIM diatasi dan dibanteras menggunakan kaedah perkahwinan khitbah ini. Mahasiswa hanya perlu meminta kebenaran wali untuk bernikah tanpa perlu memikirkan tanggungan untuk isteri yang dinikahinya (mahasiswi).
Sisuami (mahassiwa) tidak perlu pening berfikir untuk membahagikan wang biasiswanya untuk isteri(siswi). Kerana bukan dalam tanggungjawabnya memberi nafkah kepada isteri dalam tempoh ini (nikah khitbah).
Sisuami juga tak perlu kalut mencari rumah sewa untuk tinggal bersama, kerana mereka diberi kelonggaran untuk tinggal berasingan. Maksudnya, yang berada di Desa jati boleh kekal berada di Desa Jati, manakala yang berada di Sutera indah kekal berada di Sutera Indah. begitu juga yang berada di Anggerik, Desa Kasia, Akasia dan Nilam. Kekallah kalian di tempat tinggal kalian tanpa perlu berpindah randah.
Apa yang menarik, apabila mereka berkahwin dengan cara ini, mereka tanpa perlu segan-silu untuk bertemu secara berdua-duaan di mana sahaja mereka suka. Mereka boleh duduk berdua-duaan di perpustakaan berbincang dan belajar. Mereka boleh bertemu di kedai makan dan makan bersama-sama. Malah boleh berjalan-jalan beriringan ke mana sahaja, jika mahu berdua-duaan di dalam kereta, silakan skuad AMAN tidak akan melarang dan membantah, malah bersyukur dan sentiasa mendoakan kebahagiaan kalian berdua.
Bahkan, jika kalian terlanjur sekalipun, kalian sebenarnya sudah halal untuk berhubungan, tiada masalah lagi. Kalian bukan lagi berzina tapi kalian sedang menuruti sunnah yang besar iaitu berkahwin. Maka keberkatan yang besar untuk kalian. Jika hamil sekalipun, tiada cercaan yang dikenakan, sebaliknya keluarga di kampung menyambut dengan kesyukuran. Kerana kalian telah menyambung nasab keturunan yang sah. malahan kalian pasti bangga menjadi ayah dan ibu muda untuk anak kalian.
Maka indahnya jika suasana halal dan soleh ini tercipta di bumi USIM tercinta ini. Bantulah mereka yang memerlukan ini. Bantu dalam sudut memberi penerangan, garisan syariat yang perlu dipatuhi dan cadangan serta nasihat yang terbaik supaya mereka memilih cara ini bagi menghalalkan hubungan mereka.
Malahan jika berkewangan, bantulah dari segi menyalurkan sedikit kewangan kepada mereka, supaya mereka kuat dan bersemangat menghadapi dunia baru dan mencabar, iaitu dunia perkahwinan. Saya pernah dengar, UIA menyediakan penginapan dan kewangan khas untuk pelajar yang berkahwin. Alangkah indahnya jika USIM juga melakukan perkara berkebajikan seperti ini.
Sedang berkhayalkah saya dengan segala cadangan ini? Atau saya sedang mimpi bagaikan bulan jatuh ke riba. Tapi saya yakin ini adalah mimpi soleh untuk perjuangan yang soleh. Tak tegar lagi hati ini melihat kemungkaran mulai masuk sedikit demi sedikit ke bumi tarbiyyah ini. Bumi USIM jangan dikotori dengan maksiat. Saya tidak sekali-sekali redha jika ini berlaku.
Ayuh kita organisasikan agenda ini. Kita susunkan ia. Tanzimkan ia. Jelas matlamatnya untuk dakwah kepada insan-insan di bumi USIM. Biar tahu erti cinta soleh, perkahwinan yang berkat dan kehidupan yang halal. Jangan biar mahasiswanya berijazahkan syariah tetapi menjadi musuh Allah. Takrif halal dan haram sudah sebati di mulut, tapi hatinya bergelojak dengan hawa nafsu jahat yang membunuh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Salurkan kepada tempat yang syara' nescaya fitrah itu membantu ke arah keberkatan hidup.
Saya cuba melopori tuntutan ini, tuntutan untuk nikah khitbah. Tetapi bukan bermaksud saya yang memulakan perkahwinan, tapi sebagai pendesak kepada jemaah, organisasi dakwah dan tarbiah di bumi USIM, baik MPP atau SPMM. Cuba cetuskan syariat ini, jadikan ia satu fenomena dakwah di bumi USIM. Biar bersinar syariah Allah di bumi USIM. Ini proposal saya kepada kalian. Minta dibahaskan. Bersabda nabi S.AW. : "Wahai sekalian pemuda, Jika sesiapa dikalangan kamu mampu berkahwin, maka berkahwinlah, sesungguhnya (perkahwinan) ini menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Jika tidak mampu, maka berpuasalah, kerana sesungguhnya (puasa) itu adalah ubat.
JEMPUTAN KE MAJLIS SAMBUTAN JUBLI EMAS PONDOK SG. DURIAN
Sukacita dimaklumkan bahawa Madrasah Muhammadiah, Pondok Sg Durian, Kuala Krai, Kelantan akan mengadakan Sambutan Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhan Madrasah ini. Majlis tersebut akan diadakan sebagaimana berikut:
Tarikh : 5 hingga 7 Jun 2008Tempat : Pondok Sungai Durian
Sehubungan dengan itu pihak kami dengan segala hormatnya menjemput semua lepasan Pondok Sungai Durian serta Muslimin – Muslimat ke majlis yang akan diadakan pada masa dan tarikh 05-07Jun 2008 (Lihat Aturcara Program).
Sekian, terima kasih.
Akhukum, Dr. Abdul Basit Abdul Rahman MusyrifPondok Sg Durian
* Segala pertanyaan/maklumat lanjut, sila hubungi :-09-9664161 (Pejabat PSD)013-9207121 (Ust Hj. Nazri – Bhg Perhubungan ) Email :
ATURCARA PROGRAM SAMBUTAN JUBLI EMASPONDOK SUNGAI DURIAN
Tarikh : 05 - 07 Jun 2008 Tempat : Pondok Sungai Durian
PAMERAN DAN BAZARIA JUBLI EMAS Tarikh : 5 hingga 7 Jun 2008. Masa : 10.00 pagi – 10.00 malam.
Hari Jumaat - 06 Jun 2008 -
(Majlis Perasmian dan Perjumpaan Ibubapa/Guru) 11.00 pagi : Pendaftaran Ibubapa/Penjaga 01.12 ptg : Solat Jumaat. 2.30 ptg : Majlis Perjumpaan Ibubapa/Penjaga. 4.38 ptg : Solat Asar. 7.25 mlm
Solat Maghrib Dan Kuliah Maghrib. Tajuk : Sumbangan Pendidikan Pondok Kepada Masyarakat Oleh : Ustaz Haji Abdul Hamid Mat Isa (Bekas Tenaga Pengajar, Pondok Sungai Durian, Pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)) 8.36 mlm : Solat Isya'. 9.00 mlm : Ucapan Perasmian Oleh : YB. Mohd. Ammar Nik Abdullah(Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah)
Penyampaian Sijil dan Anugerah Pelajar Cemerlang
Forum Tajuk : Institusi Pengajian Pondok, Cabaran dan Realiti Ahli Panel :-1 - Ustaz Abd Halim Bin Abd Ghani (Pengerusi Jemaah Tadbir, Pondok Pasir Tumboh)2 - Dr. Luqman Bin Tuan Guru Haji Abdullah (Pengerusi Pondok Lubuk Tapah, Ahli Pemegang Amanah, Pusat Pembangunan Pondok)3 - Dr. Abd. Basit Bin Hj. Abdul Rahman. (Pondok Sungai Durian) Hari Sabtu - 07 Jun 2008 (Seminar Dan Himpunan Lepasan Pondok Sungai Durian)
08.00 pagi : Pendaftaran Peserta. 09.00 pagi : Pembentangan Kertas Kerja. Tajuk : Tuan Guru Hj. Abdul Rahman : Sejarah dan Pengorbanan Pembentang : Ustaz Zainuddin Che Seman (Tenaga pengajar Pondok Sungai Durian) Pengulas : Ustaz Haji Yahya Bin Mohammad Razi(Bekas Pelajar Pondok Sungai Durian, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Kolej Universiti Islam Selangor) 11.30 pagi : Ucapan Wakil Lepasan Pondok Sungai Durian Tahun 50an, 60an, 70an, 80an, 90an. 01.12 ptg : Solat Zohor dan Makan Tengahari. 02.30 ptg : Pembentangan Kertas II. Tajuk : Al-Marhum Sheikh Muhammad Daud Bin Sulaiman Al-Kalantani Dalam Kenangan. Pembentang : Ustaz Bunyamin Hj. Abdul Rahman. (Tenaga pengajar Pondok Sungai Durian) Pengulas : Yang Amat Arif Dato' Haji Daud Bin Muhamad. (Dato' Aria DiRaja, Ketua Hakim Syarie Negeri Kelantan) 04.38 ptg : Solat Asar 07.25 mlm : Solat Maghrib
08.36 mlm : Solat Isya' 09.00 mlm : Ceramah Perdana, Tajuk : Masa Depan Pengajian SAR. oleh :- 1 - YB. Ustaz Haji Taib Azamuddin Bin Mohd Taib (Ahli Parlimen Baling)2 - YB. Ustaz Haji Mohamad Bin Mustafa (ADUN Demit)
Perasmian PenutupMajlis Sambutan Jubli Emas& Pelancaran Kutipan Derma Pembinaan Asrama
Oleh :YAB. Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Bin Hj. Nik MatMenteri Besar Kelantan Pada : 11 Jamadil Akhir 1429H / 16 Jun 2008M (Isnin)Masa : Selepas Solat Isya'
KG LEPAN RAMBUTAN GEGAR!! JUMAAT- Penduduk Kampung Lepan Rambutan digegarkan dengan tazkirah dan program qiamullail yang dianjurkan oleh Persatuan Jamiyyatul Ulama’ Maahad Syamsul Maarif (L), Labok. Menurut jurucakap persatuan, program ini bermula pada sebelah malam Khamis dan berakhir pada pagi subuh jumaat.
“Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar dan sambutan daripada pemduduk kampung juga amat memberangsangkan,” kata Zaki Abdullah yang merupakan penduduk jati kampung tersebut.
Antara tetamu kehormat yang hadir dalam program tersebut ialah, Ketua Pelajar, Mohd Syukri B Rosdi, Ketua Jamiyyatul Ulma’, Mazwan B Mahmood, dan Pengerusi Badan kaunseling, Mohd Faris B Zafri. Manakala ahli persatuan yang hadir memeriahkan program tersebut ialah, Ahmad Syihan, Zikir dan Firdaus Radzulan. Turut kelihatan pada malam tersebut ialah Mohd Yusof yang hanya hadir sebentar dalam program tersebut. “Ana tak menyangka program julung kali diadakan ini berjaya menarik penduduk hadir seterusnya bersama berqiamullail dan sempat mendengar tazkirah hebat dari sahabat kita Syukri.” Kata Mazwan mengakhiri bicaranya pada akhir program tersebut. “Sungguh mengharukan apabila penduduk kampong juga bersusah payah menghidangkan makanan kepada kami pada waktu malam dna petang”, tambah Firdaus Radzulan seraya menyampuk bualan bersama penduduk kampung- BERITA BERNAMA, REUTERS
KERUSI PANAS TERISI Tirai tahun 2008 dibuka bersama-sama bertukarnya Kepimpinan baru dalam organisasi kepimpinan di sekolah. Antara yang mengisi tampuk kepiminan pada tahun ini ialah, Ketua Pelajar: Mohd Syukri B Rosdi (sebelum ini Mustapha) Pengerusi Dakwah: Abdul Hamid B Awang (sebelum ini Kamel) Pengerusi Kaunseling: Mohd Faris (sebelum ini Hamid) Semoga gandingan muka-muka baru ini memantapkan lagi Kepimpinan Maahad Syamsul Marrif (l)
Berita Ringkas......... - Ustazah Hazirah mengajar Adab Nusus Ting 6 menggantikan Ustaz Lutfi - Ustazah Raihan berkursus di Langkawi sambil makan angin. - MR. X masih belum hadir atau tiada.?? Ulama’. Tahniah diucapkan. - Mazwan Mahmood mengetuai Jamiyyatul - Bahasa Arab perlu diperkasakan dalam penggunannya…..
Sekian daripada editor: menulis bukan sekadar memberitahu tapi ingin mencetus mahu.>…….
Hari ini saya begitu gelisah memikirkan tentang berita yang baru sahaja saya dengar. Antara ingin gembira atau perlu bersedih tentang peristiwa yang berlaku. SMU(A) Darul Aman, Kok Lanas ditukarkan kepada Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman. Entah mengapa saya teragak-agak ingin menulis cerita ini, takut mencetuskan ketidakselesaan sesetengah pihak. Tapi biarlah, biar kalam ini berbicara. Kritikan atau cadangan langsung tiada niat jahat yang terselindung, tetapi demi melihat tiada yang menjadi mangsa keadaan.
Pertama : Gembira
Siapa yang tidak gembira apabila sebuah lagi Maahad Tahfiz Sains dibuka untuk orang ramai memasukkan anak-anaknya yang berpeluang menghafaz Al-Quran dan bakal menjadi seorang hafiz kelak. Sekarang ini Kerajaan Islam Negeri Kelantan di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memacu misi untuk meramaikan para hafaz Al-Quran di negeri ini. Apa tidaknya dengan Bangunan MTS di Pasir Genda Tanah Merah yang bernilai jutaan ringgit menjadi mercu tanda bahawa Kerajaan Islam Kelantan bersungguh-sungguh melaksanaan misi meramaikan hafiz Al-Quran. Oleh kerana permintaan yang ramai satu cawangan Tahfiz Sains di buka di Kampung Berangan, Tumpat.
Manakala kemasukan pada tahun 2008, menyaksikan kebanjiran permohonan untuk menempatkan anak-anaknya ke MTS menyebabkan Yayasan Islam Kelantan(YIK) mengambil tindakan drastik dengan membuka satu lagi cawangan di sebuah sekolah separuh bantuan kerajaan gred B, SMU (A) Darul Aman, Kok Lanas. Di atas kehendak YIK, para pelajar yang masih belajar di sekolah itu dikehendaki berpindah ke sekolah lain................
Kedua : Saya Sedih
Bila difikirkan kembali, saya menjadi sedih dengan tindakan YIK menutup SMU(A) Darul Aman demi mendirikan cawangan Maahad Tahfiz Sains. Sebelum ini sekolah ini sememangnya amat uzur dari segi infrakstrukturnya dan jumlah pelajar yang tidak ramai. Di Daerah Kok Lanas inilah satu-satunya sekolah agama yang masih lagi bertahan sejak PERKAPITA disekat oleh kerajaan zalim Malaysia. Dengan jumlah pelajar yang kecil sekolah ini masih lagi beroperasi dan saya masih ingat sekolah ini pernah menerima anugerah kecemerlangan akademik pada peringkat PMRU dan PMR.
Di sekolah ini pelajar tempatan dari Kok Lanas ditarbiah dan didik dengan pendidikan Islam yang syumul yang tidak ada di sekitar daerah Kok Lanas ini. Sekolah ini menjadi harapan penduduk setempat untuk melihat anak-anaknya cemerlang dari sudut sahsiah dan akademik. Ya, kadang-kadang saya lihat sekolah ini ibarat "Hidup segan Mati Tak Mahu'. Namun ia tidak boleh menjadi sebab mengapa ia harus ditutup.
Usaha para guru untuk menarik anak-anak belajar di sini begitu jelas. Walaupun sukar mendapatkan bantuan untuk membangunkan sekolah ini namun mereka berusaha mencari dana untuk menceriakan sekolah ini. Kalau dahulu pagar buruk, tapi kini sudah ditukar kepada pagar batu demi memastikan masyarakat tertarik untuk menghantar anak ke sini. Akhirnya usaha-usaha yang dilakukan oleh mereka yang prihatin untuk membangunkan sekolah agama ini berakhir dengan arahan dari pihak atasan YIK untuk menukarkan sekolah agama ini kepada Maahad Tahfiz Sains atas faktor permintaan yang tinggi dari pihak luar daerah Kok Lanas dan luar dari Kelantan.
AKHIRNYA MEREKA MEREMPAT, SEKOLAH MEREKA DIRAMPAS
Begitulah takdir menentukan bahawa pelajar-pelajar yang masih belajar di sekolah ini akhirnya merempat di daerah sendiri. Mereka langsung tidak menyangka cuti panjang persekolahan akhir tahun 2007 membawa episod getir dalam hidup mereka. Sangkaan mereka tahun 2008 mereka masih lagi tetap belajar di sini, namun idea "pantas", "cerdas", dan "bijak" daripada YIK menyebabkan pelajar asal yang BERHAK belajar di sini akhirnya merempat. Mereka diarahkan untuk berpindah ke sekolah agama berdekatan.
DALAM KEADAAN TERPINGGA-PINGGA
Saya tahu pastinya ada pelajar yang terkejut beruk, sedih dan pastinya ada yang mengalirkan air mata kerana sekolah kesayangan mereka bukan lagi menjadi tempat mereka untuk belajar. Jika hari pertama sekolah dibuka, biasanya pelajar-pelajar perempuan sibuk membersihkan kelas dan membetulkan meja, manakala pelajar-pelajar lelaki pastinya sedang bermain di luar kelas bersama dengan kawan-kawan sementara menunggu loceng pertama dibunyikan.
Tapi pada hari itu, mereka diserahkan buku rekod sekolah, mengisi borang pertukaran sekolah, tidak perlu membayar yuran sekolah, tidak perlu membersihkan kelas dan tidak perlu mengambil buku teks. Pada hari itu mereka bersalaman dengan guru-guru buat kali terakhir bersama dengan teriak tangis kerana sedih di atas perpisahan mengejut yang terjadi. Entah bila pasti mereka akan bertemu. Sedang di minda mereka: "Di Mana Aku Ingin Belajar."
Alhamdulillah, jika ada yang masih istiqamah, mereka pasti akan menyambung pengajian mereka di mana-mana sekolah arab yang berdekatan. Walau berdekatan, ia tetap jauh dari tempat tinggal mereka. Mereka perlu berkorban demi pelajaran agama tidak tercicir.
SIAPA YANG MENJAGA KEBAJIKAN MEREKA
Dalam kalangan mereka ada yang susah, kesempitan wang, tiada kenderaan dan pelbagai kesusahan lagi yang timbul selepas mereka di arah berambus dari sekolah itu. Pernah dahulu saya ingat sekolah ini menawarkan yuran percuma kepada sesiapa yang mendaftarkan anaknya di sini. Tetapi kini siapa yang ingin membela nasib mereka? Ada yang yatim, miskin, keluarga bercerai dan pelbagai lagi..Siapa ingin membela mereka? Siapa?
TEGARKAH MEMBIARKAN MEREKA MEMBUAT KEPUTUSAN
Dalam keadaan terdesak ada yang mengambil keputusan untuk bersekolah sahaja di sekolah menengah biasa. Siapa yang bertanggungjawab???Tegarkah melihat mereka berada di sekolah menengah harian biasa dek kerana tiada yang ingin membela nasib mereka.
SAYA PERNAH BERSAMA MEREKA
Saya pernah bersama dengan pelajar-pelajar di sini dalam satu program smart solat. Saya memahami perasaan mereka, saya menghayati masalah mereka dan saya menangis bersama-sama mereka. Ada yang meluahkan perasaan sedih kepada saya, ada yang meluahkan masalah peribadi mereka....saya mandi-manda bersama adik-adik di sini. Adik-adik di sekolah ini memanggil saya abang dan nilai ukhuwwah bersama mereka pasti saya ingat sampai bila-bila.
HADIRNYA MTS....SEPANTAS KILAT SEKOLAH ITU DIBANGUNKAN..
Langsung saya tak menyangka setelah pelajar SMu(A) Darul Aman berpindah, sepantas kilat sekolah itu mula dibangunkan. Kantin yang buruk dicat, bangunan dicantikkan........pastinya orang tidak akan kata lagi ini sekolah buruk.....
Hairan saya, mengapa kini baru dibangunkan oleh YIK. Mengapa tidak ketika sebelum pelajarnya dipindah. Ahh..sedihnya..Sukar sekali saya ingin meramalkan sikap YIK ni... Alangkah bagusnya jika pembangunan seperti ini dilakukan sejak dulu lagi, bukan pada era MTS yang baru dibuka ini.. Dengar kata projek berharga 8 juta akan segera dibangunkan untuk keselesaan pelajar Maahad Tahfiz Sains (MTS)....
ADIK-ADIK INILAH RANJAU DALAM PERJUANGAN
Mungkin ini nasihat saya untuk adik-adik yang berpindah.. Sabarlah Allah taala akan membalas pengorbanan adik-adik.. Sememangnya orang yang belajar agama ini seringkali ada cabaran dan ranjau perlu ditempuhi. Ingatlah kita nih adalah golongan asing. Islam datang dengan asing dan kembali pun dengan asing. Istiqamahkan perjuangan untuk terus belajar di sekolah agama..
DARI ROBOHAN DARUL AMAN YIK BINA NURUL AMAN
Jika saya adalah penduduk di daerah Kok Lanas, pastinya saya akan bersungguh-sungguh mempertahankan sekolah ini dari ditutup. Walaupun niat YIK adalah mulia untuk membina MTs, tetapi tidak sepatutunya sekolah agama dijadikan korban..Sesuatu perlu diganti oleh YIK untuk memastikan penduduk Kok Lanas terus memperolehi didikan agama secukupnya kerana MTS bukan milik penduduk Kok Lanas tetapi dihuni oleh sejumlah besar pelajar di luar daerahnya dan di luar Kelantan. Sesungguhnya YIK perlu mencari ganti di atas tutupnya SMU(A) Darul Aman..
Semoga MTS Nurul Aman memancarkan cahaya para huffaz di daerah Kok Lanas.. Allahuakbar!!!Allahuakbar!!!
Alhamdulillah...setinggi kesyukuran diucapkan kepada Allah kerana berjaya menyiapkan sijil dan mencetaknya sebanyak 60 keping. Hampir 8 jam juga saya mengadap komputer ni. Kepala macam berpusing.
Namun apabila difikirkan kembali usaha menyiapkan sijil ini dek kejayaan melaksanakan program dakwah orang asli di Pos Hendrop. Saya selaku pengarah program terpaksa berhempas pulas dalam melaksanakan program tersebut. Betul kata orang nak buat kerja dakwah ni orang tak hampar karpet merah kepada kita. Program ini hampir gagal dilaksanakan kerana kekangan kewangan dan penganggkutan, Namun kerana keazaman yang tinggi, doa yang tidak putus-putus serta usaha yang bersungguh-sungguh dri semua AJk, akhirnya program ini berjaya dilaksanakan.
Air mata saya tumpah di bumi Hendrop setibanya di sana. Saya tak menyangka usaha yang berbulan-bulan ini dengan mengorbankan wang, dan masa belajar akhirnya berjaya dilaksanakan walaupun dipenuhi dengan pancaroba.
"Terima Kasih Allah", ucapan ini masih segar diingatan saya. laungan hampir 100 orang kanak-kanak asli ketika menyertai program ini. Allahuakbar bilakah lagi kami dapat bertemu dengan mereka.
Walaupun sudah hampir setahun berlalu namun semngat berwasilah masih ada dikalangan AJK yang menjayakan program ini.
Terima kasih kepada pihak sekolah yang membenarkan program ini dijayakan. Kepada Pusat Latihan & Dakwah Orang Asli, Kok Lanas, Syamsul Maarif Ex-Student (SMESS) dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tak langsung dalam menjayakan program Kem Kefahaman Islam Orang Asli (KAFI 07) Pos Hendrop, Gua Musang. Jazakallahu Khairan Kathira.
“Sesungguhnya aku turunkan Al-quran itu dalam bahasa arab supaya kamu berfikir”
Hari ini saya terlintas untuk berbicara berkenaan dengan sekolah agama. Mengapa saya terlintas sedemikian, kerana tiba-tiba saya teringat pada kisah saya ketika di sekolah rendah dahulu. Peristiwa itu berlaku ketika saya berada di darjah tiga. Pada satu sesi pembelajaran, seorang cikgu membawa kami satu topik yang agak menarik pada ketika itu. Iaitu “Cita-cita Kamu Pada Masa Hadapan”. Setiap orang dikehendaki memberitahu cita-citanya pada masa hadapan. Ketika saat menunggu giliran saya ditanya, saya sempat mendengar cita-cita dari kawan saya, ada yang ingin menjadi polis, askar, pensyarah, guru dan pelbagai lagi. Saya tersenyum kerana sudah bersedia dengan jawapan saya. Sehinggalah sampai kepada giliran saya, guru itu bertanya kepada saya : “Apa cita-cita awak pada masa hadapan?” Tanpa melengah-lengahkan masa saya terus menjawab dengan yakin: “ Cita-cita saya adalah menjadi seorang ULAMA’. Keadaan pada ketika itu sunyi seketika. Guru yang bertanya terkesima dengan jawapan saya. Beberapa detik kemudian, kawan saya yang bernama Fadhil ketawa dan mengejek saya lantaran lucu atau hairan dengan cita-cita saya itu. Selepas peristiwa itu, kawan-kawan memberikan gelaran ulama’ kepada saya. Sehinggalah beberapa tahun kemudian, apabila guru bertanya tentang cita-cita saya pastinya adalah kawan-kawan yang lain cepat-cepat beritahu bahawa saya bercita-cita kononnya menjadi seorang ulama’. Sebenarnya sejak kecil lagi saya didik oleh abah dengan kefahaman Islam yang kukuh. Semangat saya tentang Islam begitu membara di dalam jiwa. Sejak kecil lagi abah sudah memberitahu kepada saya bahwa : “Kamu hendaklah menjadi seorang hafiz al-Quran apabila dewasa”. Cita-cita abah itu tersemat di dalam jiwa, dan tekad saya menjadi seorang penghafal Al-Quran membara sejak kecil lagi. Abah sering menasihatkan saya bahwa: “Apabila kamu menjadi seorang penghafaz Al-Quran, kamu boleh membawa seluruh ahli keluarga masuk ke syurga”. Kata-kata ini menyebabkan saya semakin bertekad untuk menjadi seorang hafiz. Tetapi sehinggalah ke hari ini ketika saya di hujung usia 18 tahun, cita-cita abah masih belum tertunai. Saya gagal masuk ke Maahad Tahfiz kerana keputusan UPSR saya tidak layak untuk diterima sebagai pelajarnya. Ketika itu Allah sahaja yang tahu betapa hibanya hati saya lantaran gagal ke sana. Namun saya mendesak abah agar mencari Maahad Tahfiz swasta yang membolehkan saya belajar menghafal Alquran. Tetapi malangnya semuanya gagal kerana dua sebab: Pertama keputusan UPSR saya tidak membolehkan saya memohonnya dan yang kedua yuran bulanan tahfiz mencapai RM500 sebulan. Sedangkan di waktu itu kewangan begitu mendesak…….Akhirnya cita-cita saya menjadi seorang Hafiz seperti terhenti seketika. Sehinggalah saya membuat keputusan untuk belajar di sekolah menengah ugama arab. Maka di sinilah bermulanya catatan hidup saya sebagai seorang remaja bergelar pelajar agama arab yang menuntut ilmu agama dan ingin mempertahankan martabat bahasa arab sebagai bahasa syurga. “Sesungguhnya aku turunkan Al-quran itu dalam bahasa arab supaya kamu berfikir.”