"Jika aku dipenjara, aku boleh beruzlah dan beribadah. Jika aku dibuang negeri, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh, maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang shuhada"
- Sheikh Abdul Qadir Audah -
Mutiara Kata
Maksud Islam ialah memperbaiki manusia,supaya baik hubungannya dengan Allah dan baik pula hubungannya dengan manusia.
Dakwah Islam itu sukar untuk memisahkan di antara agama dan masyarakat atau negara.Dakwah Islam mencakupi kedua-duanya sekali.
Iman adalah akidah atau pokok pegangan hidup atau kepercayaan.Iman mesti diikuti dengan amal.Amal adalah buah daripada iman.
Bahasa Jiwa
Yang jauh adalah masa yang berlalu
Yang dekat adalah saat datangnya mati
Yang berat adalah memegang amanah
Yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia dan meninggalkan solat
Yang besar adalah hawa nafsu manusia yang tidak pernah mencapai kepuasan....
Setahun 2013, saya tidak post walau satu entry dalam blog saya ini. Semoga kalian para pembaca blog saya masih sihat dan diberikan oleh Allah kebahagiaan dan bertambah keimanan. Sedikit sorotan kehidupan saya sepanjang 2013, moga Allah kurniakan kebaikan tak terhingga.
Disember
Kenangan terindah buat kami, apabila 32 anggota keluarga dapat berhimpun dalam program hari keluarga yang julung-julung kali diadakan. Mudah-mudahan 2014 bertambahlah anggota keluarga besar ini. Dan saya mahu menyumbang untuk penambahan keluarga besar ini. Amin
Buat julung kali juga Kelas Pengajian Kitab Turath yang saya asaskan bersama-sama sahabat yang lain pada 2012 berjaya menamatkan kitab kedua. Kitab pertama Miftahul Wusul ditamatkan pada akhir bulan Mei 2013, manakala kitab kedua Usul Fiqh, Syarah Alwaraqat oleh Imam Haramain yang disyarahkan oleh Dr Abdullah Soleh Fauzan ditamatkan bersama guru yang mulia Dr Wifaq Mokhtar.
November
Hampir sebulan saya ke Arab Saudi untuk urusan memperbaharui visa dan kad penduduk sementara. Alhamdulillah dalam tempoh itu saya dapat mengerjakan umrah dan ziarah.
Oktober
Kenangan indah bersama sahabat Bayt Rahmah berkelah di Gunung Dato'. Walaupun ditimpa kesusahan dengan sesat jalan dan sebagainya, tapi program bina ukhuwwah ini berjaya menghubungkan tautan ukhuwwah antara kami semua. Alhamdulillah. Bayt Rahmah yang ditubuhkan sekitar tahun 2011 sudah mencapai usia tiga tahun.
September
Setelah setahun menangguhkan pengajian di USIM, saya kembali semula ke sini untuk menamatkan semester akhir pengajian ijazah saya. Alhamdulillah walupun ditimpa pelbagai kesulitan, Allah telah mempermudahkan segala urusan saya. di sini. Antara rindu yang terlunas apabila kembalinya ke USIM adalah kerinduan bertalaqi hadis dengan guru yang alim dan mulia Prof Dr Najm Abdul Rahman Khalaf.
Ogos
Saya berpeluang berkhidmat sebagai guru ganti di sekolah lama saya dahulu, Maahad Syamsul Maarif Lelaki. Tetapi cabaran utama saya adalah terpaksa mengajar madah-madah yang asing bagi saya, iaitu Geografi, Bahasa Inggeris, Sastera, Matematik, Seni Visual dan bermacam lagi madah yang ganjil. Usaha untuk menghidupkan pusat sumber sekolah disambut baik oleh para guru, sehingga sumbangan buku dapat dikumpulkan lebih dari seribu naskhah buku pelbagai general. Semoga dengan banyaknya buku-buku di pusat sumber dapat memeprkayakan budaya ilmu para pelajar sekolah.
Julai
Saya bertugas sebagai warden Kolej Yayasan Islam Kelantan selama 2 bulan.
Jun
Menghadiri majlis perkahwinan sahabat saya, Ashraf Tajuddin. Beliau ahli usrah saya di USIM dan pernah berdaurah sebulan bersama di Mekah. Kini menjadi pelajar Madinah. Beliau berkahwin dengan gadis German yang baru memeluk Islam. Semoga Allah kurniakan kebahagiaan kepada mereka.
Mei
Alhamdulillah permusafiran belajar di Riyadh selama setahun diberi peluang bercuti di musim panas. Pelbagai catatan hidup sepanjang setahun berkelana di bumi An-Najd, Riyadh ini. Mudah-mudahan segalanya bermanfaat untuk ummah.
April
Kekecewaan paling berat saya rasakan sebagai warganegara adalah gagal menjadi warga pengundi buat pertama kali kerana jauh di perantauan. Hanya doa dari tanah suci dipanjat ganti kepada kesal yang besar ini.
Mac
Kenangan manis dapat ketemu dua figura besar ulama dunia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh. Mereka ialah Dr Salman 'Audah dan Dr 'Aid Al-Qarni. Figura ummah yang punya pengaruh besar dalam dunia Islam.
Alhamdulillah dapat bersama dalam kelas khas Daurah Tariq Ulama yang menghimpunkan para asatizah dalam pelbagai bidang yang akan menyampaikan syarahan berdsarkan silabus yang ditetapkan, kelas ini mengambil masa dua tahun.
Perjalanan yang paling menarik selama 10 hari di bumi bertuah Jordan. Pelbagai cabaran dan halangan ditempuhi sepanjang pengembaraan solo ini. Allahu akbar. Dan lebih menyedihkan dalam perjalanan permusafiran ini, sahabat saya di Riyadh, Shahidullah dan beberapa sahabat lain mengalami peristiwa kemalangan yang hampir meragut nyawa. Syukur semua selamat dan shahidullah antraa yang cedera parah.
Inilah sorotan kisah 2013 yang sempat saya catatkan. Nampaknya penggunaan FB telah menyebabkan saya meninggalkan jauh medium blog yang sudah saya anggap sebagai eviden sejarah penting dalam kehidupan sepanjang penubuhannya sejak 2006. Sudah 8 tahun sebahagian kehidupan penting sejarah hidup saya dicatatkan di situ.
2014 moga Allah rahmati kehidupan saya dan Allah tambahkan ilmu di dada. Dan biarlah 2014 adalah tahun terakhir kehidupan bergelar bujangan. Sudah sampai masanya di usia 25 tahun ada teman yang menjadi penawar hati, penghibur diri. InsyaAllah mudah-mudahan. Barakallahufikum.
Menunaikan haji adalah impian semua muslim yang beriman dengan Tuhan. Menunaikan haji ertinya menyempurnakan tuntutan 5 rukun Islam yang berdiri sejak wahyu turun kepada Rasulullah S.A.W. Tidak lengkap kehidupan seorang muslim yang mampu dan berkudrat jika tidak menyempurnakan ibadah haji yang agung ini. Satu-satunya ibadah yang dinamakan 'nasik haj' atau 'manasik haj'. Ia adalah impian orang tua dan orang muda, orang sihat dan orang sakit, orang kaya dan orang miskin, orang kuat dan orang lemah. Ia didik sejak kecil lagi akan peri penting menunaikan kewajipan ini.
Terbayang kesusahan ummi dan abah semasa ingin menunaikan haji dahulu. Menunggu wang yang cukup dari hadiah pencen abah barulah dapat merasai nikmat menunaikan ibadah ini. Masih ingat rayuan abah kepada pihak Tabung Haji untuk meluluskan quota haji untuk abah dan ummi. Selepas bersusah payah barulah dapat menunaikan ibadah ini. Masih teringat air mata yang membasahi seluruh ahli keluarga kami menghantar abah dan ummi, seolah-olah itulah perpisahan terakhir kami. Itulah antara detik-detik mendebarkan sebagai seorang tetamu Allah.
Meninggalkan keluarga yang tersayang semata-mata menyahut panggilan Ilahi, dengan mengorbankan sebahagian wang ringgit dan melepaskan tanggungjawab keluarga di rumah hanya kerana satu kalimah 'labbaikallah'. Kalimah yang mungkin memisahkan kehidupan tetamu Allah dan juga keluarganya. Tidak tahu adakah masih ada rezeki untuk pulang kembali ke rumah. Kerana kita tidak tahu 'mati kita adakah jenazahnya di halaman sendiri atau di tanah suci.'
Nabi memberitahu ganjaran syurga terus kepada pelaku haji mabrur. Satu ganjaran agung yang dijanjikan Allah menjadikan amalan agung melebihi jihad di jalan Allah kecuali mati syahid. Istimewa para pelaku haji ini jikalau mati dalam keadaan berihram kafannya juga dalam ihram yang dipakainya. Allahu Akbar!!.
Hebatnya ibadah haji ini adalah pada masa dan tempatnya. Haji berlaku pada 8, 9. 10, 11, 12 , 13 Zulhijjah iaitu waktu-waktu genting dan kemuncak berlakunya haji. Setiap hari pada hari-hari yang penting ini penuh dengan maknanya yang tersendiri. Hari kelapan dinamakan hari tarwiyyah (persediaan) di situ bermula perjalanan pelaku haji ke Mina untuk persediaan pada hari keesokannya. Hari kesembilan dinamakan hari wukuf (berhenti), para pelaku berhenti seketika memanjat doa di kawasan arafat. Sebelum perjalanan ke Mudzdalifah selepas maghrib. Manakala hari 10 dinamakan 'Anhar'(korban) ataupun eid adha, para pelaku haji melaksanakan ibadah melontar jamrah 'aqabah, menyembelih korban, bertahallul, tawaf dan sai'e haji. Kemudian hari-hari keseterusnya 11, 12 dan 13 dinamakan hari tasyrik dimana aktiviti melontar jamrah di kawasan mina'.
Pada tempoh-tempoh itu adalah tempoh dimana segala doa dimakbulkan Tuhan. Bermula di miqat tempat berniat ihram sehingga ke mina' adalah waktu dan tempat yang mustajab untuk berdoa. Tidak pernah ada waktu yang berterusan yang Allah kurniakan dengan ruang yang luas dan lama untuk berdoa kecuali waktu dan tempat ini. Maha Suci Tuhan mengurniakan kehebatan ini! Satu yang menarik, disaat nabi menyuruh berdoa, tetapi tidak banyak doa yang warid dari nabi tentang doa-doa yang nabi baca. Sedangkan semasa nabi usai melontar jamrah, nabi berdoa dengan doa yang panjang sehinggakan sahabat memberitahu panjangnya sepanjang surah al-baqarah!!. Tapi tiada siapa yang tahu apa yang nabi baca. Hikmahnya adalah doa adalah rahsia antara kita dengan Allah, tiada siapa yang tahu hajat kita kecuali Allah dan doa kita tulus kepada Allah. Bertawassullah dengan nama dan sifat Allah semasa berdoa sepertimana yang Rasul ajarkan.
Air mata Rasulullah S.A.W semasa haji membuktikan betapa tulus dan besarnya haji yang dilaksanakan Rasulullah. Rasulullah semasa ingin memulakan tawaf di sudut hajarul aswad, Rasulullah S.A.W mencium hajarul aswad kemudian Rasulullah S.A.W menangis dengan penuh linangan air mata. Jika membaca kisah ini, Rasulullah S.A.W menunjukkan kesungguhan ibadah yang ingin dilaksanakan. Rasulullah S.A.W minum bersama dengan yang lain tanpa layanan istimewa, Rasulullah S.A.W tidur di mina dan Muzdalifah sepertimana para sahabat lain tidur tanpa ada layanan khusus. Rasulullah S.A.W menjadi mufti kepada persoalan-persoalan tentang haji, membantu para pelaku haji melaksankan haji. Subhanallah dapat dibayangkan betapa indahnya proses haji pada zaman Rasulullah S.A.W.
Tatkala Rasulullah S.A.W menyampaikan khutbah di arafah yang dinamakan khutbah perpisahan, ramai sahabat menangis, kerana mereka terasa inilah khutbah terakhir Rasulullah, dan tidak lama kemudian Rasulullah meninggal dunia. Begitu beruntungnya para sahabat yang sempat mendengar secara langsung khutbah dan wasiat terakhir Rasulullah S.A.W.
Alangkah indahnya rehlah haji para pelaku haji jika dapat merasai sepertimana rehlah haji Rasulullah bersama sahabat. Allah Akbar!! Haji Rasulullah penuh dengan ketenangan, zikir, talbiah, bantu-membantu, bertolak ansur dan juga segala perlakuan sahabat berdasarkan petunjuk wahyu hadir melalui keterangan Rasulullah S.A.W, sepertimana mafhum sabdanya : "Ambillah dari aku (cara-cara) melaksanakan ibadah haji kepada kamu."
Hati yang dibawa pelaku haji adalah hati yang khusyu' dan tunduk kepada Allah. Apa guna bersusah-payah menunaikan haji dalam keadaan hati yang kosong. Jasad yang kuat melangkah dengan hati yang kering dari zikrullah adalah mayat hidup yang berjalan tanpa manfaat. Inilah cabaran terakhir dalam melaksanakan ibadah haji, cabaran hati dan perasaan. Hati yang lara, maksiat, takabbur, riya' dan sum'ah mana mungkin dapat memperoleh ganjaran syurga yang dijanjikan Allah!!
Taubah nasuha! Pohon doa yang sesungguhnya! Biar Allah bagi hati yang baru dan bersih dari segala kekotoran itu. Biar Allah padam segala dosa lampau itu! Biarlah Allah penuhi hati yang baru ini dengan hiasan Al-Quran peneman barzakh dan syurga!
Rehlah iman bertemu Tuhan, moga Allah bersama kita dalam melaksanakan ibadah haji, biar ruh bersama dengan kita, biar hati yang baru bersama dengan kita supaya jasad ini mampu membawa hati, lidah, mata dan anggota kita ke syurga denga megah bertemu Ilahi. Ya Rabbi!! Dengarlah!!
Sebelum saya melangkah pergi, mohon doa kalian semua moga Allah kurniakan haji yang mabrur dan sai'e yang disyukuri. Amin...
Ini catatan setelah sebulan berada di Kota Riyadh. Catatan sebelum bergelar ustaz.
Saya menyangka saya sudah lama belajar agama. Sejak di bangku sekolah agama, Maahad Syamsul Maarif. Dengan sijil terakhirnya Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), seterusnya meneruskan perjalanan ilmu ke USIM dalam bidang Fiqh Fatwa selama tiga tahun dan kini saya sedang berada di Universiti Al-Imam, universiti yang sudah ramai melahirkan para ulama'. Disinilah dimana Sheikh Dr Soleh Al-Fauzan belajar dan mengajar, di sini juga Syeikh Mana' Al-Qattan (pakar bidang ulum Al-Quran) pernah menjadi tenaga pengajar.
Tapi sayang, seolah-olah tempoh belajar yang saya lalui itu bagai angin menerjah ke wajah kemudian berlalu pergi. Bila diseldiki apakah yang saya belajar selama hampir sedekad yang lepas. Saya malu bila sesetengah sahabat dan juga rakan facebook memanggil saya dengan gelaran ustaz, sedangkan hakikatnya, ilmu saya bukan di tahap sepatutnya ustaz miliki.
Semasa saya ditempatkan di Riyadh, ia bagaikan tempat memproses balik dan mengukur balik keupayaan sebenar saya. Bila saya mengharungi sebulan yang berlalu ini, barulah saya sedari lima asas ilmu untuk seorang itu bergelar ustaz (sekurang-kurangnya) belum lagi saya mencapainya.
Bahasa Arab
Ketika proses temuduga menempatkan tahap bahasa arab saya. Seorang pensyarah dari Mesir, Ustaz Omar Said menyuruh saya membaca petikan tidak berbaris dalam bahasa arab. Tersekat-sekat saya membacanya. Kemudian dalam masa yang sama beliau menyuruh saya mengi'rabkan petikan yang diberikan. Saya tidak dapat menjawabnya dengan sempurna.
Ustaz Omar Said bertanya 'berapa tahun kamu belajar nahu?' Saya menjawab tujuh tahun (dikira semasa saya sekolah menegah lagi). Beliau mengeleng kepala dan menempatkan saya di mustawa dua. 8 orang sahabat Malaysia yang lain juga turut berada di mustawa dua. Ketika itu saya akur, inilah tahap sebenar saya walaupun saya pasti apa yang diajar mustawa dua adalah sama tahapnya semasa saya belajar di sekolah menengah dahulu.
Ingat, sebelum bergelar ustaz, jangan mahu mengaku ustaz jika masih gagal membaca petikan tidak berbaris dengan tepat dan mengi'rabnya dengan betul!
Al-Quran
Saya pada awal-awal sampai di sini misi pertama yang mahu saya selesaikan ialah menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Motivasi yang saya sematkan di dalam jiwa saya ialah biarlah 30 juzuk ini adalah syarat dan juga mas kahwin saya sebelum menamatkan zaman bujang!.
Tapi saya betul-betul terkedu, hampir setiap selepas solat subuh dan asar, ruang halaqah-halaqah kecil di penghujung masjid dipenuhi mahasiswa yang sedang tasmi' al-quran. Saya rasa alangkah lambatnya untuk saya sampai ke sini, baru hari ini suasana menghafaz ini dapat saya rasai. Saya segera mendaftar sebagai pelajar tahfiz. Aib bagi mahasiswa di sini tidak menghafaz al-quran. Bayangkan lah ahli rumah saya semua hafiz al-quran dan tiga lagi jiran serumah saya juga hafiz al-quran. Sedangkan saya, juzuk amma belum pasti dapat saya tasmi' kesemuanya.
Kini setiap selepas asar saya berpeluang tasmi' hafazan saya 4 hari seminggu. Semoga saya kuat menghafaz dan rajin mengulang.Saya bersyukur kerana halaqah saya tertera nama Halaqah Uthman B Affan R.A.
Ingat, sebelum bergelar ustaz jangan mahu mengaku ustaz jika tidak tersemat di dalam dada untaian-untaian kalam suci Al-Quranul karim.
Hadith
Di sini juga ada program hafazan hadith, tapi sayangnya waktu saya terlalu sempit untuk saya mengikuti tasmi' hafazan hadith. Nantilah tunggu segalanya nampak tenang saya akan menghafaznya. Saya sudah membeli arbain nawawi untuk dihafaz setelah melihat ramai mahasiswa di sini memegangnya dan sering melihat mereka membacanya setiap kali selepas solat.
Dan jika ditanya saya sekarang berapa hadith yang sudah dihafaz, saya harap jangan sekali bertanyanya, aib, aib untuk saya menyatakan.
Ingat, sebelum bergelar ustaz, jangan mahu mengaku ustaz jika tidak lancar dilidah matan-matan hadith sahih sebagai hujjah untuk amalan.
Tauhid
Risalah Al-Qairawan itu nama kitab tauhid yang sedang saya talaqqi setiap minggu bersama Sheikh Soleh Fauzan, salah seorang kibar ulama di Arab Saudi. Umur syeikh sudah 80 tahun tapi syukur masih sempat bertalaqqi dengannya.
Kalau dulu namanya hanya meniti dibibir sang pencinta ilmu dan fatwanya sering menjadi rujukan, sedang sekarang alhamdulillah, 4 hari seminggu saya sempat ketemunya untuk bertalaqqi kitab hadith, fiqh, dan juga akidah.
Bicara tentang akidah adalah bicara serius dan perlu kepada kesungguhan dengan kepaduan amal. Bila saya meneliti buku-buku akidah di sini, saya segan kerana masih jauh dari menguasai perbahasan tauhid yang begitu penting untuk dilazimi oleh pencinta sunnah dan pembela tauhid.
Ingat, sebelum bergelar ustaz, jangan mahu mengaku ustaz jika tidak kuat padamu pegangan akidah seperti mana kuatnya akidah para salafusoleh yang menjaga umat ini dari kejahilan.
Fiqh & Usul Fiqh
Zad Mustaqni' kitab fiqh mazhab hanbali yang menjadi silabus setiap hari sabtu selepas solat maghrib di masjid asrama. Berpeluang mempelajari fiqh dari jalur mazhab yang lain membuatkan saya rasa tidak mampu untuk selesa tidur di asrama sedang banyak lagi ilmu-ilmu fiqh yang belum saya kuasai. Melihat keganjilan para pemuda saudi solat di masjid adalah bukti betapa kurangnya pengetahuan saya perihal feqah yang digunakan masyarakat di Saudi. Di sini cara solat pun ada keganjilannya, jika kalian belum pernah membaca kitab fiqh dalam mazhab yang pelbagai.
Hari ini juga kami mengambi inisiatif menjadikan Ustaz Ridhaudin sebagai mentor kami mempelajari ilmu usul fiqh. Muqaddimah perihal ilmu usul fiqh sudah cukup membuatkan saya lelah dengan maklumat-maklumat yang teliti yang disyarah oleh ustaz Ridha berkenaan keluasan ilmu usul fiqh.
Lantas saya bertanya pada diri, sebelum ini di mana masa-masaku dihabiskan?
Ingat, sebelum bergelar ustaz, jangan mahu mengaku ustaz jika tidak zahir padamu kekuatan dalam fiqh dan usul fiqh.
Tarbiyyah
Saya syukur walau berada jauh di negara orang, program tarbiyyah masih sempat saya ikuti. Berada dalam usrah sudah cukup menenangkan. Proses tarbiyyah menyerap segala ego dalam jiwa dan melatih rohani kita supaya sentiasa terpandu dalam segala amal perbuatan individu atau berjemaah.
Ingat, sebelum bergelar ustaz, jangan mahu mengaku ustaz jika usrah, qiamullail, muhadharah dan tazkirah jauh dari kamu.
Allah, semoga Allah belum menarik umur muda saya selagi saya belum menguasai ilmu-ilmu yang saya catatkan di atas.
Teringat tazkirah seorang syeikh di sini, yang menyuruh para penuntut ilmu untuk sentiasa menjadikan setiap tahun adalah tahun ibadah dan sentiasa berdoa dengan doa :
"Ya Allah aku memohon darimu ilmu yang bermanfaat"
Ketika catatn ini ditulis saya sedang berada di Riyadh, Arab Saudi. Ini minggu ketiga saya berada di sini. Saya sekarang bergelar pelajar di Universiti Islam Al-Imam, Riyadh, Arab Saudi. Saya kira baik saya mencatat sedikit perjalanan penting hidup saya ini. Setelah hampir 6 bulan saya tidak menulis.
Setelah saya mendapat tawaran ke Riyadh, saya berhenti menulis blog. Hampir 6 bulan saya berhenti mencatatkan apa-apa. Kerana di dalam kepala saya sarat dengan gambaran pengajian di sini.
Doa Termakbul
Setahun yang lepas dihadapan ka'bah, dikala saya bertawaf selama sebulan saya berkursus di Mekah. Antara doa yang sering saya ulangi apabila sampai pusingan ketujuh saya bertawaf ialah :
"Ya Allah sampaikanlah aku kembali ke bumi mulia ini sebagai seorang pelajar.".
Ketika ummi dan abah saya pergi umrah bulan Mac yang lepas, apabila ditanya apa hajat yang ingin dikirim. Saya hanya meminta ummi dan abah doakan biar saya dapat belajar di bumi anbiya'. Dua pasang tangan ini berdoa di hadapan ka'bah. Dan ketika itulah saya mendapat keputusan tawaran ke Riyadh. Saya sujud syukur di surau USIM, Lantas menghubungi Ummi dan abah yang berada di Mekah. Saya yakin itu doa tulus dari ummi dan abah yang Allah terus sampaikan hajat saya. Ya Rabb aku syukur!!
Bertahun saya mendekam hasrat belajar di bumi suci ini, dan akhirnya pada tahun ini Allah makbulkan doa ini, Walaupun tersasar sedikit tempatnya tapi tetap di dalam lingkungan bumi suci ini.Dan biarlah jernih air mata yang merekodkan rasa syukur yang tak terhingga ini.
Tangguh USIM
Saya sudah berada di tahun tiga usim. Ada setahun berbaki bergelar sarjana muda. Tapi saya perlu mengambil tindakan berani untuk bekorban demi cita-cita. Saya tangguhkan pengajian di USIM ini hasil perbincangan dengan keluarga dan para asatizah serta hasil istikharah. Mudah-mudahan Allah merahmati keputusan ini. In Sya Allah. Bulan September 2013 saya akan sambung semester belajar yang berbaki, kemudian saya akan kembali semula ke Riyadh pada awal Januari 2014. Semua ini perancangan atas kertas dan pasti perancangan di langit lebih hebat dan saya wajib meredhainya.Amin.
Usia dan Perancangan Hidup
Saya ke Riyadh akan mengambil masa paling kurang 6 tahun untuk habiskan pengajian sarjana muda. Saya anggap ini ijazah kedua saya. Lantas terfikir dibenak saya pada usia 29 tahun barulah saya menamatkan pengajian di Riyadh. Hampir jatuh pendirian saya bila memikirkan tentang umur. Apatah lagi saya baru merancang untuk berkahwin dalam usia muda apabila tamat pengajian di USIM.
Lantas perancangan saya berubah. Saya berikhtiar untuk tidak berkahwin dalam tempoh belajar di Riyadh dan akan berkahwin pada umur 29 tahun atau 30 tahun, Biar kambing menjadi hidangan harian serta panas cuaca di sini, tetapi moga Allah kendurkan rasa mahu berkahwin itu datang dalam tempoh ini.
Saya bertemu Dr Zulkifli Al-Bakri, kata beliau ulama' berkata : "Ilmu itu hilang di celah peha wanita." Saya bertemu Dr Basit Abdul Rahman yang beliau katanya berkahwin setelah tamat ijazah sarjana muda. Dan saya bertemu Dr Johari Mat yang katanya berkahwin pada usia 29 tahun. Lantas saya mengikat kemas kain pelikat dan berusaha berkahwin pada usia yang lewat itu. Mudah-mudahan tempoh itu adalah tempoh ilmu yang perlu saya bertungkus lumus menghadapinya.
Riyadh Bumi Ulama'
Jika Mekah terletaknya masjidil haram, Madinah terletaknya masjidil nabawi, maka Riyadh adalah tempat berhimpunnya para ulama'.
Syeikh Dr Soleh Fauzan Al-Fauzan, Syeikh Dr Aidh Al-Qarni, Syeikh Dr Salman Aodah dan Syeikh Abdul Rahman Al-Arifi adalah antara ulama' besar yang sering ditemui di bumi Riyadh, kerana di sini tempat tinggal kebanyakan mereka.
Saya sempat menghadiri kuliah tauhid pada kitab Risalah Al-Qairawan yang disyarah oleh Syeikh Soleh Fauzan Al-Fauzan. Beliau merupakan antara ahli Kibar Ulama' Arab Saudi. Mudah-mudahan saya akan mendapat banyak faedah dari pengajian bersama ulama besar ini.
Universiti Islam Al-Imam
Saya bermukim di sini sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 tahun. Dan saya merancang untuk terus tamatkan PhD saya di sini. Mungkin dalam tempoh 20 tahun saya bermukim di sini.
Ini universiti terkemuka untuk rakyat Saudi, hanya 5 peratus daripadanya pelajar asing. Universiti yang mewah dan saya mendapat elaun sebanyak RM850 sebulan. Alhamdulillah.
Saya kini berada di Maahad Lughah. Dan akan mengambil masa setahun untuk mahir bahasa arab. Kemudian meneruskan masa selama setahun diploma dan 4 tahun ijazah. Guru-guru bahasa di sini dari kalangan warga Mesir yang mesra dan penyanyang.
Doakan saya dapat alim, faqih dan bertakwa sepanjang berada di bumi mulia ini.
Seringkali hati berkata : " Sejauh mana dan semulia mana tempat yang kamu jejaki, jika tidak bersama kamu hati yang tulus mahu bertemu Tuhan. Pasti jasad kosong itu tidak akan memberi manfaat kepadamu. Bawalah hati yang tulus bersama jasad yang teguh bertemu Tuhan."
Jangan Jadi Tua Sebelum Tua (Timbalan Presiden Bukan Islam)
Friday, March 02, 2012
Tajuk : Jangan Jadi Tua Sebelum Tua (Timbalan Presiden Bukan Islam) Oleh : Abu Syahid Al-Tilmisani
Apabila seorang tokoh politik tanah air, Dr Dzulkefly Ahmad membawa cadangan asing, "Timbalan Presiden PAS adalah dikalangan bukan Islam", timbul pelbagai persepsi yang menarik serta yang bersifat negatif.
Tuan Guru Nik Aziz menegaskan bahawa kepimpinan PAS adalah muslim yang soleh tanpa mengira bangsa, manakala Tuan Guru Tuan Ibrahim menasihatkan supaya fokus kepada gerak kerja pilihan raya dan jangan terperangkap dengan musuh.
Kita sebagai anak muda yang mempunyai nilai intelektual jangan jadi tua sebelum tua. Lontaran idea Dr Dzulkefly perlu dibahaskan oleh anak muda yang ada nilai akademik dan jangan cepat menutup ruang perbincangan.
Teringat kepada Allahyarham Profesor Dr Zulkifli Muhammad yang pernah melontarkan idea hebat "keahlian kepada bukan Islam", idea ini bukan sahaja ditolak malah dikecam sebagai tidak masuk akal pada waktu itu dengan alasan ini Parti Islam!!.
Tapi setelah 50 tahun, ijtihad politik Allahyarham Professor Dr Zulkifli Muhammad ini baru dibahaskan dan mulai ramai yang menerimanya sebagai idealisme yang realistik pada zaman ini.
Kembali kepada idea Dr Dzulkefly Ahmad ini, jangan mudah menghentam dengan alasan-alasan yag taboo seperti "ini parti Islam, ini jemaah islam, kepada siapa kita ingin wala' dan sebagainya yang berbunyi islamis sehingga ruang perbincangan akhrinya tertutup.
Seharusnya anak mudalah yang segera menyambutnya dengan diskusi ilmiah, pembentangan kertas kerja, debat terbuka bagi melahirkan kematangan dan penjelasan kepada lontaran idea besar ini.
Apa guna gerakana Islam mahasiswa seperti GAMIS, PKPIM, IKRAM & juga ISMA jika idea-ida seperti ini tidak mahu dibincangkan dalam dunia intelektual mahasiswa.
Parti Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir, Parti Huriyyah Wal 'Adalah telah membuka ruang ijtihad politik yang hebat dengan melantik bukan Islam sebagai pimpinan parti tersebut. Ia seiring dengan keadaan massa politik di Mesir. Begitu juga dengan ijtihad parti gerakan Ikhwan Muslimin di Tunisia, Parti Nahdah yang mengumumkan tidak akan fokus kepada perlaksanaan undang-undang Islam sebaik sahaja memerintah. Ini semua ijtihad-ijtihad politik yang agak janggal tetapi sudah dilaksanakan di negara mereka.
PAS sebagai Parti Islam dibahaw gerakan Islam massa perlu melihat kepada ijtihad-ijtihad politik yang membantu mengembangkan PAS kepada umat seluruhnya di Malaysia ini. Cukuplah untuk PAS memandang hebat kepada Iran dan Hizbullah di Lubnan yang dikaitkan dengan kejayaan politik mereka. Zaman mereka sudah berakhir dengan bangkitnya 'The Arabic Spring" kini. Mari kita buka kembali perbincangan yang berbentuk ilmiah dan penuh idealisme ini untuk menuju kepada pembinaan masa depan negarawan yang hebat dan memberi kebahagiaan dan kasih sayang kepada ummat di Malaysia.
* Penulis bernama Ahmad Syihan Ismail, mahasiswa tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Fiqh & Fatwa, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Penulis menggunakan gelaran Abu Syahid Al-Tilmisani.
Innalillah wainna ilaihi raji'un.Saya ditimpa musibah. Kemalangan motorsikal 5 kilometer untuk sampai ke rumah. Perjalanan jauh dari Nilai. 21 Januari 2012, mencatat kenangan pahit. Setengah jam sebelum kejaidan kami rehat di Pondok Sungai Durian untuk solat jamak. Asalnya saya dengan kereta. Tapi memandangkan kawan yang membawa motorsikal pulang lagi jauh. Saya ambil motorsikalnya untuk bawa pulang. Jarak sudah dekat lebih kurang setengah jam sampailah ke rumah.
Memandangkan jarak sudah dekat ke rumah, saya tidak memakai kasut serta saruntg tangan. Saya meluncur laju pulang dengan semangat bertemu keluarga. Mungkin mereka terkejut kerana tiba-tiba sampai ke rumah dengan motorsikal. Saya hanya tersenyum dan meluncur laju pulang.
Jalan jem, saya menyelit-nyelit antara kereta. Sehinggalah 500 meter antara cabang Bukit Baka, saya terlihat kelibat motor yang melintas. Saya menempik dalam hati. Ya Allah!!. Kaki cepat menakan brek dan tangan mengacip brek dengan kuat. Namun motor saya tetap merempuh motrosikal terbabit, saya melantun tinggi tiga kaki dan muka saya terembas ke muka jalan. Dada saya bergesel ke tar. Jauh saya antra motor 50 meter.
Terpercik darah keluar dari mulut bagaikan air paip. Mulut terasa kebas, tangan saya diangkat tinggi untuk memberitahu ramai. Saya mengalih ke tepi jalan. Darah dari mulut masih keluar tak henti-henti. Saya meminta tisu tapi darah tetap banyak. Saya membuka zip beg, mengambil shirt putih dan saya masukkan ke mulut. Saya melihat dada saya, jaket tebal yang saya pakai tidak mencederakan dada.
Dari arah jauh saya lihat, isteri YB Kemuning, Ustazah Ila dan isteri YB Machang, Datin. Saya melambai jauh supaya mereka datang. Mangsa yang saya rempuh dilihat terbaring dan meraung kesakitan. Saya membuka topi. Alhamdulillah, kesan calar di muka visor topi menyelamatkan wajah saya dari kecederaan yang teruk. Bibir saya rasa tebal. Saya tak boleh bercakap. Saya meminta isteri YB Pi call kawan saya di belang untuk datang ambil.
Allah mempermudahkan urusan. Tak semena ambulans lalu dan singgah ke tempat kemalangan. Driver ambulan adalah encik Kadir, ayah kepada sahabat ana, Izuan. Dia terus membuka pintu ambulans, dia menghulur katil saya menolak. Terhencut-hencut menaiki ambulans. Terhuyung hayang saya dalam ambulans, Saya tidur atas katil ambulans kerana rasa seperti nak pengsan.
Membuat rawatan kecemasan. Saya menggelupur kesakitan apabila ubat luka disapu ke tempat luka. Saya memandang mangsa yang terlibat dengan saya disebelah. Dia sedang mengerang kesakitan. Katanya pinggang dia terasa begitu sakit. Saya turut simpati.
Selepas rawatan baru saya menghubungi abah. Terkejut abah. Saya mententeramkan tidak ada apa yang berlaku. Abah datang ambil segera dari hospital. Sampai di rumah ummi sudah tunggu. Ummi hanya menggeleng kepala melihat anak lelakinya ini. Sayu wajah ummi saya lihat. Allah maafkan aku.
Saya ceritakan apa yang berlaku. Ummi menyediakan air dan makanan. namun saya tak mampu untuk mengunyah. Bibir sudah tebal kerana bengkak. Disuruh berehat. Namun tidak lena. Mengadam cermin. Saya cuba sengeh. Allah teruknya. Modal saya sudah jatuh, seputung gigi depan saya terserpih. Saya menggeleng kepala. Dalam hati saya berkata, mujur bukan hidung, mata atau pipi. Alhamdulillah. Kemudian saya terlena.
Rasa basah belakang saya. Saya tersedar dari lena yang letih itu. Oh rupanya ummi sedang mengelap badan saya dengan kain tuala. Saya sungguh sebak. Umurku 23 tahun, ummi ku layan seperti umur 3 tahun. Aku hanya pejam mata. Menahan sebak. T-T...
"Kekecewaan, kesedihan, pilu, resah, putus asa, dan segala macam perasaan 'hazan' akan hilang dengan satu perkara, iaitu 'syurga': Dan mereka (ahli syurga) berkata "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan kesedihan dari kami (di dunia). Dan sungguh Tuhan kami benar-benar Maha Pengampun, Maha Mensyukuri." (Al-Fatir:34)"
2012 adalah catatan perjuangan. Tapi saya ingin mulakan dengan catatan akhlak. Supaya perjuangan kita berada di landasan yang tepat.
Saya tidak layak bercakap tentang akhlak kerana penampilan saya bukan seorang yang thiqah gayanya. Bakal ustaz yang agak cabuk. Tidak style dan tidaklah beberapa kemas. Tapi satu perkara yang ingin saya tekankan perihal aib sahabat.
Islam rahmat untuk seluruh alam. Tiada rahsia dalam menerangkan perihal Islam kerana ummat memerlukan kefahaman jelas tanpa selindung. Kecuali dalam beberapa perkara, kerahsiaan penting untuk menjaga maslahah dan menolak kemudaratan.
Dalam jemaah Islam kerahsiaan adalah asas untuk meneruskan kehidupan berjemaah. Kerana disekeliling jemaah Islam itu dipenuhi dengan musuh-musuh Islam yang hanya menunggu untuk melemahkan jemaah islam.
Dalam masyarakat Islam, keaiban jiran tetangga tidak boleh didedahkan kepada orang lain kerana jiran tetangga adalah rukun tetangga kita yang didalamnya dipenuhi kehidupan kasih-sayang dan kemurnian.
Dalam Persahabatan Islam kerahsiaan adalah permata yang perlu sekali dijaga dan jangan diketahui oleh sahabat yang lain. Rahsia sahabat adalah aib mereka. Tidak sesekali rahsia itu dikongsikan kepada sahabat yang lain kecuai disana ada kepercayaan dan prinsip persahabatan yang ingin dilaksanakan dan dijaga rapi.
Seringkali seorang sahabat terdekat kita mendedahkan rahsianya kepada sahabat yang lain. Pendedahan itu bukan tujuan untuk disebarkan, malah ia adalah perkongsian kasih sayang diantara sahabat. Mudah-mudahan dengan perkongsian itu kurang beban yang ditanggungnya.
Tapi kita seringkali menterjemahnya dengan silap. Perkongsian sahabat itu dijadikan bahan cerita dengan rakan-rakan yang lain. Malah dijadikan bahan ceramah untuk pendengarnya. Menjadi bahan ketawa seisi rumah. Menjadi bahan perbahasan dalam mesyuarat.
Ketika itu nilai sebuah persahabatan sebenarnya sudah hilang, terbatal dan tidak sah lagi!! Akad persahabatan perlu dilakukan semula, lafaz kepercayaan perlu disebut semula dan janji persahabatan perlu ditandatangani semula. kerana khianat itu sebab kepada terbatalnya sebuah perjanjian.
Aib sahabat jangan dipandang mudah. Ia berkaitan dengan perasaan, jiwa dan akal fikirannya. Jika orang pertama mendedahkannya, orang kedua jangan lecerkannya kepada orang ketiga. Leceran-leceran ini bakal mengundang padah, fitnah dan aib sahabat.
Kasih-sayang dalam persahabatan bukan sekadar cakap-cakap indah, sering bergembira, berkongsi meja makan dan berkongsi cerita hiburan.
Tapi ia berkaitan dengan rasaan kita kepada kesusahan sahabat. Seorang sahabat yang ambil berat akan mudah mengesan masalah sahabat yang lain. Bertindak menyelesaikan masalah sahabat dan bersegera menggembirakannya dan menghilangkan rasa sedih sahabat.
Nota ringkas ini pemulaan kepada tahun baru perjuangan 2012. Ingat, Asalkan Bukan UMNO (ABU)
Seringkali pemberani dibenci oleh penguasa. Sudah lama saya tidak menulis dan inilah ruang untuk saya menulis.
Saya menulis setelah saya ditimpa satu insiden yang menyebabkan saya merasa sedih.
Petang tadi saya dihubungi oleh sahabat, akh Basri untuk menggantikan tempatnya bertazkirah di KK1. Saya terkejut dengan pelawaan itu. Kerana inilah pelawaan pertama kali saya terima setelah 6 bulan saya tidak bertazkirah.
Setelah bercuti semester selama empat bulan, setelah berkelana ke Mekah dan selepas bukanya semester baru. Pentazkirah bukan lagi kerja saya. Saya bagaikan bersara dari bidang ini buat waktu yang begitu lama.
Saya menerima beberapa eksiden perihal tazkirah. Pernah semasa saya bertazkirah dalam dewan kuliah, seorang muslimat menegur saya. Katanya tazkirah saya membuatnya sakit hati. Saya seperti ditampar oleh kuasa ghaib. Rupa-rupanya tazkirah saya dibenci orang.
Dan semalam adalah kali pertama saya bertazkirah di bangunan surau KK1. Sebelum saya bertazkirah seorang pensyarah melihat saya. Kemudian dia memanggil seorang wakil penganjur dan berbincang-bincang dengannya.
Saya menangkap beberapa butir percakapan diantara pesnyarah itu menyebut perihal saya sebagai pentazkirah. Kemudian sahabat ini datang berbisik kepada saya supaya bertapis sikit dalam tazkirah.
Oh, baru saya sedar tazkirah saya dibenci pensyarah itu. Saya asalnya ingin bercakap dengan bahasa lembut dan sederhana. Tetapi seperti tercabar dengan amaran pensyarah, saya menggunakan nada bahasa demontrasi saya.
Sungguh saya sedih tazkirah untuk mengubati hati saya yang selama 6 bulan saya berhenti dan dihentikan ini dikasari dengan amaran busuk penguasa.
Baru kali ini saya sedar tazkirah saya dibenci orang. Entah beberapa orang lagi yang membenci tazkirah saya. Bahasa pejuang rupanya ditakuti oleh penguasa.
Sila jemput lagi saya bertazkirah. Saya ingin tahu berapa ramai lagi penguasa membenci saya. Atau membenci tazkirah saya,
Penat. Hampir 7 jam berada atas kapal terbang. Sampai di Jeddah hati mulai berdebar. Kain ihram sudah dipakai sejak di Oman lagi. Dari atas kapal terbang saya melihat bumi arab yang koko keseluruhannya, tiada pokok-pokok hijau atau titik hijau sekalipun. Padang pasir meliputi bumi quraisy ini.
Sampai di Jeddah hampir malam, kerenah arab sudah dapat dirasai. Dua jam menunggu beg. Akibatnya orang yang sepatutnya menunggu kami telah meninggalkan kami sendirian di "mator" Jeddah.
Kami seperti kebingungan, keluar sahaja dari imigresen, kami terus diserbu arab pembawa teksi, menawarkan khidmat untuk terus membawa kami ke kota Mekah. Di situ saya sudah merasai sesuatu yang tidak kena. Sepatutnya kami tidak perlu melayan teletah arab ini. Tapi bagaikan dipaksa dan kumpulan kami seperti menurut sahaja pemandu teksi itu membawa kami ke Mekah.
Menaiki MPV besar dua biji terus ke Mekah. mengambil masa 1 jam setengah. Jam 11 malam kami sampai di Mekah. Saya mencari-cari Masjidil Haram, tapi masih tak kelihatan. Kami di bawa ke tempat yang dijanjikan. Benarlah, kami dimainkan oleh pemandu teksi. Tiada siapa pun yang berjanji untuk di bawa ke tempat ini. Sepatutnya orang yang menyambut kami ialah syeikh dari Maktab Jaliyat. Tapi ada yang cuba mengambil kesempatan. Akhirnya kami "disembelih hidup-hidup" (bayaran) oleh pemandu teksi.
Tidak berakhir di situ, berlaku satu lagi kekecohan. Wakil syarikat umrah di sini (Mekah) datang dalam keadaan sombong meminta diserahkan passport kepada mereka. Saya mulai naik angin. Saya tidak mahu lagi dipermainkan. Saya membantah sekeras-kerasnya. Entah mengapa secara spontan saya berbahasa arab budu dengan lelaki arab ni. Setelah lama bertikam lidah, saya merampas pasport kepunyaan kami dari arab tersebut.
Lama kemudian saya tinggalkan arab yang berlagak dan naik ke asrama. Jam 1 pagi barulah semuanya berakhir. Tanpa saya sedari saya melakukan satu perkara yang tidak boleh dilakukan dalam ihram, iaitu bertikam lidah dan menimbulkan kekecohan. Astaghfirullah. Mohon ampun pada Tuhan di atas kealpaan ini.
Perasaan sudah mulai rimas, sudah lebih 12 jam berpakaian ihram. Kami belum lagi menunaikan ibadah umrah dengan sempurna. Kami berpakat untuk menunaikan tawaf dan sa'ie selepas subuh. Ikutkan perasaan saya ingin terus ke masjidil haram, rumah impian sejak kecil lagi. Entah bagaimana rupanya adakah sama seperti yang sering dibayangkan.
Jam 4 pagi kami bergegas turun dari asrama. Saya sangka kami berjalan sahaja ke masjidil haram. Tetapi ketua kami, akh Danial mahu mengambil ujrah untuk ke masjidil haram. Satu van penuh dengan kami semua. Dalam kenderaan perasaan mulai sayu. Ucapan talbiah bersilih ganti antara kami. Allah sahaja yang tahu, hajat besar ini akhirnya sudah sampai kepada kenyataan.
Van betul-betul berhenti di hadapan masjidil haram (kemudian saya kenalinya sebagai bab Abdul Aziz). Sebaik sahaja saya melangkah turun dari van, azan subuh berkumandang. Ya Allah, suara azan itulah yang sering didengari sejak kecil lagi di radio dan televisyen.
Bangunan besar tersergam indah di hapan mata saya. Akhirnya ego saya jatuh dihadapan pintu Malik Abdul Aziz. Benarlah Allah Maha Hebat, membawa saya jauh ke daerah mulia ini sedang saya masih dihimpit kekeliruan dosa. Ombak di dada beralun kencang, membawa kepada panas tubir mata. Ah, akhirnya ia gugur di dataran haram itu. Allah, saya sungguh lemah.
Impian dan hajat besar tercapai. Seolah-olah hidup saya sudah cukup dengan anugerah ini. Susah untuk menggapai impian besar ini. Seingat saya, tiga tahun lalu saya telah bertungkus lumus untuk ke sini. Tiga tahun lalu saya pernah diherdik, ditipu dan difitnah kerana impian besar ini. Dan hari ini ia berada di hadapan saya. Bagaimana syukur tak dapat saya gambarkan dan tak mampu untuk saya luahkan. Alhamdulillah haza min fadhli rabbi.
Masuk ke lorong itu, dari jauh sudah kelihatan ka'bah hitam. Saya menarik lengan sahabat saya, Hakim untuk terus ke hadapan ka'bah, biar jelas di hadapan mata bangunan hitam ini. Alhamdulillah, Allah permudahkan untuk sampai betul-betul di depan ka'bah di saat kesesakan orang ramai.
Subuh di situ sungguh damai. Tak pernah perasaan damai seperti ini saya rasakan. Bacaan beralun dari Imam subuh mengocak kalbu dengan pelbagai perasaan.
Seusai subuh, 'bagaikan rusa masuk kampung', melihat-lihat dan tercari-cari lampu hijau yang dimaksudkan sebagai tempat permulaan tawaf. Dari jauh saya lihat lampu hijau tersebut. Saya berjalan ke arah lampu hijau tersebut. Berpaling ke kiri, sayup-sayup melihat bucu hajarul aswad. Tergagap-gagap mengangkat tangan ke arah hajarul aswad sebagai isyarat permulaan. Bismillah, Allahuakbar, saya memulakan perjalanan tawaf saya dalam keadaan bersesak.
Sesusai tujuh pusingan, tak terasa letih. Saya tercari-cari pula maqam nabi Ibrahim. Saya sempat mengintai dari sis cermin tapak kaki nabi Ibrahim yang dimaksudkan. Dibelakang maqam ini disunatkan untuk solat dua rakaat.
Bagaikan sudah biasa, saya keluar mencari tempat untuk memulakan sa'ie. Dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh pusingan. Bayangan saya silap sekali. Sya sangka bukit safa adalah berbatu-bata dan dipenuhi habuk pasir. Tapi itu adalah silap. Bukit safa tak nampak seperti bukit kerana sudah dilindungi batu marmar, dan baki bukit yang tinggal sudah dipasang cermin.
Jarak Safa ke Marwah juga jauh. Berjalan-jalan, kemudian berlari-lari anak, kemudian berjalan balik. Semuanya mengambil ruh Siti Hajar dan sunnah yang diajar oleh nabi Muhammad S.A.W. tidak lebih daripada itu.
Lelah. Setelah semuanya selesai. Sujud syukur. Allah kurniakan nikmat ibadah yang tak terhingga ini. Bertahallul, menggunting rambut sekadarnya. Longlai. Saya membawa tubuh keluar dari Marwah.
Lewat sungguh catatan saya ini. 10 hari setelah pulang dari tanah suci. Ikutkan hati segan ingin menulis. Tapi ada seorang sahabat mahu benar catatan saya di tanah suci ditulis menjadi tatapan teman-teman. Biarlah teman, saya coretkan sebahagian dari catatan kecil di tanah suci.
Dua minggu sebelum ke tanah suci. Saya putuskan untuk batalkan sahaja niat saya. Sudah puas saya ke sana ke mari mencari tajaan untuk berkursus di tanah suci. Saya hanya dapat Rm 300 daripada RM 5000 yang diperlukan. Ke pejabat tok guru saya naik, ke bilik exco negeri saya jajah, ke pejabat-pejabat kerajaan saya daki, tapi kesemuanya tidak memberi respon yang baik. Sebulan saya melakukan benda yang pelik ini. Semata-mata untuk bekursus sebulan di Mekah.
Sedang pihak penganjur bagai megharapkan saya untuk terus pergi ke sana. Katanya tiket untuk saya telah ditempah. Saya kata saya tidak mampu. Tapi pihak penganjur tegas untuk saya cari sumber kewangan agar saya biar benar jadi pergi ke mekah. Hah, saya sungguh capek dengan keadaan ini.
Saya pulang mengadu kepada ummi. Perkara yang tak akan sanggup saya lakukan. Ummi sedia memberi wang seribu untuk saya ke sana. Saya segan untuk memberitahu bahawa wang seribu juga masih belum cukup untuk menampung jumlah untuk ke sana. Akhirnya saya tekad biarlah hajat untuk ke Mekah saya batalkan sahaja.
Tapi Allah sungguh Maha Mengasihani, saat saya kesempitan, pihak penganjur menelefon saya dan bersetuju untuk menampung seribu lagi untuk saya ke Mekah. Tapi itu masih belum cukup untuk saya ke sana. Saya memberitahu batalkan sahaja penyertaan saya. Namun ia tetap dibantah pihak penganjur.
Keesokannya saya dimaklumkan oleh pembantu Exco Belia bahawa permohonan saya sudah diluluskan sebanyak seribu. Allah, hati saya menangis mengenangkan pemberian Tuhan ini. Tapi seribu ini juga masih belum cukup untuk saya ke sana.
Sehinggalah pada akhirnya salah seorang peserta program daurah menghubungi saya dan sudi memberikan saya sebanyak seribu lagi. Ah, ketika itulah baru saya tersedar, Allah sedang bercakap dengan saya. Bahawa kamu adalah bakal tetamu Allah di tanah suci. Allah, dalam khayalan itu saya alpa untuk terus bersujud syukur.
Beberapa hari sahaja saya akan berlepas ke Mekah. Pada hakikatnya sekeping ringgit sebagai duit poket pun tiada di tangan saya. Alhamdulillah, ramai tangan pemurah yang mengetahui saya hendak ke Mekah memberi kiriman wang. Saya masih ingat seorang tukang kebun sekolah membelek duit seringgit-seringgit di poket kusamnya untuk diberikan kepada saya. Saya segan dan menolaknya. Dia berkeras, katanya biarlah duitnya sampai ke tanah suci, dengan harapan beliau juga akan sampai. Saya menerima dengan sebak. Betapa mulia hati pak cik ini, tulus hatinya walau sekecil wang.
Tiada majlis doa selamat, saya pergi ke tanah suci seadanya sebagai penuntut ilmu. Mie dan abah menghantar saya ke lapangan terbang. Pertama kali berjauhan, saya memeluk erat umie dan abah, saya tidak mahu mati di tanah suci dalam keadaan belum meminta maaf.
Melangkah masuk ke dalam pesawat, terdetik di hati, tiada sebarang persediaan ilmu pun untuk saya ke sana, tiada sebarang hafalan doa pun untuk saya beribadah di sana. Ya Allah, hati saya pada hakikatnya belum bersedia sepenuhnya untuk mejadi tetamu Allah.
Benarkah Allah menerima saya sepenuhnya sebagai tetamunya? ............
Khair merenung surat yang baru diterimanya. Air mata mengalir laju. Menitis mutiara air mata pada surat yang dipegangnya. Sayup-sayup kelihatan umminya dari jauh membibit seplastik penuh sayur dan ikan untuk makan tengahari. Khair melangkah laju ke arah umminya. Menerpa dan memeluk umminya.
Terpingga-pingga mak Cik Pah dengan telatah anak bongsunya ini. Dari sejak mengandungkannya sehinggalah sebesar ini, perangai anak bongsunya sukar untuk dijangka. Sentiasa berubah-ubah dan agak memeningkannya.
“Ummi, permohonan adik diterima.” Sambil memeluk khayr memberitahu berita gembira itu kepada ummi. “Alhamdulillah, syukurlah dik, ummi pun gembira. Tapi jangan gembira sangat, macam-macam boleh terjadi.”
Baru semalam, baba memarahi dan meleteri khayr yang terlalu asyik masyuk dengan cita-citanya itu. Baba kata Khayr terlalu banyak berkhayal dengan perkara yang tidak realistik. Baba terlalu geram melihat Khair asyik dengan fail hijau itu ke hulu-ke hilir. Sekejap ke sekolah, sekejap ke pejabat YB dan bermundar-mandir di bandar. Pekerjaannya hanya satu, untuk pergi ke Madinah dengan tajaan entah dari syarikat mana. Itulah yang Khayr gilakan sangat. Dan itulah yang dibimbangi babanya. Sudah beratus ringgit dilaburkan Khair untuk cita-citanya yang entah ke mana ini.
“Khair, adik kena sedar kita tiada duit nak pergi jauh-jauh. Madinah tu bukan dekat. Mana ada syarikat yang senang-senang nak taja adik ke sana. Kalau ada pun, bukan adik yang ditaja, anak orang-orang besar ramai kat luar sana.” Tengking baba kepada Khair. “Baba, tolonglah faham ini lah satu-satunya harapan adik untuk ke sana.”
Khair meluru ke bilik, tak tahan mendengar leteran babanya, menyembam mukanya ke dada bantal. Khair tak mampu menahan air mata keluar. Esak tangisannya mula kedengaran. Pada usia 18 tahun khayr gagal mengawal perasaannnya menangis. Semuanya kerana cita-cita besarnya itu. Pergi Madinah, melihat makam nabi dan berdoa di Raudhah. Hanya itu yang dimahukan. Janji Ustaz Razali digenggam erat. Pengurus Syarikat Perlancongan itu berjanji untuk menajanya ke Madinah.
“Allahuakbar…….. bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah…..” Bacaan Khair ketika rakat pertama solat maghrib tersekat pada ayat kedua surah Al-Fatihah. Dia tak mampu untuk menamatkan ayat ini, kerana air matanya sudah mengalir laju, pipinya sudah merah menahan tangisan, dan mulutnya sudah tak dapat lagi menggerakkan lidah untuk menamatkan surah ini. Kepalanya pada saat itu tertumpu pada bayangan Madinah. Kemudian kepalanya berpinar-pinar. Akhirnya Khayr terjelepok jatuh di atas sejadah putih.
Saya tidak dapat hadir demontrasi BERSIH 2.0 kerana ada halangan lain dan maslahah yang perlu diutamakan. Saya agak kecewa kerana gagal menghadiri perhimpunan rakyat ini. Perhimpunan budaya rakyat Malaysia dalam negara demokrasi.
Demontrasi adalah unsur yang begitu rapat dengan jiwa saya. Demontrasi telah mendewasakan perjuangan dan kehidupan hari ini. Setiap peristiwa demontrasi yang saya hadir mempunyai kenangan-kenangan istimewa. Ada kesan sejarah yang terukir di hati.
Angin demontrasi hari ini telah mengugah pemimpin dan parti kerajaan. Mereka sangka, kerajaan mereka adalah kerajan kekal sehingga kiamat. Sehingga terlupa mereka bahawa kerajaan ini telah lama memuakkan dan menaikkan rasa benci rakyat.
Semuanya kerana satu patah perkataan; zalim, kotor, rasuah, ganas dan rakus. Patah perkataan ini telah dialami rakyat marhaen berpuluh tahun lamanya. Kerana rakyat cintakan keamanan dan kedamaian maka rakyat turun ke jalanan sebagai isyarat bahawa rakyat tidak mahu terus-menerus dizalimi.
9 Julai 2011 bakal mencatat satu sejarah kebangkitan rakyat, BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat menuntut pilihanraya bersih dan adil. Tiada sekelumit pun unsur jenayah yang terdapat dalam perhimpunan ini. Cukup bermatlamat dan programnya cukup tersusun. Iaitu rakyat berhimpun memohon YDPA menerima memorandum rakyat perihal sistem pilihanraya yang sudah hilang kredebilitnya lagi.
Sungguh istimewa ahli-ahli akademik negara bersekutu menyokong acara budaya rakyat Malaysia. Malahan sasterawan negara menyumbang sokongan dengan lirik puisinya yang menerbit juang rakyat marhaen.
Kata Dr Zaharuddin, demontrasi adalah halal, bukan bid'ah. Tidak boleh diharamkan kerana tiada nas untuk mengharamkannya. Demontrasi adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang diterima dalam sistem pemerintahan negara.
Kata Dr Asri, setelah memahami dan tujuan diadakan BERSIH ia wajar diadakan sebagai memenuhi tuntutan perlembagaan untuk kepentingan politik semasa.
Saya menghubungi Professor Dr Abu Hassan melalui FB dan meminta beliau memberi komen, dengan ringkas beliau menyebut, 'biar rakyat punya lidah sendiri', katanya lagi; 'demontrasi adalah himpunan budaya dalam negara demokrasi.'
Kata Professor Dr Aziz Baari, tindakan pihak berkuasa menghalang BERSIH adalah bertentangan dengan perlembagaan.
Manakala A.Samd Said menukil dua puisi membangkitkan semangat perjuangan rakyat khususnya untuk BERSIH 2.0 Puisinya yang bertajuk Ungun Bersih dan Peludah Warna bagaikan senjata pemusnah kepada parti pemerintah.
Kini semuanya kembali kepada demonstrator untuk turun ke jalanan menyatakan sokongan terhadap tuntutan rakyat. Inilah masanya kerja lapangan dakwah dapat dilaksanakan secara meluas tanpa halangan.
Demontrasi adalah pesta tarbiyyah buat aktivis dakwah yang hidupnya dalam perjuangan. Di sinilah kita kan bertemu, berpelukan dan berbual mesra, menambahkan semangat dan idea dalam perjuangan.
Ia juga adalah himpunan dakwah apabila masyarakat Islam bersama dengan bukan Islam pelbagai bangsa berkumpul dengan aman. Sungguh pelik atas dasar apakah masyarakat berbeza agama dapat berkumpul? Jawapannya adalah atas dasar keadilan sejagat. Tidak kira Islam atau bukan Islam kesemuanya mahukan keadilan. Indahnya jika pendakwah Islam dapat tonjolkan semasa BERSIH keadilamn itulah yang Islam juangkan zaman-berzaman. Tetapi malangnya masyarakat bukan Islam terhijab dengan Islam itu dek kerana bangsatnya pemimpin yang memerintah dengan hilangnya maqasid syariah dalam pemerintahan.
Justeru demonstrator Islam pada hari BERSIH perlu sejagat dengan niat menyeru dan berdakwah kepada bukan Islam bahawa Islam bersama dengan keadilan dan hak-hak rakyat terbela di bawah Islam itu sendiri.
Demonstrator pada hari BERSIH akan bertindak aman dan amanah. Mereka tidak akan mengkhianati undang-undang yang diperuntukkan. Tiada keperluan untuk merosakkan harta benda awam kerana itu tindakan jahat dan tidak bermatlamat. Matlamat utama adalah menyampaikan memorandum kepada YDPA.
Namun provokasi jahat dari kumpulan tertentu bakal mengecohkan susana BERSIH. Tugas demonstrator ialah sentiasa menurut arahan pihak berkuasa dan kepala perhimpunan. Juga bertindak menenangkan rakan-rakan disekeliling. Yang pasti lafaz zikir tidak sekali-sekali berhenti dari mulut demonstrator Islam.
Jangan sesekali melawan, sentiasa bersama dengan orang ramai. Bantulah wanita, orang tua dan anak-anak kecil dalam kesusahan. Pernah saya melihat wanita yang keseorangan disembur dengan air gatal FRU tanpa henti. Pernah juga saya melihat anak seusia 4 tahun menangis kepedihan mata kerana disembur gas oleh FRU. Ada saya melihat orang tua terkapai-kapai mencari air dan rebah tersungkur dijalanan dihambat oleh FRU. Maka ketika inilah demonstrator Islam menjadi benteng dan penyelamat kepada mereka. Jangan sesekali golongan lemah ini dibiarkan begitu sahaja oleh pemuda-pemuda demonstrator.
Saudara yang akan menyertai demonstrasi, bersedialah bahawa kalian akan dihambat dengan bedilan asap. Kalian akan mendapat hawa dari gas tersebut. Hawa dari gas itu bagaikan membakar wajah saudara. Saudara akan berasa kepedihan teramat sangat. Pada masa tu, air dan garam sahaja penawar kepedihan yang dialami saudara. Dalam keadaan ini semua sudah tidak fikirkan sahabat-sahabt yang lain. Bertempiaran mencari tempat jauh dari asap.
Kemudian, saudara kena berkumpul semula menunjukka solidariti bersama, usah hirau rasa pedih muka dek gas pemedih kerana ia akan beransur hilang. Setelah berkumpul, saudara akan mendapat semangat baru dan bertambah semangat saudara. Teruslah berjalan menuju destinasi. Ketika itu pihak keselamatan hanya membatu melihat gerombolan saudara.
Ada satu lagi senjata FRU yang agak memeritkan, iaitu semburan air sabun yang gatal. Apabila saudara terkena air gatal ini, saudara bagaikan diazab dengan rasa pedih dan kegatalan yang meresapi keseluruh kulit. Hal ini membatutkan perjalanan saudara. Saudara kena tahan dan berusaha mencari sumber air untuk hilangkan kegataln tersebut.
Dan jika pihak keselamatan gagal meleraikan perhimpunan, akhirnya senjata terakhir yang digunakan adalah menangkap setiapa seorang dari kamu secara rambang. Saudara adalah keberangkalian yang akan ditangkap. Maka bersedialah dari fizikal dan mental.
Ketika saudara ditangkap, tiada siapa yang dapat membantu. Hanya yang ada pada saudara adalah Allah. Saudara akan terasa kosong, sahabat-sahabat yang ramai ketika bersama saudara langsung tidak boleh membantu. Ketika saudara digari, saudara akan terasa betapa beratnya perasaan ketika itu. Gari besi itu bagaikan api yang mengikat tangan saudara. Berzikirlah, pasti terpancar kekuatan datang dari Allah.
Saat disoal siasat, yakinlah Allah bersama saudara. Bertindaklah sebagai lelaki. Jawapan hendaklah bijaksana. Jangan terperangkap dengan soalan-soalan pegawai penyiasat. Jangan mengaku bersalah, kerana tindakan saudara termaktub dalam undang-undang.
Allah, saya kecewa tidak dapat hadir ke BERSIH. Teringat bagaimana sahabat nabi yang dijanjikan kebaikan, Kaab Bin Malik yang tidak dapat menyertai perperangan Tabuk. Sesal sungguh Kaab sehingga dia menangis. Allah taala telah menguji beliau dengan satu hukuman yang berat. Para sahabat dan nabi memulaunya sehingga berpuluh hari. Perasaan Kaab ketika itu tersepit. Atas kecekalannya, taubatnya diterima dan kemaafannya juga diterima.
Saya mengambil kekuatan disaat kekecewaan ini dengan kalimah mulia dari wahyu :
“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga.” [al-Taubah 9: 122]
Moga kembara musafir aku esok, mengutip mutiara ilmu di tanah suci, mengampun dosa aku untuk tidak turun ke medan perjuangan. Ya, tidak semua harus turun ke medan juang, moga aku adalah golongan yang sedang menekuni ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat. Allah, kamu saksikanlah!!
Catitan ini adalah catitan ringan saya selepas dua bulan tidak bekarya. Ada dua faktor, tahap akademik saya semakin berkurang dan cabaran menghadapi pelbagai situasi genting sebulan ini.
Ini adalah catitan cinta yang ingin kongsi bersama. Cinta bukan perkara akademik yang perlu didalami secara mendalam perbahasannya. Cinta adalah perkara yang berkaitan iman dan perasaan. Tidak dapat tidak cinta juga memerlukan ilmu sebagai pengawal kepada perasaan dan penambahan kepada iman.
Jika kita bercinta atau jatuh cinta, perkara pertama yang perlu kita kaji adalah diri kita kemudian barulah diri orang yang dicintai itu. Justeru kekuatan yang ada pada kita adalah asas kepada permulaan cinta itu.
Kurang ilmu dan agama faktor rosaknya sebuah percintaan. Kerana sebuah percintaan itu memerlukan kawalan yang rapi. Kerana perasaan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dengan akal dan kebaikan seseorang. Seseorang itu nampak baik pada zahirnya bukanlah penentu kepada kemampuan untuk kawalan cinta ini. Kawalan cinta ini luhur dari iman yang teguh dan ilmu yang mantap.
Memilih untuk bercinta adalah keputusan penting yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya. Kerana ia membabitkan kewajipan, keutamaan, keperluan, kesanggupan, perancangan dan keredhaan. Kesemuanya itu berlangsung dan perlu difahami kedua belah pihak.
Keputusan untuk menaruh perasaan kepada seseorang adalah
memerlukan ketabahan hati. Jiwa perlu lapang dan besar. Ketika ini takdir akan diaplikasikan dengan sebenarnya. Kerana hanya ada dua keputusan terima atau tidak.
Cinta itu adalah satu gelojak perasaan yang bergelora. Jika tidak kena caranya bakal membakar diri dan orang lain. Teringat dengan catatan Ibn Qayyim al-jauzi dalam kitabnya menyebut:
“Cinta itu ialah bara di dalam hati, membakar apa pun yang tidak dikehendaki sang kekasih”.
Kata-kata Ibn Qayyim ini dapat kita ketahui seolah-olah pendaman perasaan cinta kita kepada seseorang bakal memberi kesan yang tidak elok jika bukan dengan caranya.
Sebab itulah cinta bukan kerana ikut-ikutan kerana nafsu akan berperanan. Tapi cinta adalah satu keputusan dan perancangan yang rapi. Ingatlah cinta adalah satu kuasa yang luar biasa, dan jika kena luahannya bakal memperoleh natijah yang baik. Makna cinta kepada seseorang perlu dipedalami dengan bersungguh.
Justeru Ibn Qayyim sekali lagi menyebut makna cinta dengan ibarat yang begitu indah:
“Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan
kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya, adalah ketakutan kepadanya , daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupnya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong, bererti cinta itu kosong.”
Dalam membawa pelayaran cinta ini, pelbagai isu dan permasalahan luaran dan dalaman yang membantut usaha seseorang itu menzahirkan rasa cintanya.
Seseorang itu tidak layak untuk bercinta jikaibadahnya tidak sempurna. Bagaimana mungkin orang yang tidak menunaikan solat untuk bercinta. Dirinya sendiri tak terjaga apatah lagi untuk membawa satu amanah besar percintaan ini. Apa jaminan untuk kesucian sebuah cinta jika hubungan mulia dengan Ilahi tidak terlaksana. Bahkan cinta yang diterokainya ini menambah lagi mafsadah kepada dirinya dalam kekhusyukan beribadah kepada Allah.
Mari kita murnikan sebuah percintaan ini. Kadang-kadang percintaan kita terganggu kerana faktor keluarga. Sesetengah keluarga mempunyai pemikiran lama yang masih sukar diubah. Kadang-kadang pemikiran ini membawa kepada kesyirikan kepada Allah. Saya teringat kepada sebuah filem karya Habiburrahman El-shirazy, keluarga dalam filem ini menolak luahan cinta seorang lelaki soleh kerana lelaki ini anak sulung. Justeru anak sulung dalam kepercayaan mereka bakal membawa kemudaratan kepada anak tunggal mereka. Astaghfirullah, inilah adalah kesyirikan yang nyata dalam pemikiran orang lama.
Sedangkan dalam Islam jelas membahaskan perihal kufu atau kesamaan pasangan dalam sebuah perkahwinan. Kufu itu tidak pernah menyebut perihal status, kedudukan atau nilaian keturunan atau bilangan adik beradik. Kufu yang dibahaskan disini adalah nilai agama pasangan terbabit. Justeru tidak kufu satu pasangan yang seseorang itu orang jemaah masjid dengan pasangan seorang pelaku maksiat jalanan.
Soal tinggi pendek, kurus (keding) atau gemuk, putih atau hitam, jawa atau cina adalah persoalan subjektif yang tidak mungkin dapat disamakan semuanya sekali.
Mari kita murnikan percintaan ini. Cinta sepatutnya melepasi ruang lingkup kekeluargaan. Justeru nabi tidak menggalakkan percintaan dengan hubungan yang terdekat. Kerana Islam mahukan keturunan itu berkembang dengan luasnya merentasi sempadan kekeluargaan dan kaum. Kerana Allah menciptakan lelaki dan perempuan, warna kulit yang pelbagai untuk berkenalan.
Konflik dalam bercinta ialah memilih orang yang dicintai. Cantik disisi kita tidak semestinya cantik disisi Allah, baik disisi kita tidak semestinya baik disisi Allah. Justeru pilihan cinta hendaklah berdasarkan kehendak Allah. Kehendak Allah adalah kehendak agama yang digariskan dalam Al-Quran. Ingat dalam surah Rum ada tiga sifat dalam sebuah percintaan itu: mawaddah, rahmah dan sakinah. ketiga-tiga sifat ini semuanya berkaitan dengan hamba Allah yang gigih melaksanankan tanggungjawab agama.
Putih, gebu, mata bulat, dahi licin, tinggi lampai, berjanggut lebat, bermisai nipis bukanlah penentu kepada baiknya seseorang yang dicintai itu. Tapi kecantikan tidak boleh lari dari pilihan manusia ini. Justeru nabi menyebut tentang memilih pasangan antaranya adalah kerana kecantikan. tetapi agama yang lebih utama. Jika yang dicintai itu beragama dan cantik maka ia adalah pakej yang sempurna anugerah Ilahi.
Mari kita murnikan percintaan ini dengan melakukan istikharah cinta. Dalam solat istikharah kita meletakkan segala-galanya kepada Allah S.W.T. Kerana dalam doa istikharah menyebut perihal imu Allah dan takdir Allah. Bersungguh-sungguhlah dalam berdoa supa Allah bagi jalan petunjuknya untuk kita memilih cinta kita yang terbaik disisi Allah.
Percintaan yang dibicarakan ini berbalik kepada penghambaan kita kepada Allah. Sucikan hati kita dan bersungguhlah mencari kebenaran dalam bercinta.
Ibn Qayyim Al-jauzi ada menyebut :
“Tunggalkan Allah dalam cinta dan berikan kepadaku kasih sayang, atau cintamu kepadaku sebagai cinta kerana kasih sayang, yang telah dimasukkan oleh Allah ke dalam hati orang tua kepada anaknya, bukan cinta disamping cinta kepada Allah”.
Subhanallah yang menciptakan hati ini untuk diisi dengan sebaiknya. Jangan kotorkan hati ini dengan maksiat dan kegelapan. Mudah-mudahan dengan istighfar kita Allah bukakan mata hati untuk kita benar memilih cinta yang sebenarnya.
Ingatlah firman Allah S.W.T :“Sesungguhnya Bukan Mata itu yang buta tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada” – Alhajj:46